"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Monday, April 7, 2014
Ilmu lalu sentuhan jejari...
Kebelakangan ini saya banyak mengikuti berita bagaimana usaha-usaha sedang dijalankan untuk mencari hingga dapat pesawat MH370. Saya dapat mendengari dan mengumpul maklumat dengan menggunakan jejari membuka TV. Pendapat professional dalam berbagai bidang dari seluruh dunia dapat saya ketahui. Yang saya kurang faham saya simpan untuk bertanya dengan sesiapa yang dapat memberi penerangan lanjut pada saya. Tetapi setakat ini saya belum berpeluang.
Tidak mengapa. Saya cuma cerita balik pada keluarga apa yang saya faham. Hati kecil saya seakan-akan tidak yakin pesawat ini dapat ditemui. Hanya Allah yang maha mengetahui.
Umumnya perkembangan teknologi amat memudahkan perjalanan hidup. Tetapi kemudahan ini menimbulkan banyak juga risiko dan menjadikan hidup rumit dan menimbulkan stress.
Di laman sosial kita banyak mendengar dan melihat bagaimana bermulanya pergolakan politik di beberapa negara. Di Malaysia tidak kurang sensasi yang bertebaran di sekeliling kita. Saya tidak mahir IT dan tidak mahir menggunakan smart Phone yang anak saya beli untuk saya. Sebenarnya saya hanya perlu fon yang biasa-biasa sahaj tetapi anak saya kata itu sudah tidak canggih dan katanya kita sudah tidak dapat mengikuti apa yang berlaku di sekeliling kita. Maka saya belajar menggunakan smart fon tetapi masih terkial-kial. Saya mendapat hantaran maklumat dari teman-teman dan ahli keluarga mengenai banyak perkara. Tetapi saya suka menumpu pada maklumat yang berkaitan Islam, khususnya mengenai bagaimana umat Islam menjana hidup dalam ruang lingkup paradigma Tauhid.
Dalam kemelut bertukar maklumat, menambah maklumat, menyangkal maklumat dan berbagai tindakan lagi mengenai maklumat, Ustaz dalam satu kelas pengajian menyelitkan sedikit saranannya supaya jangan mudah-mudah memanjangkan maklumat "forward" maklumat kalau kita belum benar-benar memahami implikasi maklumat yang kita terima.
Kata Ustaz: dengan sentuhan jejari kita boleh menimbulkan sensasi, boleh menimbulkan fitnah, boleh membingungkan fahaman sesuatu konsep dan boleh berbagai lagi. Tetapi kata Ustaz kalau berita atau maklumat itu sesuatu yang kita yakin betul dan benar, sememangnyalah ia bermunafaat untuk dipanjangkan. Tetapi ia meminta supaya kita berwaspada jangan mudah-mudan memforward walaupun yang kita forwardkan itu cantik bahasanya dan logik bunyinya. Sebab yang logik tidak mesti betul. Kita forwardkan yang ada nas di sertakan supaya orang yang menerimanya boleh rujuk kembali. Kalau maklumat kosong, hati-hati menerimanya dan hati-hati-hati juga jika memanjangkannya.
WaAllahu'alam.
Kini amat sukar mahu menentukan kesahihan.Ilmu lalui sentuhan jejari boleh menumbangkan sebuah kerajaan. Di Mesir sudah berlaku dan Di Turkey kini sedang berbalah anatara kerajaan dan pembangkang bila Perdana Menteri Erdowan memnghapus dan membatalkan banyak kemudahan berkaitan dengan IT.
Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan yang benar dan ilmu yang kita perolehi dapat kita laksana dan boleh membawa kita lebir hampir pada yang maha Pencipta.
Semoga kita redha dan Allah meredhai.
Aamiin.
....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment