Hari Ahad 28 Jun 2009 ini Embah akan memberi ceramah singkat mengenai Keganasan Rumahtangga pada satu kumpulan ahli masyarakat yang difikirkan perlu didedahkan dengan masaalah ini agar mereka mendapat kefahaman yang mencukupi untuk membolehkan mereka mengambil tindakan yang sewajarnya jika keganasan berlaku kepada mereka atau kepada orang-orang yang dekat dengan mereka. Perihal keganasan rumahtangga ini sering diperkatakan di mana-mana dan berbagai pertubuhan sukarela tampil kehadapan untuk membantu mangsa-mansa keganasan seperti ini. Pihak kerajaan pun menubuhkan berbagai Jawatankuasa bertindak untuk membendung masaalah masyarakat yang Embah rasa makin hari makin bertambah buruk keadaannya. Embah tak tahu mungkin sudah ada penyelidikan yang dibuat untuk mendapatkan fakta-fakta yang tepat dan penguatkuasaan undan-undang yang lebih berkesan.
Apa yang Embah nak cerita pada Ujai supaya bila Ujai dewasa nanti dapat memahami masaalah ini dan dapat membantu membenteras bibit-bibit yang boleh membawa kepada tercetusnya keganasan ini ialah fakta kerukunan rumahtangga. Keganasan boleh berlaku di mana-mana dan kekejaman pun boleh berlaku di mana-mana. Cuma bezanya keganasan rumahtangga ini ditekankan ialah kerana orang-orang yang terlibat adalah ahli keluarga juga dan biasanya seorang suami yang berlaku ganas pada isterinya. Atau ibu bapa atau penjaga yang ganas pada anak-anaknya.
Siapa yang terlibat, siapa yang menjadi akibat dan bagaimana gejala sosial seperti ini boleh berlaku hingga keperingkat yang membimbangkan telah banyak dianalisa. Fakta seperti kemiskinan, kurang pengetahuan, kejahilan, masaalah kesihatan psikologi dan lain-lain yang berkait dengannya pun sudah banyak kali diperkatakan. Embah musykil kenapa hal ini terus berlaku walaupun pihak-pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, Hospital dan Jabatan Guaman telah menjalankan tugasnya dengan baik sekali dalam keadaan kemampuan yang terhad dan kekangan-kekangan yang belum dapat diselesaikan.
Embah pun terfikir adakah kerana pendekatan dan staregi dalam menyelesaikan masaalah ini tidak holistik atau adakah kerana belum cukup 'passion dan compassion' dikalangan kumpulan kerja yang terlibat yang menyebabkan masaalah ini seperti satu tindakan ibarat melepas batuk ditangga. Dalam ilmu Embah yang amat terhad dalam bidang ini, Embah merasakan pendekatan kita seperti tindakan berbentuk 'corrective' diperingakat yang menjadi mangsa. Semacam belum ada usaha yang serious dan sepadu dalam menangani isu ini diperingak punca (at source). Jadi Embah rasa kita bertindak seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat. Dengan lain perkataan, kita menangani ' symptom' tetapi tidak dalam waktu yang sama menangani sabab-musababnya. Jadi walau sangat baik sekalipun usaha kita diperingkat bawah tetapi jika tidak mengambil kira diperingkat atas atau punca, maka masaalah ini akan berterusan.
Nanti bila Ujai dewasa dan Ujai punya peluang untuk melihat dasar-dasar kerajaan atau nilai-nilai masyarakat, Embah harap Ujai dapat berbuat sesuatu atau menyumbang sesuatu ke arah membentuk akhlak manusia yang sempurna seperti contoh-contoh yang kita lihat pada Rasulullah saw. Ujai mesti mula dengan diri Ujai dan jadikan sahabat-sahabat nabi sebagai role-model. Kalau Ujai jadi pemimpin, pegang pada janji dan tanggong jawab. Kalau kita seorang yang baik dan benar-benar mengikut contoh-contoh yang baik, maka apa yang kita lakukan pada orang lain pasti baik. Ambil perangai lebah, Ia makan benda yang baik, dan ia mengeluarkan benda yang baik dan bila dia hinggap didahan yang rapuh sekalipun, dahan itu tidak akan rosak lantarannya.
Kalau kita contohi binatang yang lain, kita boleh contohi gajah. Ujai perhati perangai gajah. Antaranya, gajah tidak akan meninggalkan ahli kelumpuknya walau pun ia membebankan pada yang lain nya. Ujai rajin-rajin tengok program "animal Planet" di T.V. Banyak pengajaran yang kita boleh dapat. Lihat perangai binatang betina sebagai emak. Dia tidak akan membunuh anaknya. Dia tak tinggalkan pun anaknya walaupun sudah mati hinggakan beberapa hari. Ujai ingat kita pun digelar 'yang melata'. Cuma Allah bagi kita akal fikiran yang lebih dari makhluk 'yang melata' yang lainnya. Dalam al Quran ada disebut fakta ini. Embah tak ingat ayat mana. Ujai cari nanti ya.
Sebenarnya naluri atau "instinct" ganas ini ada pada semua orang. Cuma ada yang bersabar dan dapat mengawalnya dan ada yang tidak dapat mengawalnya. Ada manusia yang bersifat berang, marah, bengis yang akan terus menyepak, memukul, menerajang hinggakan membunuh. Ada yang bersifat sama seperti itu tetapi oleh kerana dia lebih bijak dan berkemampuan dia akan mengupah orang lain untuk bertindak untuknya. Ujai lihat cerita-cerita dalam T.V. Itu semua ganas dan mengakibatkan keganasan, kejam dan membawa pada kekejaman. Ujai jangan ikut.
Embah berdoa kita dilindungi Allah swt dan dijauhkan dari malapetaka seperti ini. Kita doa juga untuk semua agar tidak terjebak dalam gejala ini dan kita berdoa juga kita dapat pemimpin yang yang benar-benar memahami ini dan mencontohi kepimpinan Rasulullah dan sahabat-sahabatnya dan yang lain-lain yang mendukong prinsip-prinsipnya. Semoga dengan kepimpinan seperti itu kita dapat keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat jua. Amin.
No comments:
Post a Comment