"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, November 23, 2009

KORBAN 360



Eidiladha kini menjelang lagi. Rasa hati ini ingin membawa berita gembira untuk dikongsi sama dibulan Haji walau pun tidak menunaikan haji. Tetapi lumrah hidup, diselit-selit kebahagian ada juga Allah datangkan kegelisahan. Mungkin untuk menguji atau mungkin untuk memberi amaran waspada supaya kegembiraan itu sungguh benar-benar merupakan kegembiraan. Janganlah ia seperti keadaan sesaorang yang amat dahagakan air ditengah-tengah padang pasir yang rasa gembira kerana nampak 'mirage' di hdapan mata yang disangkakan telaga air dilembah wadi.Tapi rupa-rupanya ia hanya 'reflection' air yang amat jauh letanya entah dimana. Ini satu ingatan supaya jangan nanti dalam hidup ini diakhir hayat, kekecewaan yang menjelma.

Eidiladha membawa erti PENGORBANAN. Pada diri ini ia membawa berbagai kenangan silam. Teringat detik-detik meraikan Eidiladha
bersama keluarga dan menyibukan diri bersama orang kampung mengendalikan ibadah Korban. Tetapi kali ini penantian Eiduiadha berlainan sedikit kerana teringat akan peristiwa hidup yang tidak pernah difikirkan akan betul-betul berlaku tetapi ia berlaku. Hanya Allah yang maha mengetahui liku-liku perjalanan hidup ini.

Tahun masehi 2009 mengejutkan pemikiran untuk menilai semula penghayatan mengenai kehidupan dan pengorbanan. Bila mendengar khutbah solat Eidiladha mengenai ibadah korban pada masa-masa yang lampau, ia seolah-olah suatu ibadah yang ritual. Ia sunat muakad dari segi hukum tetapi tidak pernah mengaitkannya dengan erti pengorbanan dalam hidup harian. Ibadah Korban seolah-olah ibadah bermusim, seperti bermusimnya ibadah walimahtulurus. Alangkah meleset tanggapan ini. Bukan tidak pernah mendengar cerita-cerita mengenai ibadah korban seperti disebut di dalam alQuran, kisah Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya, dan kisah pengorbanan Talut adik beradik, yang mana diterima dan yang mana tidak diterima. Selalu juga mendengar kisah-kisah pengorbanan yang lain yang diceritakan oleh ustaz-ustaz dan orang-orang alim dan juga dari orang-orang biasa yang pernah melalui derap langkah kehidupan yang berbagai rupa dan berbagai ragam.Diambang Eidiladha ini, erti pengorbanan dilihat semula.

Kali ini dengan tibanya Eidiladha 1430 H, satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan telah mengubah corak pemikiran tentang korban dan pengorbanan. Peristiwa ini yang tidak dapat diceritakan perincinnaya telah memaku pemikiran untuk merombak perspektif Korban bagi diri sendiri. KORBAN 360 adalah konsep pengorbanan bukan yang melibatkan harta, wang ringgit, masa dan tenaga semata-mata tetapi ia pasti meliputi pengorbanan yang berkait dengan minda dan hati. Pengorbanan yang berbentuk fisikal bila difikirkan kembali, ia amat mudah dilaksanakan. Bila orang memerlukan pertolongan maka semacam tidak keberatan kita tampil untuk menyumbang sebanyak yang terdaya dan dengan mengikhlaskan hati semoga Allah terima sebagai amal jariah yang dapat membantu kita di akhirat nanti.

Tetapi bila tiba-tiba Allah kejutkan dengan bentuk pengorbanan yang lain pula, yang melibatkan hati dan minda sepenuhnya maka sememangnya seperti rasa "tercegat kaku" dan sepertinya hilang daya berfikir untuk beberapa ketika, malahan untuk beberapa hari dan minggu. Ketika itu yang ada dihati ialah rasa kecewa dan rasa marah dan seolah-olah mahu berbuat sesuatu yang dapat "membunuh" dendam kekecewaan dan kemarahan. Ketika itu timbul hasutan-hasutan untuk menukar haluan hidup, menukar persekitaran, malah menukar apa saja asalkan dapat menghilangkan rasa dendam kecewa dan marah itu.

Alhamdulilah, rasa itu tidak kekal walau pun ia berbolak balik hingga kini. Bila rasa berbolak balik maka ada kesempatan yang Allah beri untuk menilai hati nurani dan memujuk minda untuk berfikiran yang berlandaskan pada hakikat bahawa kita adalah hamba Allah dan Syaitan sentiasa di sekeliling kita untuk meruntuhkan keimanan dan ketaqwaan yang kita bina selama ini. Ketika peristiwa melanda, kehidupan ini sepertinya terperangkap dalam cuaca ribut tafuan yang dahsyat. Ditakdirkan ketika ribut melanda tidak ada tanah yang runtuh dan tidak ada banjir yang berpanjangan.Alhamdulilah. Dan apabila ribut mula agak reda, minda ini tenang dan hati ini seperti tidak bergolak lagi.

Disebut di sini Korban 360 sebab peristiwa yang berlaku mencabar kesabaran dalam mengendali erti 'self esteem' atau harga diri, erti kebahagiaan, erti perkongsian, erti menundukkan diri pada manusia dan erti pengabdian pada Allah. Konsep ikhsan dalam Islam yang dihayati mula "dibongkar" oleh minda yang rasa penuh individualisma yang diselimuti oleh ego yang meronta-ronta untuk menilai semula identiti diri. Soalan-soalan yang tidak sepatutnya timbul dalam minda dan hati, keluar seolah-olah banjir besar yang mengalir deras sudah tidak terkawal lagi.

