Eiduladha kali ini saya pulang ke Kampung Parit semerah, Pontian, Johore, tempat saya dilahirkan dan tempat saya dibesarkan. Suasana Hari Raya Korban di Pontian tidak semeriah seperti ditempat lain. Saya balik ke rumah kakak dan berhari raya dengan anak-anak buah dan keluarga mereka. Masih ada penghayatan konsep 'extended family' dan saya bebas menegor apa-apa yang tidak kena mengenai prilaku mereka. Alhamdulilah, masih rasa dihargai sebagai orang tua dalam keluarga.
Topik perbualan masih berkenaan peperiksaan UPSR sekolah rendah. Dua orang cucu mendapat keputusan yang kurang menggembirakan emak ayah masing-masing kerana seorang dapat 3A dan seorang lagi 4A sahaja. Oleh kerana dahulu saya berkerja di kementerian pendidikan, mereka kata saya boleh memberi nasihat pada cucu-cucu. Saya senyum kerana agak tidak bersetuju dengan saranan mereka. Saya katakan pada mereka supaya jangan kecewa kerana ini baru peringkat permulaan dalam perjalana hidup yang masih jauh lagi.Yang rasa hampa, rasa kecewa adalah ibu bapa kerana anak-anak mereka dianggap sebagai gagal kerana bilangan "A"nya tidak seperti yang di harapkan.
Saya ulang-ulang mengatakan supaya tidak gundah dan terbantut harapan kerana anak-anak mereka saya lihat ada potensi untuk maju. Saya lihat setakat ini mereka membesar dengan badan yang sihat dan emosi yang riang. Dari segi akhlak saya lihat tidak ada apa-apa yang keterlaluan sama ada dari segi tingkah laku atau cara mereka mengurus diri dan kemahuan hati. Saya menasihatkan ibu bapanya supaya jangan menggunakan anak sebagai 'alat persaingan' hidup dalam masyarakat. Kata kawan baik saya jangan gunakan anak sebagai 'bahan pameran' keluarga. Mereka sayang anak dan rasa seronok dengan anak sebab anak "pandai" dan pandai hanya di ukur dari segibilangan 'A' yang diperolehi dalam peperikasaan. Saya mengatakan 'A' dalam peperikasan di tahap mana sekalipun bukan penentu kejayaan. Ia hanya merupakan faktor yang menyumbang pada kejayaan. ( It is not a determinant factor but only a contributing factor). Ini saya lihat dari pengalaman dalam kerjaya saya dan hidup harian saya.
Ibu bapa hanya perlu muhasabah diri dan melihat kembali strategy pembelajaran dan pendidikan bagi anak-anak, terutamanya pendidikan akhlak. Kita rujuk alQuran surah Al Lukman. Asas pendidikan adalah akhlak, jangan kita mensyirikan Allah. Paradigma tauhid perlu wujud dalam semua perilaku harian. Yang kita harus bersedih yang amat sangat ialah jika anak kita tidak menampakkan potensi seorang yang soleh.Kalau potensi ini wujud, maka insyaAllah yang lain akan mudah dibina dan insyaAllah akan mendapat pimpinan ke jalan yang di cita-citakan. Semua dengan Rahmat dan Kehendaknya.
Saya pun membuat pemerhatian bahawa bibit-bibit takut atau khuatir pada penilaian diri sudah ditekankan dari umur yang begitu muda. Maka tidak hairanlah bila sampai di peringkat pengajian tinggi ramai pelajar yang sikap persainagan nya hingga menjadi "kedekut" untuk berkongsi ilmu. Masing-masing seperti enau di hutan, mahu melepaskan pucuk masing-masing. Saya ingat semasa saya di University dahulu pihak Library bersungut kerana buku-buku diletak di seksyen yang bukan pada tempatnya kerana ada mahasiswa yang tidak mahu buku itu terdapat di tangan pelajar lain. Persaingan amat sengit sekali. Tetapi ini adalah bentuk persaingan yang tidak sihat.
