Alhamdulilah...amat bersyukur pada Allah. Usaha mendidik anak istimewa bukan suatu yang mudah. Namun kami tidak berputus asa. Malah seronok berusaha sambil melihat dan menghayati kebesaran Allah.........
Huzaifah aka Ujai sudah beberapa kali saya ceritakan di blog ini. Ia istimewa bawah kategori ADHD. (Attentation Deficient Hyperactive Disoder). Sifat yang nyata pada Ujai ialah sukar untuk memfokus perhatian. Oleh itu cara mendidik dan mengajar sesuatu perlu penuh kesabaran. Jika dilihat pada zahirnya secara keseluruhan, seperti ia anak yang normal kerana kekurangannya dan kelemahannya hanya dapat dikesan oleh pakar. Ibunya menyertai program terepi yang sesuai dan yang mampu bayar dan sedikit demi sedikit sudah ketara kemajuannya. Saya rasa terharu apabila ibunya minta saya hadir dalam majlis penyampaian Anugerah Cemerlang untuk tahun 2015 pada hari Sabtu yang lalu.
Ujai mendapat tempat ke 3 dari lima orang pelajar istimewa di Sekolah Rendah Putrajaya Precint 8 (2). Nyata bukan suatu yang hebat bagi anak normal. Tetapi saya mengaanggapnya suatu perubahan sikap kematangan bagi dirinya. Alhamdulilah. Tiada ciptaan Allah yang sia-sia. Di kelas pendidikan khas di sekolah itu ia tidak memuaskan hati saya sepenuhnya tetapi oleh kerana kami tidak mampu untuk ke sektor swasta maka kami terima seadanya.
Hari itu ia bangun agak awal dan terus bersedia untuk ke majlis di sekolahnya. Saya memerhati dengan rasa terharu memikirkan apalah masa hadapannya nanti. Kemudian teringat pesanan ustaz untuk sentiasa bersyukur atas apa jua ketentuan Allah. Semua ada hikmahnya yang kita tidak dapat bayangkan. Saya terus diam dan berzikir fikir.......
Dewan sekolah yang dihias cantik untuk menyeronokan pelajar. Kami datang awal kerana rasa teruja pertama kali saya ke majlis seperti itu, anak-anak istimewa bersama anak-anak normal dalam satu majlis.
Saya rakam peristiwa "bersejarah" baginya. Nanti dewasa dapat ia mengimbas kembali hari-hari dalam hidupnya.
Pelukan tahniah dari Tok Ayah. Huzaifah adalah cucu sulung kami.
Kasihnya Ibu membawa ke Syurga.....InsyaAllah semoga begitu.
Ia gigih mendidik dan bekorban masa.
Ia punya dua anak istimewa. Seorang lagi Otistik dan berumur 8 tahun.
Apabila pulang ke rumah saya berfikir dan berfikir mengapa Huzaifah masih di tahun 4 kerana jika mengikut umur ia harus berada di tahun 5 walaupun dalam kategori Pendidikan Khas. Saya bertanya pada ibunya. Guru yang bertanggongjawab menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan masih belum ada kurikulum untuk Tahun 5. Terkejut saya bila mendengarinya kerana sudah lebih 50 tahun Merdeka, anak-anak istimewa masih belum mendapat perhatian yang sewajarnya.
Fikiran saya terus sahaja teringatkan kata seorang doktor pakar yang memeriksa Huzafah. Katanya antara masaalah apabila dewasa jika tidak mendapat pertolongan semasa kecil dalam bidang pendidikan, ia akan menjadi "Mat Rempit". Katanya kebanyakan Mat Rempit adalah anak-anak yang cerdik tetapi tidak mendapat pertolongan professional bagi mendapat pendidikan dan latihan yang membolehkankan dia menyesuaikan diri dengan keadaan sekelilingnya.
Semoga Huzaifah tidak akan menjadi masaalah pada keluarga dan masyarakat. Pagi tadi saya menghubungi seorang pegawai semasa saya bekerja di Kementerian Pendidikan untuk mengaturakan satu pertemuan dengan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas bagi mendapatkan penjelasan selanjutnya.
Doakan saya berhasil mencari jalan yang sebaiknya bagi masa hadapan anak-anak seperti Huzaifah.
Mohon hidayah dan petunjuk Mu ya Rabb.....
.....
No comments:
Post a Comment