Menjejak kasih seperti cerita di TV membuat saya bertekad hati untuk menghubungi seorang yang tidak ada kaitan darah tetapi telah menjadi seperti keluarga sendiri.
Dalam foto ini dia bertudung kuning dan tinggal bersama saya sebagai pengasuh pada anak-anak saya dalam tahun lapan-puluhan. Ina nama singkatnya. Tiga tahun yang lepas adalah kali terakhir bila saya menghubungi ibunya kerana mendapat berita bapanya meninggal dunia. Saya bertanyakan khabar Ina dan katanya dia biasa-biasa sahaja tetapi sibuk kerana suaminya juga tidak sihat. Agak kesal saya kerana tidak menghubunginya selepas itu.
Hari Jumaat yang lepas saya dan teman akrab pergi ke Ipoh untuk menghadiri majlis perkahwinan anak seorang teman lain yang berasal dari ipoh. Saya bertekad untuk mencarinya dan akhirnya bertemu semula dengan pertolongan teman saya ini kerana ia pandai mencari lokasi melalui teknologi di telefonnya. Tanpa pertolongannya pasti saya rasa saya tidak dapat menemuinya.
Saya dan suami gembira bercampur sedih kerana rupa-rupanya suaminya sudah pulang ke Rahmatullah dua tahun yang lalu. Ia mengesat air matanya bila bercerita mengenai hidupnya bersama empat orang anaknya. Saya rasa terharu tetapi melawan perasaan supaya pertemuan itu tidak diselubungi kesedihan yang teramat sangat. Saya bersembang pula dengan anak-anaknya sambil mereka makan malam yang kami belikan di restaurant dalam perjalanan ke rumahnya. Rumahnya kecil sahaja tetapi teratur dan ia menceritakan kini rumah itu sudah habis bayarannya. Alhamdulilah. Anak-anaknya mudah mesra dan saya kagum bila sesamapainya saya di muka pintu anak-anaknya sedang solat berjemaah waktu Maghrib.
Semoga mereka menjadi anak-anak yang soleh. Yang tua berumur 15 tahun dan yang bongsu kembar berumur 10 tahun. Suami saya berpesan-pesan dengan anak-anaknya dalam masa yang singkat itu. Semoga kami bertemu lagi. Kami rakam foto sebelum kami pulang seperti di bawah ini.
Saya sedih bercampur gembira dan mengajak mereka datang ke rumah pada cuti sekolah akan datang. Anak-anaknya rasa seronok dan itu membuat saya rasa terharu.
Saya memang tidak pernah menganggap Ina seperti seorang yang asing dalam keluarga. Ia seorang yang rajin dan pandai mengurus rumah. Maka saya tidak hairanlah ia dapat mengasuh anak-anaknya hingga mahu solat berjemaah.
Mereka anak-anak yatim dan miskin....
Itu membuat saya bersemangat untuk mengaturkan program percutian Mac ini. Semoga Allah menyampaikan hajat saya untuk berbakti pula pada seorang yang banyak baktinya pada saya dan keluarga. Ina bersama saya selama hampir 7 tahun dan ia berhenti kerana mahu berumah tangga pula. Alhamdulilah. Suaminya tidak sempat lama bersama mereka tetapi mewariskan legacy yang amat baik untuk menjadi pemangkin kehidupan mereka seterusnya. Semoga Allah memelihara anak-anak ini serta ibunya dan keluarga besarnya. Semoga mereka menjadi anak-anak yang berjaya dunia dan akhirat.
Aamiin Ya Rabb....
....
No comments:
Post a Comment