"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, September 14, 2009

MANA PERJUANGAN KITA

Pada Malam 13 Ramadhan Masjid Ar Rahman, Kg. Tunku dikunjungi tetamu istimewa dari Palestine. Ia dibawa khas oleh Sebuah NGO, "Haluan Palestine". Nama sebenarnya saya tidak ingat kerana disebut terlalu pantas oleh pengerusi majlis. Selepas majlis bersurai suami saya memberi tahu tetamu itu di gelar "Ahmad Yasin Syria".

Beliau datang dalam rangka lawatan ke negara Islam untuk mendapat sokongan moral dan material. Yang penting baginya bukan pertolonga harta benda semata-mata, tetapi mengharapkan umat Islam memahami isu Palestin dan terus menyokong perjuang mereka. Katanya isu pembebasan Palestine dan mendaulatkan Masjid Al Aqsa bukan perjuangan orang Palestine sahaja. Bukan juga perjuang orang Arab sahaja tetapi ini adalah perjuangan umat Islam sejagat. Sebab Allah telah menyebutkan dalam Al Quran bahawa Palestine adalah antara bumi Barakah yang Allah khaskan untuk orang yang beriman denganNya.


ANTARA PENDENGAR CERAMAH

GAMBAR KENANGAN


Di Malaysia ramai pejuang Palestine yang datang untuk memberi ceramah seperti ini. Tetapi kali ini ia berlainan sedikit kerana tetamu ini pernah dipenjarakan oleh Israel dan di dera dan diseksa dengan amat teruk sekali hingga matanya menjadi buta kedua-duanya. Oleh kerana masa ceramah adalah selepas Solat Terawikh, maka amat singkat sekali untuk berkenalan secara rapat. Tetapi sudah cukup untuk saya bertanya pada diri saya, "Di mana perjuangan saya untuk mendaulatkan kebenaran Islam?"

Agak malu rasa di hati bila terkenang hidup di Malaysia ini Allah beri rahmat terlalu banyak tetapi semangat juang kita agak lemah. Ada yang mengatakan rapuh. Kata setengah kawan ini adalah kerana masyarakat kita agak sudah bobrok hati dan mindanya kerana dibuai kemewahan, dilalaikan dengan hiburan dan diberi janji-janji yang mengelirukan.Tiada lagi keyakinan dan kekuatan untuk berjuang menegakkan kebenaran.

"KEBENARAN TIDAK PERNAH MEMIHAK" kata sepanduk di lebuh raya di tengah-tengah bandaraya Jakarta saya lihat baru-baru ini. Teringat benar kekurang yang ada pada diri sendiri, kerana tidak berani muncul kehadapan dan menggunakan berbagai alasan untuk tidak berbuat apa-apa. Jangankan berani menggadai nyawa, kehilangan tempat kerja dan kedudukan pun sudah rasa takut. Amat malu rasa dihati.

Jadi saya berazam untuk berdoa di malam-malam 10 terakhir Ramadhan ini semoga Allah meningkatkan iman dan taqwa, hati ini Allah tanam dengan keberanian dan kebijaksanaan untuk memahami yang benar dan yang batil, dan kemudian memohon semoga Allah menunjuk jalan bagaimana untuk bertindak seterusnya agar nanti di Padang Masyar tidak ada penyesalan.

Ya Allah, hambaMu yang kerdil ini mohon pertolongan. Sesungguhnya Engkau Maha Bijaksana, Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Jadikanlah kami orang yang benar-benar beriman dan yang benar-benar berani seperti Saidina Umar Al Khatab dan Salahuddin Al Ayubi yang pernah membebaskan Baitul Maqdis dan menegakkan Islam.

Kalau tidak di sana, sekurang-kurangnya di Malaysia.

No comments:

Related Posts with Thumbnails