"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, April 2, 2014

Sayang-sayang buah kepayang....




Saya sayang Malaysia.

Benar-benar sayang. Bukan sayang buah kepayang...dimakan pahit, dibuang sayang.

Allah kurnia berbagai nikmat di Malaysia.... Tanahnya subur, dan hasil mahsul bumi amat lumayan. Tidak ada gunung berapai dan tidak ada masaalah banjir besar yang tidak dapat diselesaikan. Tempat-tempat pelancungan pun makin hari makin menawan.

Alhamdulilah. Semoga berpanjangan....

Tetapi rasa sedih sedikit sekarang  kerana ia dicurigai oleh pihak itu dan pihak ini dalam mengendalikan peristiwa kehilangan pesawat MH370 yang belum kunjung selesai hingga sekarang. Saya rakyat Malaysia biasa yang hanya mendengari dari media masa dan dari perbualan santai jiran tetangga dan teman-teman. Ingin rasanya hendak berkata sesuatu tetapi mana ada fakta yang sah yang boleh diterima pakai? Tetapi bukankah analisa dan penyelidikan pakar dan professional pun kekadang menampakan percanggahan ? Namun pihak awam terutamanya waris penumpang negara China ramai yang mahu menuding jari pada Malaysia mengatakan tidak cekap dan waris mangsa tidak diberi layanan yang memuaskan. 

Ada yang berkata ini berlaku kerana Malaysia tidak telus, menyembunyikan fakta dan usaha yang dijalankan sebagai penyelaras utama dalam penyisatan peristiwa kehilangan tidak meyakinkan. Banyak masa terbuang kerana data-data dan maklumat yang dikongsikan tidak jelas dan tidak telus dan berbagai lagi sangkaan dan tuduhan yang dilemparkan pada Pentadbiran yang saya rasa mungkin Malaysia  pun kebingungan kerana tidak punya pengalaman.

Tetapi sebenarnya tidak ada pengalaman tidak bererti tidak ada kebolehan.

Saya simpati dengan pihak Kepimpinan. Tetapi ada kalanya rasa seperti kecewa juga bila mengikuti sidang akhbar yang mendapat liputan TV dalam dan luar negeri bila mendengari pegawai tidak jelas bertutur dalam bahasa Inggeris dan mungkin kerana itu maklumat tidak mencapai tujuan. Kadangkala maklumat pun menampakan percanggahan. Salah maklumat dari pakar ataukah dari kecuaian penyelarasan, tidak ada kepastian....hanya andaian.

Apa yang berlaku di belakang pentas pengurusan saya tidak tahu dan saya tiada saluran untuk menayakan.  Saya pesara awam tetapi masih berminat memerhatikan. Saya rasa seperti ada kecelaruan dalam mengurus maklumat dan mengurus proses membuat keputusan. 

Tetapi tidak adil berkata demikian kerana pastinya sekarang Malaysia sudah bertambah canggih dalam semua aspek pengurusan. Namun hati saya masih berkata-kata sendirian. Teknologi mudah menerima perubahan tetapi saya kurang yakin dengan budaya pengurusan yang masih tidak begitu licin dan telus dalam memilih kepimpinan peringkat atasan. 

Itu dahulu, jangan ketinggalan zaman.  Sekarang tidak boleh disamakan, seorang teman menegur cara saya berfikiran. Saya menganggukkan kepala tanda saya faham.

Tetapi memahami sesuatu itu tidak semestinya menyetujuinya.

Saya cuma ingin melihat kebelakang......

Entah mengapa saya masih merasa tidak selesa melihat cara krisis diuruskan....adakah seperti yang saya alami semasa saya dalam perkhidmatan. Ketika itu ramai pegawai yang amat terikat dengan prosidur yang diguna pakai dalam amalan harian. Ramai yang tidak berani bertindak mengambil risiko dalam menangani hal-hal luar biasa termasuk hal-hal kecemasan....... walaupun kuasa untuk berbeza pendapat dibenarkan dalam peraturan yang ditentukan. Dengan lain perkataan pegawai yang menduduki jawatan tertentu tidak berani mengguna kuasa yang ada ditangan. Sering sahaja merujuk ke atas untuk kepastian.

Pastinya pengalaman ini tidak relevan sekarang. Sepuluh tahun masa yang panjang. Golongan muda pastinya lebih berani tampil membuat perbezaan dalam menangani permasaalahan dan apa jua yang dikategorikan sebagai kecemasan...... bukan  bertindak menunggu arahan dan bersantai menunggu giliran.....

Sampai disini sahaja saya catatkan. Seorang teman mengingatkan supaya berhati-hati melayan fikiran....nanti dikira memfitnah tanpa haluan.

Maka saya mohon kemaafan...
Dan pada Allah saya mohon keampunan...
Kerana saya juga punya kekurangan dan kelemahan.

Semoga Allah menurunkan pertolongan dan memungkinkan buah kepayang boleh diolah menjadi sedap untuk santapan.... 

...

No comments:

Related Posts with Thumbnails