"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, January 22, 2016

"Dress Rehersal" untuk acara terakhir.....






Minggu lepas seorang teman akrab mengajak saya bersembang santai dengan beberapa teman lain seangkatan umur senja sempena pertemuan untuk makan-makan sambil mengagihkan peruntukan kewanagan yang mereka kumpul bersama untuk memudahkan mana-mana ahli yang memerlukan. 

Sebelum makan kami membaca ayat Quran...Ya Siin semoga dapat memunafaatkan waktu bersama. Selepas itu saya di sarankan untuk berkongsi pengalaman hidup kerana saya adalah ahli yang tertua kerana hampir mencecah 70 tahun....umur keramat bagi saya kerana amat bersyukur sampai ketahap ini dan dapat berkongsi ilmu dan pengalaman.

Kumpulan di hadapan saya ini bijak pandai hampir kesemuanya, dan sebahagian besar adalah murid tua Kolej Tunku Khursiah. Mereka dahulunya memegang berbagai jawatan tinggi di dalam perkhidmatan awam dan ramai yang bergelar Datuk dan Datin dan juga Tan Sri dan Puan Sri. Ada juga yang sedang menjadi ahli Lembaga Pengarah Syarikat Swasta yang ternama.

Saya sendiri hanyalah bekas penjawat awam yang biasa-biasa sahaja dan berasal dari sekolah atap di kampung tempat saya dilahirkan. Kekadang rasa iri hati dengan mereka yang bertuah dapat belajar di sekolah ternama. Tetapi saya cepat-cepat  menegur diri supaya bersyukur kerana limpah kurnia Allah dalam hidup ini semuanya baik jika kita dapat melihatnya dengan mata hati. Astaghfirullah...... 

Selepas  doa membaca Ya Siin, saya minta memulakan bicara santai dan dengan senyum saya katakan saya ingin berkongsi rasa hati mengenai munafaatnya kita mengingati MATI. (The only sure thing in life is Death). Maka itu eluklah kita menghadapinya dan tidak cuba bertangguh-tanguh seolah-olah ada harapan kita tidak akan menemuinya. Begitulah manusia. Takut pada hakikat yang menggerunkan.....

Perhatikanlah.........Kalau kita boleh siap sedia hingga ke detik akhir semasa kita mengurus majlis untuk raja-raja atau majlis perkahwinan atau apa majlis sekali pun.....mengapa pula kita tidak terfikir untuk bersiap sedia dan mengurus diri untuk berjumpa malaikat yang akan "menjemput" kita. Ini suatu detik yang mesti kita lalui. Tiada jalan lain dan tiada helah yang boleh mengatasinya.

Yang utama sekali kita harus sediakan minda dan hati. Yakin peristiwa ini memerlukan komitmen kita sepenuhnya. Ilmu harus diikuti dengan amal, bukan amalan ikut fahaman sendiri yang mungkin sesat tetapi amalan yang kita lakukan dengan panduan guru yang mursyid. Ilmu dan amal yang melahirkan hikmah seperti yang dituntut dalam alQuran.

Persediaan kita ini ibaratnya seperti kita mengadakan "Dress Rehersal"........


Sifat Wudhu Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam


Kita pastikan kita sentiasa dalam wudhu, dalam apa jua suasana. Cantikan diri dengan sentiasa memotong kuku dan lain-lain sepertinya dan apabila berdiri di hadapan cermin kita bayangkan bagaimana rupa kita setelah di kapankan nanti. Saya sendiri merasai ini bukan suatu yang mudah kerana kita tidak tahu apa yang akan kita lalui dan rasai nanti sebenarnya. Dengan itu kita pasti mengingatkan diri supaya menjaga nafsu supaya tidak dapat diheret syaitan untuk berbuat maksiat.

Kita sentiasa betaubat setiap detik semoga Allah mengampunkan segala dosa, yang nyata dan yang tersembunyi. Kita sentiasa membaharui Syahadah kita semoga Allah kurnia husnulkhatimah. Dan kita sentisa  muhasabah diri untuk memastikan usaha pengabdian kita itu benar-benar tulus ikhlas kerana Allah semata-mata. Kita harus banyak berlapang dada dan memaafkan orang lain....semuanya. 






Kemudian kita bayangkan perjalanan kita ke Tanah perkuburan tempat kita insyaAllah disemadikan. Mungkin kita disemadikan di dalam laut dan mungkin tidak tahu dimana dan tiada siapa yang tahu tempatnya.

Maka kita sentiasa memohon keampunan dari Allah semoga semua dosa-dosa Allah hapuskan. Kata Ustaz, manusia masuk Syurga Allah kerana kita tidak ada dosa. Maka kerana itulah sangat penting kita munajat bersungguh-sungguh memohon ampun dan sentiasa minta perlindungan dari Allah kita tidak mengulangi dosa atau jauh sekali melakukan dosa-dosa lainnya. Ustaz mengatakan bahawa amalan kita sebanyak mana sekalipun tidak dapat menghapuskan dosa kita melainkan Allah menghendakinya. Maka tidak betul kita berfahaman sekiranya timbangan kebaikan itu lebih berat dari timbangan kejahatan, maka sudah memadai. Tidak boleh difahami seperti kiraan matematik. Hakikatnya di sisi Allah berlainan. Yang berdosa harus di kenakan balasan di neraka dahulu. Nau'zubilahiminzalik. Sebab itu doa kita sentiasa "Wakinaazabinnar". Ya Allah, jauhkan aku dari api neraka.

Ada beberapa perkara lain yang boleh sentiasa mengingatkan kita akan hampirnya kematian, tanpa mengira umur. Kita sentiasa berdoa semoga umur kita sentisa bermunafaat dan  semua perbuatan kita dalam Redha Allah. Ada seorang teman saya yang mengingatkan diri dengan membuat persiapan untuk acara memandikan jenazah dan mengapankannaya. Maka disimpan satu set kelengkapan di rumahnya dan siap berpesan pada waris apa yang perlu dibuat sekembalinya dia ke Rahmatullah. Saya sendiri ingin mencontohinya tetapi belum kesampaian. Semoga hati saya sentiasa terdorong untuk mengabdikan diri pada Allah sesempurna yang terdaya.

Ada beberapa perkara lagi yang harus kita sentiasa berwaspada, terutamanya diumur senja ini. Namun setakat itu sahaja saya bercerita di sini. Yang lainnya saya mengatakan saya sedang membaca sebuah buku RAHSIA KEMATIAN, ALAM AKIRAT DAN QIAMAT yang ditulis oleh IMAM AL QURTUBI.

Saya belum habis membacanya. Buku ini mengutarakan dalil-dalil dari al Qurqn dan Hadith. Mana yang saya kurang faham saya tanyakan pada Ustaz. Lambat untuk menghabiskan Kitab ini dan semoga hajat saya kesampaian.

Ya Allah berikanlah kami Petunjuk dan Hidayah ke jalan yang Benar, Terimalah amalan kami, ampunkan dosa-dosa kami dan masukan kami dalam golongan para Syuhada', Sidiqin dan Solihain.
Aamiin ya Rabb.


.....

No comments:

Related Posts with Thumbnails