Dan bila dewasa dan masuk kedunia pekerjaan pula, ramai yang melihat penilaian sebagai satu proses penapisan untuk meletakkan sesaorang itu ditahap mana di dalam struktur organisasi. Kadangkala rasa cemburu dan curiga dikalangan rakan seperingakat sampai ketahap yang membimbangkan kerana ia boleh menjejas semangat kerja sebagai satu kumpulan atau 'team work' dalam organisasi. Kemudian sesiapa yang dipertanggongjawabkan dengan fungsi mendapatkan maklumat -maklumat yang tersurat dan tersirat, akan merasa tidak selesa kerana tugas ini adalah seperti melihat dan mencari-cari kelemahan individu. Borang penilaian prestasi pun tidak putus-putus dikritik kerana tidak ada pendapat sebulat suara untuk menentukan fakta mana yang harus diberi weightage yang tinggi.
Sebenarnya membuat penilaian atas diri sesaorang bukanlah suatu perkara yang mudah. Penilaian atas barangan dan perkhidmatan yang tiada unsur hati dan perasaan pun tidak mudah, inikan pula menilai prestasi dan hati budi sesaorang.Namun kita tidak boleh lari dari menilai dan dinilai. Ada diantara kita takut menerima penilaian dari pihak kedua atau ketiga. Perasaan kita rasa agak terganggu jika kita dapati ada yang tidak kena pada diri kita. Oleh yang demikian dengan senyap-senyap kita akan melarikan diri , kalau boleh dari dinilai oleh orang lain. Contohnya, lihat saja format "comments" dalam penulisan blog. Kita akan ditanya sama ada kita mahu memperlihatkan semua komen atau kita akan menapis komen-komen dahulu sebelum komen tersubut diterbitkannya. Bila diterbitkan maka orang lain akan tahu qualiti penulisan kita dan akan tahu kesahihan apa yang kita tulis. Apa salahnya kita menerima tegoran. Kalau pujian kita seronok maka kritikan juga patut menimbulkan keinsafan bahawa banyak perkara yang kita belum mengetahui dan belum sempurna.
Saya terfikir-fikir mengapa agaknya kita rasa takut dan tidak selesa atau rasa malu bagaimana kita dinilai oleh orang lain. Dan kalau kita di pejabat dan kita seorang 'boss' kita kadang kala rasa teragak-agak untuk menilai orang bawahan kita dengan nilaian yang menunjukan dia itu lebih 'hebat' dari kita. Adakah kerana kita takut nanti dia pula yang jadi 'boss' pada kita atau apa agaknya.
Sebenarnya semua kita sentiasa dinilai oleh Allah swt, setiap detik, dari segi memtuhi segala rukun dan segala peraturan-peraturan yang ditetapakan. Dan pada pendapat saya apa salahnya sesaorang itu mengetahui bagaimana kita dinilai oleh sesaorang yang lain. Ini adalah satu bentuk perkongsian dan ini boleh membantu kita dalam proses muhasabah diri. Jika kita boleh berkongsi dalam hal seperti ini maka kebarangkalian untuk mempertingkatkan prestasi dan membina hati nurani yang lebih ikhlas akan lebih mudah tercapai. Menilai dan dinilai adalah proses latihan menhadapi mahkamah Agong di akhirat nanti, di hadapan Rabbul Jalil. Biar kita malu di sini dan jangan kita malu di sana. Biar kita nampak tidak hebat di sini asalkan di sana kita bersih putih, dengan izin dan Rahmat Allah. Dan penilaian kita hendaklah dari pelbagai sudut supaya kita menjadi sesaorang yang 'wholesome' iaitu yang berperibadi syumul. dan kita sentiasa ingat bahawa kita sentiasa diperhatikan dan dinilai.
Lihat alQuran surah Yunos, ayat 61 yang bermaksud : "Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari alQuran, dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal dan usaha, melainkan adalah kami menjadi saksi terhadap kamu, tetekala kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhan mu sesuatu dari sehalus-halusnya atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu, dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis dalam kitab yang terang nyata."
Jika kita lita lihat ayat ini dalam konteks korban dan pengorbanan, maka jelas bahawa untuk mencapai sesuatu keunggulan pasti kita perlu berkorban dan perlu mengurus hati dan minda agar selari dengan tuntutan Illahi. Semoga kita semua dapat melapangkan dada untuk menerima tegoran walau pahit sekalipun kerana kepahitan dan kegetiran di sini sekejap sahaja berbanding di sana, iaitu di akhirat nanti.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment