Sudah agak lama aku merindui gelak ketawa dan kata-kata bestari seorang teman yang ku kenal selepas meninggalkan kerja tetap di perkhidmatan awam. Dia gigih menjalankan kerja-kerja amal sukerela yang berpusat di masjid. Dia seorang ahli bahasa dan selalau memperbetulkan penulisan ku dalam buletin masjid yang ku kendalikan untuk beberapa tahun semasa aku membantu Biro Wanita masjid tersebut.
Dua hari dulu aku berkesempatan untuk makan tengah hari bersamanya. Dia agak kurus dan kelihatan kurang ceria, tidak seperti yang ku lihat tidak lama dulu. Kami makan nasi padang dan bercerita 'catching up with lost time'. Aku berhati-hati menerokai sabab musabab perilakunya yang kurang ceria dan agak tidak rancak untuk berbual-bual menisi masa. Kami berdua sahaja dan pastinya mudah kalau mahu bercakap sesuatu yang agak sulit tentang diri masing-masing. Rupa-rupanya teman ku ini sudah "berpisah" dengan suaminya. Agak terkejut juga kerana selama ku kenal dia, tidak nampak apa-apa kesan pada dirinya yang menunjukan perjalanan hidupnya tidak begitu gembira dan selesa. Aku mengenali suaminya. Seorang penjawat awam yang amat senior dalam jawatan yang dipegangnya. Dalam hati aku kebingungan juga memikirkannya.
Untuk memendekan kisah derap langkah perjalanan hidup, dia menceritakan suaminya telah bernikah seorang lagi. Ini seolah-olah seperti cerita biasa, amat biasa kerana dalam gaya hidup sekarang ramai anak-anak gadis atau wanita-wanita muda yang sukakan lelaki yang lebih tua, yang pendapatannya stabil dan punya harta. Dan lelaki pula ada yang suka bergaya walaupun sudah "tua". Mana ada lelaki yang rasa dia tua, herdik temanku bila ku kata kenapa sudah tua masih suka bergaya, walhal garis penamat dalam perjalan hidup sudah hampir kepenghujungnya. Tak tahulah. Pastinya lelaki ada pendiriannya dan wanita juga ada citarasanya.
Tidak salah beristeri dua, tiga atau "sesukanya". Itu hak katanya. Islam membenarkannya, tetapi tidak termasuk "sesukanya". Dia seperti agak kecewa dengan kedudukannya. Aku memahaminya. Tetapi bukan hukum yang harus dipersalahkan kerana Islam mempunyai keunggulan dalam segala peraturan hidup pendukungnya. Cuma lelaki kadangkala tersilap dalam tafsirannya dan sering lupa perjalanan hidup ini sudah agak jauh dan hampir mencapai matlamatnya. Mengapa pula di hujung-hujung perjalanan perlu memilih perubahan yang sudah agak sukar untuk penyesuaian dirinya. Aku tiada jawapan kerana semua kita mungkin ada masaalah yang serupa. Kebarangkalian kita juga jadi "mangsa" memang ada. Aku ingat kata orang tua-tua : Itulah peranan isteri. Mesti bersedia walaupun apa padahnya.
Dugaan dari Allah berbeza-beza, aku cuba befalasafah padanya. Kita terima sahaja. Pasti ada hikmahnya. Teman ku senyum tetapi senyumannya agak tidak meyakinkan dirinya. Atau mungkin dia hanya cuba mahu bersetuju dengan ku kerana hidup ini tidak ada siapa yang boleh menduga dimana ranjau-ranjau akan menjelma.
Keindahan perkahwinan di zaman muda hanya tinggal kenangan jua. Tetapi dia semacam tidak mahu mengenanganya. Banyak yang pahit katanya. Tetapi dia redha dan bersyukur kerana Allah telah mengurnia anak-anak yang berjaya dalam pengasuhannya dan didikannya. Dan mereka amat memahami "penderitan" ibunya. Alhamdulilah. Dia tidak putus- putus menyebutnya sepanjang perbincangan kita. Tetapi dalam hatiku tertanya-tanya. Kalau benar-benar redha kenapa senyuman dan gelak ketawanya tidak ceria. Seperti tersenyum dalam tangisan yang dirasainya. Aku cuba bertanya kalau dapat memahami rasa isi hatinya. Alangkah terkejut sekali lagi kerana katanya dia baru mula sembuh dari operasi 'breast canser' yang dihidapnya. Sebab itu beberapa bulan aku tidak bersua dengan nya. Dia "menghilang" bukan sebab suaminya meminggirkannya, tetapi kerana dia tidak berdaya kerana penyakit kanser yang ada padanya.
Derap langkah perjalanan kehidupan ini penuh peristiwa yang tiada siapa boleh "memilihnya". Cuma kita manusia yang menjadi isteri perlu berwaspada dan bersedia. Dalam umur kini yang hampir kepenghujungnya, kita sakit suami ada tetapi seperti tiada. Suami seronok beristeri muda, temanku ini berkata: "tak apalah. Itu rezeki dia. Tentu Allah ada yang istimewa untuk kita juga". Ia, aku sungguh-sungguh bersetuju dengannya. Hamba yang sabar dan redha atas ujianNya pasti ada ganjaran yang menantinya. Kasih sayang Allah tidak dizahirkan pada hambaNya seperti kita menzahirkan kasih sayang kita sesama manusia. Jangan kita sibuk mengira "kesusahan" dari Nya. Kira juga segala Rahmat yang Allah telah kurniakan. Maka Al Quran pun berkata : "maka yang mana satu nikmat Tuhan mu yang kamu hendak dustakan?"
Tiada.
2 comments:
salam sobah. l like both your articles about life. kata orang men itches at 20, 40 and 60..so rezeki merekalah nak dapat bidadari dunia atau syurga!
Cerita hidup dari zaman dulu lagi adalah lebih kurang serupa, sama ada yang terlibat itu Islam atau bukan Islam. Yang membezakankan nya ialah cara sesaorang itu menangani apa jua masaalah yang ada.Betul sungguh kata anda kita susah untuk kembali pada fitrah yang suci. Kita mohon pada Allah yang kita tidak dibiarkan olehNYA walau sekelip mata sekalipun. Kadang-kala kita mengimbas kembali kisah-kisah hidup dan kehidupan untuk sentiasa mengingatkan kita betapa kerdilnya kita dan amat memerlukan Allah swt untuk apa jua.Thanks for visiting.Salam.
Post a Comment