Embah nak cerita satu hakikat hidup bahawa kita ini sebenarnya seorang, bersaorang dan juga keseorangan. Kadang kala bingung nak fikirkan hakikat ini, tetapi kalau Ujai fikir tenang-tenang, lihat sekeliling kehidupan, bertanya faham dengan para bijak pandai dan wara', Ujai nanti tahu kenapa Embah kata begitu.
Embah terfikirkan hal ini semasa Embah berumur 34 tahun dan ketika itu Emabh sedang bersedih kerana kakak yang Embah fikir dia akan ganti Mak Tua untuk jadi ketua "keluarga Wak Leman" mendapat stroke dan tak upaya untuk bergerak bebas. Mula-mula ia masih boleh bercakap dan duduk tetapi bila kena kali ketiga, dia terus koma tidak sedar diri. Kesemuanya dalam masa satu tahun.
Pada mula terkena Embah ada di US untuk buat ijazah lanjutan (Masters). Embah cepat-cepat habiskan kursus dan terus pulang ke Malaysia. Jika melihat kebelakang, kalau Embah tangguh kerana nak belajar lebih, pasti Embah tak sempat bertemu denagan kakak kesayangan Embah.
Embah panggil dia Kak Yah. Hidupnya sentiasa dalam kemiskinan kerana suaminya hanya kerja mengambil upah buat rumah di kampung. Kak Yah dikurnia 10 orang anak, 5 lelaki dan 5 perempuan. Tetapi Embah tetap sayang padanya. Dia sangat menyayangi Embah juga. Dalam keadaan susah sekalipun dia jaga embah walaupun Embah dah besar panjang semata-mata kerana Embah adik bongsu.
Kak Yah duduk di Johor Bahru, di Jalan nak ke Kota Tinggi. Embah duduk bersamanya semasa mula belajar di tingkatan 6 di English College, kerana di Pontian tidak ada tingkatan Enam. Rumahnya kecil tapi dia beri Embah satu bilik kecil di belakang. Pagi-pagi lagi dia dah bangun buat sarapan, apa jua yang termampu. Mak tua pun tak berapa ada tabungan untuk memberi keselesaan pada Emabah dan Kak Yah. Tetapi bila Embah dapat biasiswa kecil sebanyak 60 ringgit sebulan Embah pindah ke asrama dekat dengan sekolah. Di asrama Embah terkenang dan rindu rumah, sebab baru itu berjauhan dengan dengan keluarga. Kak Yah akan datang selalu ikut kemampuan bayar tambang bas. Bila Embah fikir-fikir betapa dia berkorban untuk bantu Embah supaya selesa di hati. Ada kalanya dimusim buah dia akan pikul buah rambutan sekantung dan bawa ke asrama. Embah rasa seronok dapat habuan. Embah rasa Kak Yah insan hebat, sanggup berbuat demikian. Dia tak rasa malu memikul barang. Embah pun tak pernah rasa malu. Selalu seronok kalau Kak yah datang bawa makanan yang seadanya.
Bila ingat peristiwa seperti itu sekarang ini Embah rasa sedih dan terharu. Emabah hanya sekadar dapat mengirim doa sahaja kerana sekarang Kak Yah dak tak ada bersama. Di saat-saat akhir Embah menunggu dia di hospital, Embah cuma rasa bingung dan sedih. Ilmu Islam mengenai mati dan kematian belum di fahami. Doktor kata sudah tidak ada ubat baginya. Kalau nak bawa pulang pun tak apa. Tetapi oleh kerana Embah tidak ada pengalaman, Embah takut kalau membawa dia pulang seolah-olah Embah meyebabkan dia mati. Ada Ustazah di wad itu yang mengatakan tak apa kerana kita dah cukup ikhtiar.
Embah bersama keluarga merawatnya di rumah selama seminggu dan akhirnya kak Yah menghembus nafas yang akhir.
Ketika dia nazak, ketika itulah Embah terlintas bahawa kita sebenarnya seorang dan keseorangan. Tidak ada siapa yang boleh menolong kita di saat-saat seperti itu. Suami dan anak-anak tersayang pun tak boleh berbuat apa. Dari sejak itu Embah became wiser about life. Nyata sekali "we are essentially alone".
Selepas peristiwa itu Emabah tak takut kalau hidup seorang, kerana sebenar nya kita seorang sahaja yang boleh menolong diri kita sendiri. Kita tidak boleh berharap sesiapa pun. Kalau ditakdirkan ada yang menolong, itu adalah semata-mata kurnia Allah swt.
Sekarang ini Emabah dah masuk umur senja hampir malam. Sudah mula rasa keseorangan. Tapi Embah tidak rasa bimbang sebab hanya Allah yang boleh menolong. Kalau Tok Ayah Ujai tinggal Embah atas apa sebab sekalipun, insyaAllah Embah boleh menjaga diri sendiri. Sebab Embah sebenarnya telah bina kekuatan minda sejak bapak tua meninggal dunia dan Embah hidup cuma dengan Mak tua dan kakak-kakak. Hidup serba miskin pulak. Tapi Embah tetap berdoa Allah kurnia kesejahteraan dan Allah mudah kan segala urusan. Sebab al quran pun kata, suami, anak dan harta cuma hiasan hidup semata-mata.
Oleh itu pesan Embah pada Ujai, jangan lupa erti "seorang dan keseorangan". Fikir baik-baik dan tenang dan banyak berdoa mohon pertolongan dari Allah jua.