"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, July 23, 2013

Emptiness....





Teringat juga akan diri.....



Di bulan Ramadhan  bulan barakah ini, kakak saya Suilah@ Bik Mong  telah pulang ke Rahmatullah. Semoga Allah cucuri Rahmat ke atas Ruhnya. Innalilahi wainnailahirajiuun...

Saya berada dengannya hari Jumaat 10 Ramadhan di hospital Kota Tinggi. Allahyarham sudah senyap tidak ada kederat berbicara seperti 2 bulan yang lalu semasa saya menziarahinya  di rumahnya di Kg Jawa. Kami masih bercerita sedikit tentang  anak-cucu dan saya membaca sedikit dari alQuran untuk pendengarannya dan menghidupkan ingatannya. Ia sakit kencing manis dan deria penglihatan telah luput sejak lebih kurang 3 tahun yang lalu. Maka kami berhubung dengan suara dan sentuhan.

Rupanya waktu itu adalah kali penghabisan saya berbual mesra bertanya khabar dan mengajarkannya solat kerana sedikit sebanyak ingatannya juga telah luput. Sunhanallah.

Saya terpaksa pulang semula ke Kuala Lumpur pada petang Jumaat kerana pada 11 Ramadhan ada urusan penting cucu saudara yang akan pulang bekerja di Jepun sebelum akhir Julai. Pada awal pagi Sabtu saya mendapat berita pemergian kakak saya Bik Mong buat selamanya.  Sebak rasa di dada. Pemergiannya sudah saya jangkakan kerana apa yang Ustazah yang mengajarkan saya bagaimana mengurus jenazah sudah menceritakan antara tanda-tanda waktu nazak. Antara yang saya lihat ialah ia sudah sentiasa memandang ke atas dan kakinya sudah mula sejuk dari bawah keatas. Saya mengajarkannya Syahadah perlahan-perlahan dan suami saya membacakan surah Yasin. Rupa parasnya tenang dan ia tidak nampak gelisah. Rupanya itulah akhir hayatnya. 

Setelah usai urusan cucu saudara saya, kami segera balik ke Kota tinggi dan sampai pada jam 4 petang. Urusan jenazah telah selesai jam 10 pagi.  Petang itu masih ramai  anak-anak dan saudara terdekat. Saya masuk ke dalam rumah rasa lesu dan rasa kekosongan....


Emptiness....

Katilnya sudah diangkat ke belakang dan kawasan tempat ia tidur dan diurus harian  sudah nampak lengang. Oleh kerana masaalah penglihatan, kakak saya jatuh dari pangkin dan patah tangan dan kaki. Maka ia terus di urus di atas katil kerana tiada keupayaan untuk berjalan. 

Saya rasa kehilangan....dan kekosongan.


Gambar kenangan ziarah awal tahun 2013 

Allahyarham kakak saya yang ini berumur hampir 80 tahun dan dialah yang mengurus persekolahan saya dari darjah satu  hingga ke darjah 3. Tidak akan saya lupa  usahanya menyalinkan buku teks bacaan untuk kegunaan saya kerana waktu itu  kami tidak mampu membelinya. Semoga ia menjadi amal jariah sebagai ilmu yang dimunafaatkan.

Ia adalah seperti emak ganti pada saya ketika kecil. Saya takut tidur dalam gelap dan sentiasa tidur bersamanya.

Kini ia sudah pergi buat selamanya. Saya mengharapkan anak-anaknya merasakan kehilangan ini sekurang-kurangnya seperti apa yang saya rasakan. Semoga mereka akan muhasabah diri sejauh mana sebagai anak mereka sudah cukup berkorban masa dan tenaga untuk seorang Ibu yang tidak ada galang gantinya. KASIH PADA IBU DAN BAPA TIDAK ADA BERSYARAT. Kini tinggal bapak yang sudah berumur 82 tahun dan semoga anak-anak memberi perhatian padanya sewajarnya.

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan dosa-dosa kami dan semoga kami akan berjumpa di Syurga Firdaus dengan Rahmatnya jua.

Ameen Ya Rabb.

...

3 comments:

Makbonda61 said...

Innalillahiwainnailaihirojiun....

Semoga roh Allahyarhamah di tempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang mendapat kasih sayang Allah.

Kata pepatah,manusia mati meninggalkan nama,tentunya nama yang baik di kenang orang. Puan menulis akan jasanya kepada Puan,di harap diketahui oleh anak cucu agar mereka tahu siapa yang pernah berjasa kepada kita. Harap menjadi tauladan kepada kita agar memberitahu anak cucu siapa-siapa yang pernah menolong kita. Diharapkan bila kita telah tiada mereka akan menyambungkan silaturrahim itu. Tahniah Puan.

Post yang menyentuh hati saya...

Salam Ramadhan.

Kerabu Jantung said...

Takziah Dear Sis ,

Innalillahi wainnailaihi rojiun ,sesungguhnya beliau pergi di hari yang baik dan di bulan yang baik.
Semoga roh Allahyarhamah di tempatkan di kalangan roh orang-orang yang solih . Amin

Werdah said...

Assalamu'alaikum kak

Innalillahi wainna ilaihi raaji'uun..semoga arwah diampunkan segala dosa, diberikan 'afiat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang dirahmati Allah SWT.

Related Posts with Thumbnails