"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, October 12, 2009

IBARAT POHON BONSAI ?



Sudah lama saya berfikir di mana kelemahan orang Islam seperti saya ini. Malam ini dalam satu majlis ilmu saya semacam mendapat jawapannya.Saya juga berfikir-fikir apa kelemahan orang Islam di negara-negara lain. Saya berfikir serentak kerana kelemahan dan kekuatan adalah "two faces of the same coin" dan sama ada kita di Malaysia atau di negara lain sedikit sebanyak dia ada mempengaruhi kelemahan yang ada pada diri saya. Bukan tujuan untuk mencari salah orang, tetapi oleh kerana kita tidak hidup dalam "vaccum" maka pastinya kita akan tersentuh atau terjebak dengan apa yang berlaku di sekeliling kita sama ada dari jauh atau dekat. Dan dalam dunia tanpa sempadan kini, lebihlah kebarangkalian kita dipengaruhi oleh apa jua yang berlaku tidak kira dari mana asalnya.

Saya selalu diperingatkan bahawa Islam itu satu agama yang syumul, agama yang sempurna dari semua aspek, Iaitu dari aspek Uluhiah dan Rubbubiah, sosial, politik, falsafah dan ideologi, hal-hal kerohanian dan pemikiran. Malam tadi Ustaz ini merumuskan dengan mengatakan bahawa Islam mempunyai sifat "multi-dimensi" seperti berikut:
  1. Dimensi ritual, ( solat, puasa , zakat, haji zikir dan sebagainya).
  2. Dimensi mystical, (iaitu hal-hal ilmu tasawwuf, bagaimana mencucikan hati, apa erti taqwa, kesabaran, redha, syukur, kerinduan dll)
  3. Dimensi ideologi, (e.g prinsip Islam mengenai ketuhanan, ekonomi, hubungan antara negara, antara agama dll)
  4. Dimensi intelektual ( e.g ayat-ayat yang merangsang aqal, mengenal diri, mengenal Allah, perihal penciptaan Allah di langit-langit dan di bumi dll).
  5. Dimensi Sosial, (kebajikan, kemasyarakatan, kekeluargaan, hati budi dll).
Isunya di sini ialah dimensi yang mana yang harus diberi perhatian yang tinggi. Saya diberi kefahaman bahawa dimensi sosial harus diberi timbangan yang berat sekali.Sebuah hadith dari Termizi yang berasal dari Abu Hurairah ada mengatakan bahawa antara lain: Nabi saw berkata yang bermaksud bahawa ibadah sesaorang yang melibatkan kemasyarakatan dan kemanusiaan adalah lebih baik dari ibadah ritual selama 70 tahun. Ini bermakna bahawa ibadah berbentuk sosial adalah lebih luas tuntutannya daripada yang lainnya.

Dalam Sahih Imam Bukhari yang disyarahkan oleh oleh Ibnu Hajar Askalani mengatakan bahawa dalam 20 juz / bahagian, hanya 4 juz / bahagian sahaja yang ditumpukan pada ibadah ritual. Malangnya, kata Ustaz ini, rata-rata umat Islam di mana-mana suka menumpu perhatian yang terlalu banyak atau terlalu panjang pada hal-hal ibadah ritual sahaja dan amat sedikit kepada ibadah dalam dimensi yang lainnya. Oleh kerana yang demikian kita perhatikan bahawa amat kurang sekali hal-hal seperti sains dan teknologi, penyelidikan dalam semua bidang kehidupan, ekonomi, kewangan dan perbankan dan lain-lain di perbincangkan dan dilaksanakan.

Maka nampaklalah seolah-olah Islam adalah agama yang cetek konsep dan nilainya. Orang-orang bukan Islam terserelah dalam banyak bidang dan nampaklah bahawa orang Islam adalah umat yang mundur. Kalau pengikut agama Islam di lihat sebagai mundur, maka seolah-olah hilanglah kebesaran Islam, hilanglah imej Islam sebagai agama yang seraba sempurna. Jadi seolah-olah Islam "diperkecilkan" walaupun dengan tidak disedari dan dengan tidak disenghajakan. Kerana inilah maka Ustaz pada malam itu mengatakan Islam "seperti dibonsaikan". Dari pokok yang besar gagah, ia menjadi kecil, nampak cantik tetapi cuma menjadi seperti "perhiasan" sahaja. Alangkah malangnya ! ! dan malunya kalau demikian rupa. Bagaimana pula kita Umat Islam akan dinilai oleh Allah, Rabbul jalil di hari Akhir nanti. Dimana tanggung jawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini? Ataukah kita sudah boleh digelar khalifah seperti yang dituntut didalam alQuran. Marilah sama-sama kita fikirkan. Saya rasa gerun untuk menghadapai hari kita dijemput kembali. Saya berpendapat para pendakwah harus juga membuat sedikit anjakkan paradigma dalam mentarbiah masyarakat. Ini hanya pendapat. Sama-sama kita renungkan.Namun kita ingat juga bahawa membangun dengan Ruh yang gersang pun tidak memenuhi kehendak Allah swt.

Semoga Allah memberi ruang dan peluang untuk kita membela diri di hadapanNya nanti.

No comments:

Related Posts with Thumbnails