Alhamdulillah, Allah masih menghantar malaikatnya untuk menolong meredakan keadaan yang seperti dalam peperangan. Peperangan nafsu adalah lebih bahayanya dari peperangan senjanta canggih. Dengan pertolongan Allah maka dapatlah seluruh tubuh ini melutut sujud beristighfar hingga agak terkawal pemikiran dan perasaan. Kini badai telah berlau dan hati dan minda boleh bertenang. Sudah boleh bercerita seperti dalam penulisan ini. Alhamdulilah. Bukan kerana masaalah sudah selesai tetapi dengan pertolongan Allah jua hasutan-hasutan dapat diketepikan dan janji Allah dapat kembali bertahta di hati dan minda ini.

Hidup ini amat singkat. Kenapa perlu bersedih hati atas sesuatu yang sememangnya berlaku bukan dalam kawalan diri sendiri. Mengapa perlu rasa kecewa kalau niat perbuatan kita dalam kehidupan ini adalah semata-mata kerana Allah swt. Kenapa perlu ragu mengenai janji Allah kerana keraguan itu akan memusnahkan segala amalan yang belum pun boleh dikira cukup dan sempurna di sisi Allah swt. Masih banyak perilaku pengabdian pada yang maha Pencipta yang belum terurus rapi, belum samapi maqam ikhlas yang dituntut Ilahi. Kenapa perkara yang hak bagi Allah yang kita rasa semacam "kecil" di sisi Nya kita terasa amat besar semata-mata kerana EGO kita belum terurus dan terkawal sepenuhnya dan sewajarnya. Hati kecil ini berkata-kata.

Lihat sahaja disekeliling kita, yang dekat dan yang jauh. Berbagai ujian telah Allah turunkan: peperangan, kebakaran hutan yang besar, ribut taufan, banjir yang merosakan segala-galanya, tsunami, kelaparan, kemarau panjang dan berbagai lagi. Dalam hal ini saya berfikir dan tidak putus-putus bermunajat semoga Allah melimpahkan rahmatnya dan saya dapat memahami mengapa sesuatu perkara yang kita amat takuti berlaku pada diri kita. Saya mengingat semula sedikit ilmu yang ada mengenai Qadha' dan Qadar yang Ustaz-ustaz menerangkan, saya mengingat kembali erti pengabdian yang sebenar-benarnya, saya ingat bermacam-macam lagi untuk "sekali lagi" meyakinkan minda dan hati ini bahawa hidup kita ini adalah untuk pengabdian, pengabdian yang kita selalu mohon pada Allah supaya kita diiktiraf hamba yang sebenarnya seperti yang disebut dalam Surah AlFajr. Saya mengingatkan semula diri ini bahawa dalam hidup ini kita tidak boleh mempersoalkan perkara-perkara seperti hak individu, hak suami isteri , hak keluarga, dan apa jua jenis hak kerana kita ini hamba dan hak mutlak adalah hak Allah semata-mata. Hak yang kita anggap hak adalah pinjaman dari Allah jua. Kebolehan yang kita anggap kebolehan kita pun sebenarnya sifat-sifat Allah yang dipinjamkan pada kita.

Maka teringat pula doa yang diajarkan oleh seorang ustaz yang berbunyi : "Ya Allah, jika apa yang berlaku pada diri ku kini adalah kifarah atas dosa-dosa ku, maka ku pohon keampunan yang sebenar-benarnya dan aku taubat nasuha. Dan ku pohon pada Mu kembalikan aku pada fitrah suci ciptaan Mu. Ya Allah, jika apa yang berlaku ini adalah ujian atas keimanan ku, maka aku mohon pada Mu agar dikurniakan kesabaran yang sempurna, untuk mencapai tahap taqarub bahawa Engkau adalah bersama-sama orang yang sabar, dan jika yang berlaku ini adalah Qadha' dan Qadar dari Mu, maka aku pohonkan agar Engkau kurnia rahmat Mu agar hati ini reda dan Engkau meredhai. Ya Allah, jika apa yang berlaku ini adalah cara engkau menunjukan kasih sayang Mu pada ku, maka Ya Allah, buatkan lah hati ini mengerti dan mersai kasih sayang itu kenara sememnag nya itu yang ku pohon selama ini. Kalau aku tidak faham dan mengerti kasih sayang Mu, maka Ya Allah didiklah hati ku ini supaya iman ku ini bulat jitu pada Mu ya Allah. Dan bila sampai saatnya aku kau panggil kembali semoga Engkau akan berkata pada ku : "Wahai jiwa- jiwa yang setiasa tenang, tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya, Kembalilah kepada Tuhan mu dengan keadaan engkau redha dan Aku meredhai, Dan masuk dalam kumpulan hamba-hamba Ku yang berbahagia, Dan masuklah kedalam syurga Ku."
Allahuma Amin.

2 comments:

noraini said...

Salam sobah. cantik doa..terpegun saya maksudnya. Tahniah. Saya sibuk juga buat blog akhir-akhir ini. Saya hajat akan mengedit satu hari untuk buku tinggalan saya insyaAllah.wassalam

ngasobahseliman said...

I enjoy reading your entries. worth publishing it.

Related Posts with Thumbnails