"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, September 23, 2014

Mengenal erti hidup....




Cucu-cucu suka bergelut, di kereta, di bilik ....di mana sahaja. Kekadang mati akal bagaimana mahu berurusan dengan mereka, bagaimana mahu berkongsi cerita dan mengisi dada dengan pesanan-pesanan membina.

Sering tergendala.........

Semasa membawa cucu-cucu bercuti saya teringat selalu pesanan pengetua TASKA dan TADIKA SmarTop, Norlida, yang sentiasa mahukan pengasuh dan murobbiah kami cuba menerapkan erti kasih Allah pada ciptaanNya, termasuk haiwan. Norlida menyarankan supaya sentiasa cuba mengamati segala ciptaan Allah dan ini akan dititikberatkan apabila membawa anak-anak SmarTop keluar ke tanah lapang. Dari kecil harus ditanam rasa menghayati bahawa Allah maha Pengasih maha Penyayang pada manusia dan juga haiwan. Dan anak-anak diasuh memberi kasih sesama manusia dan juga haiwan. Ini merupakan sebahagian ciri-ciri pengabdian dan semoga sebati hingga dewasa.



Sepanjang perjalanan ke Sungkai saya asyik menarik pemerhatian Ujai dan Akif supaya melihat di luar kenderaan, melihat burung berterbangan dan pohon-pohon yang menghijau serta bunga-bunga berbagai warna. Ini usaha yang rumit buat saya kerana kenderaan yang dipinjamkan pada kami ada skrin TV dan mereka lebih minat menumpu ke situ. Saya rasa tercabar bagaimana mahu mengalihkan perhatian mereka.

Maka saya teringat kata-kata Sheikh Hamza Yusuf (seorang Amerika beragama Islam terkenal dengan ILMU dan Komitmennya dalam Islam)  bahawa kita sangat terpaut pada teknologi IT yang ada kini dan ini adalah fenomena yang tidak sihat. Anak-anak (dan dewasa juga) menjadi mangsa dan hampir setiap saat akan terikat dengan penggunaan telefon yang sekarang ini punya berbagai fungsi hinggakan bila berkumpul mata dan tangan akan terpaku pada telefon. Amat kurang berbual-bual dan mengeratkan persefahaman dan silaturrahim. Satu ketika beliau kata masyarakat kita kini sudah menjadi AUTISTIC. Lantas saya tersenyum kerana saya faham apa itu Autisma kerana Akif ada elemen autism dalam perilakunya. Antara ciri orang Autistic sememangnya pendiam dan suka menyendiri dalam keadaan apa jua pun.

Jika sentiasa terpaku "melihat" telefon maka hubungan kasih dalam keluarga akan terhakis dan hubungan silaturrahim dalam masyarakat pun boleh terjejas. (It is Autism of a different kind). 

Bagaimana kita hendak menghindari fenomena ini. Telefon yang smart menjadi "Pengasuh ganti" bagi rumah tangga keluarga yang berada dari segi kebendaan. Saya termasuk juga sedikit sebanyak dalam kemelut penggunaan IT yang tidak terkawal ini. Bukan kerana kami berada, tetapi pengaruh teknologi ini sudah membanjiri minda masyarakat dan masing-masing sudah seperti tidak memerlukan apa jua selainnya. Tidak dinafikan bahawa IT membantu  tetapi sekarang sudah menjadi fenomena yang memutuskan kasih sayang keluarga dan ahli masyarakat amnya. 



Indahnya jika kita masih bersifat tradisional seperti burung-burung ini. Erat dalam kumpulan. Tamadun manusia yang kini kita hayati sering menimbulkan tanda tanya pada saya sama ada ini yang Allah kehendaki apabila ia menggalakan kita manusia untuk berfikir dan berfikir dan menjadi ululalbab dalam proses membina tamadun.

Kita kini menjadi mangsa budaya "consumerism"?

Saya sedang mengikuti beberapa ceramah Sheikh Hamza Yusuf dan Ustad Nouman Ali Khan dalam UTube untuk membuka luas lagi minda saya. Saya juga meminati Ustaz Hasrizal dalam Saifulislam.com dengan idea-ideanya yang menggalakkan berfikiran  secara menyeluruh.

Adakah kita menepati perintah Allah walaupun rata-rata manusia menerima hakikat bahawa dunia sudah sangat maju dan Tamadun manusia banyak memberi munafaat dari mudharat. Saya akan fikirkan semula dan muhasabah diri. Berapa bilangan manusia yang mati terkorban kerana peperangan dan kelaparan dan penyakit seperti Ebola yang kini belum dapat dikawal walaupun pakar seluruh dunia memberi perhatian.
Berapakah  bilangan manusia yang membunuh diri kerana tidak dapat menguasai minda yang kebingungan dan jiwa yang tidak tenteram akibah  musibah yang berlaku ke atas diri mereka.

Dan banyak lagi.... 
Persoalnya: "Are we the solution or are we part of the problem?"

Subhanallah.

Mohon taufik dan hidayah dari Mu ya rabb. Mohon pertolongan Mu ya Rabb. Mohon keampunan Mu ya Rabb. Semoga kami dapat melepasi diri dari tergolong dalam golongan mereka yang zalim dan menzalimi diri sendiri. Semoga anak-cucu kami sejahtera mengikut fitrah penciptaan yang maha berkuasa, maha bijaksana.

Aamiin, ya Rabb....

.....

No comments:

Related Posts with Thumbnails