Cara mengajar rukun Islam dahulu dan sekarang amat berbeza. Ambillah rukun membayar zakat sebagai contohnya. Mungkin dahulu (dalam tahun akhir-akhir lima puluhan) semasa saya di sekolah agama negeri Johor, belum banyak ustaz dan ustazah yang tinggi ilmu dan fikrahnya. Jadi pengajaran mengenai zakat berfokus kepada fungsi sosialnya sahaja, dan bukan fungsi ekonomi seperti yang sewajarnya.
Bila saya kenang kembali, agak rasa terkilan juga. Tetapi apakan daya. "Nobody was any wiser". Mithalnya apabila kami diajar mengenai kadar bayaran zakat untuk emas dan perak, Ustaz akan mengajar kiraan kadarnya tetapi dalam celah-celah itu ia mengatakan bahawa kalau kita tidak hendak kena membayar zakat, maka pakailah barang-barang kemas itu. Bila kita pakai, maka sudah tidak wajib bayar zakat. Semacam begitu mudah, dan semacam Zakat tidak serious. Oleh itu wanita diperingkat umur Allah yarham emak saya, mereka tidak membayar zakat barang kemas kerana semuanya dipakai berganti-ganti. Alangkah ruginya emak saya dan kakak-kakak yang tua dari saya.Seolah-olah mereka diajar untuk mengelak bayar zakat.
Elemen itu sekarang ini pun masih terdapat juga di sana sini walaupun tidak banyak seperti dahulu. Namun dari segi fungsi ekonomi, ramai lagi yang belum faham bagaimana ekonomi Islam terbina berasaskan prinsip zakat. Antara salah satu prinsip ekonomi ialah fakta hol. Kita kena bayar setelah melonggokkan harta kita dalam bentuk apa jua dalam masa setahun. Kita tidak digalakkan menyimpan harta dan tidak membelanjakannya kerana jika berbuat demikian dia mengurangkan modal pusingan untuk pelaboran. Demikian seterusnya. Sebab itu Zakat menjadi rukun dalam aqidah Islam kerana Ekonomi adalah fakta penting. Fakta sosial pun penting juga. Jadi zakat mempunyai serampang dua mata. Indah sungguh Islam.
Jika kita lihat dari gambaran yang besarnya pula, (apabila telah faham) kita akan bergesa-gesa untuk membayar zakat harta, lagi banyak lagi baik kerana ekonomi Islam akan terbina dengan lebih kukuh lagi. Bukan itu sahaja. Kita akan dapat membentuk satu masyarakat yang mampan kerana yang miskin fakir dan asnaf yang lapan itu akan terbela. Jika umat Islam berlumba-lumba untuk membayar zakat, maka akan tercapai hasrat untuk mewujudkan masyarakat Islam yang tidak lagi perlu di beri bantuan. Saya difahamkan di zaman pemeritahan khalifah Umar Abd. Aziz, amat susah mencari asnaf yang lapan itu. MasyaAllah.
Alhamdulilah, sekarang ini kesedaran untuk berlumba-lumba membayar zakat di Malaysia sudah mula menyerlah. Itu maklumat yang kami diberi tahu oleh JAIS/MAIS. Dan jika ini berlaku diseluruh dunia, iaitu kekayan negara Islam pergi ke asnaf yang lapan disamping negara-negara Islam melabor di negara Islam yang lain yang amat perlu pada pelaboran asing, pasti Ekonomi umat Islam akan mampu menyaingi ekonomi kaum Yahudi. Malang nya ini belum berlaku. Ke mana agaknya kekayaan negara -negara Islam yang banyak minyak. Disalurkan ke negara mana agaknya. Kalau kekayaan umat Islam dapat disatukan, dan hati-hati umat Islam juga dapat disatukan, tidak ada lagi peperang seperti hari ini. Tidak akan ada umat Islam yang ditindas dan tidak terbela. Semoga timbul keinsafan semua pihak termasuk diri-diri kita sendiri dan insyAllah kegemilangan Islam akan kembali bertapak. Kita berdoa semoga Allah menyatukan umat Islam keseluruhannya. Amin.
1 comment:
Thank you for the good tips and the kind words.It becomes an inspiration and feel greatly encouraged. Alhamdulilah.
Post a Comment