"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, June 24, 2020

"La haulawala quwataillabillah"......

A001
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ

TIADA DAYA UPAYA MELAINKAN DENGAN KEKUATAN ALLAH
YANG MAHA TINGGI DAN LAGI MAHA AGONG


Sejak kecil saya diasuh dan dididik supaya membesar tanpa banyak karenah
dari semua segi. Makan seadanya, berpakaian seadanya dan menghibur diri
 tanpa melibatkan kos. Ramai kekawan waktu itu yang macam saya.
Kata kakak-kakak saya kami makan jarang-jarang makan nasi.
Mencukupi makan ubi keladi keledek.
Cara hidup keluarga pendatang harus bersesuaian dengan
 keadaan yang serba tidak mencukupi.
Alhamdulillah mencukupi berkat usaha gigih emak dan bapak berjimat ceremat.

Bapak saya meninggal pada tahun 1963 ketika umurnya hampir 
satu ratus tahun mengikut ingatannya.
Waktu itu saya berumur 16 tahun.
Ini bermakna bapak saya sampai di Malaysia dipercayai pada awal tahun 1900.
Namun "pendatang" waktu itu tidak sama seperti hari ini.
Bapak saya dibenarkan menebang hutan secara kumpulan. Itu ceritanya.
Kemudian pohon getah ditanam dan saya membesar berasaskan cara hidup
 kampungan yang serba kekurangan. Alahamdulillah. Bapak saya tidak pernah cerita 
hidupnya susah walaupun sememangnya susah.
Kami semua terima seadanya. Bahagia cara pendatang....
Waktu bapak ada saya selalu duduk bersamanya waktu petang dan
saya bantu dia gulung rokok daun kesukaannya.
Hanya dengan tembakau dan cengkeh sahaja ingatan saya.

Allah maha adil pada hamba-hambanya.
Jika kita rajin berusaha Allah kurnia sewajarnya. Bapak saya seorang
 "santri" pasentren dan dia bekerja kuat sebagai pekebun kecil sambil mengajar
 kekawan seiringan Ilmu Fardhu Ain.
Ada sebahagian kitab-kitab dalam bahasa Jawa yang saya kumpul dan simpan.
Tetapi dalam saya berpindah randah saya hilang sebahagiannya.

Saya hanya mendengari ceritanya kerana saya bongsu dalam keluarga dan
tidak dikira perlu untuk tahu semuanya.
Dan saya membesar dan mendewasa tanpa banyak menghadapai masaalah sosial.
Alhamdulillah umur saya samapai kini dan rasa seronok saya keturunan keluarga pendatang.
Kami kerja kuat dengan tulang empat kerat.
Waktu cuti sekolah saya ikut emak saya menoreh getah di kampung lain.
Kami tinggal menumpang saudara di rumahnya dipinggiran hutan.
Allah maha kasih sayang pada hambanya. Kini saya mengerti sebab waktu itu
saya tidak pernah rasa takut pada binatang seperti harimau
yang sesekali memasuki kampung.
Babi hutan adalah perkara biasa. Ular pun berkeliaran juga.
Alahamdulillah Allah pelihara dan kami selamat tidak pernah jadi mangsa.



Kini saya sudah tergolong dalam warga tua.
Umur 74 tahun penuh peristiwa.
Bunga-bunga yang cantik seperti di atas ibaratnya kini sepeti dedaun yang saya
kongsikan di sini juga nyata.
Alhamdulillah Allah kurnia rasa insaf dan bersyukur atas segala kurniaanNya.
Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan apa yang Allah kurnia buat kita.

Nanti bila ada kemampuan dan kesempatan saya cerita lagi peristiwa.
Kecelaruan politik kini buat saya rasa hiba.
Sama-sama kita berdoa apa jua yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Antaranya kita mula memahami kecelaruan yang akan berlaku di Akhir-akhir zaman. 
Maka kita diingatkan untuk membuat persediaan dari semua aspek kehidupan.

Semoga kita tidak di buai kemegahan harta dan hiburan.
Semoga kita sentiasa berusaha memperbaiki cara berfikiran dan mohon Kebijaksanaan.
Dan lain-lain lagi yang para Ustaz sarankan.
Kita ikuti sekarang kerana diakhir-akhir nanti Allah ambil dahulu Ilmuan yang
dapat mengajarkan kita erti Iman dan Taqwa yang mendalam.
Semoga kita tidak tertinggal dan ketinggalan.
Semoga Allah kurnia buat kita belas kasihan dan kasih sayang.
Aamiin ya Rabbalalamiin....



No comments:

Related Posts with Thumbnails