Lukman nama pengantin lelaki ini. Dia anak saudara sepupu suami saya sebelah ayahnya. Hujung minggu lepas saya menghadiri majlis pernikahannya di Kg Delek, Kelang, Selangor.
Unik pada pandangan saya. Lukman anak muda teruna tetapi bersetuju mengambil seorang perempuan yang sudah punya seorang anak. Bukan ramai jejaka yang mahu berbuat seperti itu. Itulah Cinta tulus ikhlas ikut pemerhatian saya. Ia seharusnya tidak aneh. Cuma manusia mempunyi berbagai pendapat dan berbagai citarasa.
Jika jejaka rela berbuat begitu, keluarga pula yang kurang serasi dengan keputusan seperti itu. Tetapi keluarga Lukman mudah menerimanya. Mungkin atas berbagai sebab yang hanya tuan punya diri sahaja yang benar-benar tahu dan memahami. Dalam senario seperti ini teman-teman dan saudara mara hanya suka melihat situasi ideal dan mungkin ada yang rasa kurang "seronok" jika kriterior pemilihan berlainan dari yang biasa. Mungkin ramai dari kita yang terpengaruh dengan pendapat masyarakat yang terpapar di media massa.
Antara keluarga besar Lukman.
Kasih sayang adalah 'komoditi' yang selalu menjadi 'pertaruhan' dalam perkongsian hidup. Bukan hanya kasih sayang antara suami dan isteri tetapi kasih sayang antara semua ahli dalam keluarga. Sensitiviti kasih sayang selalu menjadi bicara hati antara ibu dan menantu, antara ibu dan ayah dengan anak tiri, atau anak angkat malahan anak kandung juga. Sensitiviti kasih sayang juga wujud antara adik beradik. Tidak hairan kalau bukan adik beradik sedarah sedaging, tetapi yang sedarah sedaging pun wujud sensitiviti itu.
Saya tidak bertujuan bicara lanjut kerana apa jua pendapat pasti ada betulnya dan ada yang kurang betulnya. Maka lebih baik kita mengadu pada yang maha Kasih Sayang jika ada yang tersentuh di hati. Kerana Dia yang maha mengetahui apa yang nyata dan apa yang tersembunyi. Kita tarbiah diri semoga redha atas segala ketentuanNya.
Mohon Hidayah dan Taufiq Mu Yaa Rabb...
....
No comments:
Post a Comment