Malam 6 Ramadhan kami solat di Masjid al Hidayah di Kelana Jaya. Selepas Solat Terawikh 8 rakaat kami di sajikan program membina kesedaran hidup berjihad. Antara amalan berjihad adalah membantu bersungguh-sungguh mereka yang sedang dizalimi.
NGO HALUAN membawa tetamu dari Palestin untuk mengimamkan solat. Kemudian YAYASAN AMAL menayangkan video mengenai Syria dan mengenai orang-orang Rohingya yang dizalimi dinegaranya sendiri.
Pelancaran mengumpul dana untuk mereka dilakukan oleh seorang aktivist masyarakat Tuan Ibrahim Tuan Man dengan memberi penerangan ringkas mengenai perjuangan umat Islam kini terutamanya di negara-negara Timur Tengah, termasuk yang paling akhir ini, di negara Mesir. Amat menyentuh hati dan video pendek mengenai Syria dan Myanmar membuka akal fikiran seluasnya untuk mengerti erti kerugian jika dalam kehidupan tiada wawasan dan tiada perjuangan.
Rasa sebak dihati kerana tidak dapat membantu sewajarnya. Ustaz mengatakan jika dapat membantu sedikit pun tidak mengapa tetapi kita harus istiqamah membantu mereka yang memerlukan. Doa adalah senjata yang tiada bandingan akan kekuatannya. Maka jangan putus-putus kita berdoa bagi semua dimana jua mereka berada dan di era mana mereka berjuang, sepanjang zaman hingga Allah kurnia kejayaan.
Pada pagi hari itu saya menghadiri majlis Ilmu di Masjid Kg Tunku yang dianjurkan oleh NGO Pakatan Kebajikan Islam Kg Tunku dan diurusetiakan okeh Biro Wanitanya. Tajuk ceramah oleh yang berbahagia Dato Hassan Din Alhafiz ialah "Cinta Allah, Cinta Rasul dan Ikhlas dalam Beribadah." Apa yang menarik perhatian saya ialah penampilan pelajar-pelajar dari Madrasah Tahfiz Tazkiah. Dalam program khas mereka mengalunkan Qasidah dan diakhir majlis mereka bersolawat beramai-ramai (malidurRasul) dan bernasyid.
Senyap-senyap saya berdoa semoga anak-anak ini akan menjadi pewaris semangat berjuang membela Islam. Kekadang kedengaran suara-suara mengatakan anak-anak yang meneruskan pengajian dalam Ilmu Islam kurang penampilan diri dan kurang dalam kemahiran berhujah dengan pihak yang berkepentingan. Mereka lebih selesa mendengari masaalah dan menyelesaikan masaalh seperti cara mereka terdidik di Madrasah. Dari pengalaman kerja saya berinteraksi dengan pegawai-pegawai yang berlatar belakangkan pendidikan Islam, kekadang saya dapati mereka kurang berani tampil menjadi pemimpin dalam mengurus krisis. Ini pemerhatian rambang dan mungkin tidak tepat. Maka saya suka dengan program Imam Muda kerana itu adalah salah satu jalan membina kepimpinan waja di kalangan pelajar dalam jurusan itu.
InsyaAllah dengan dorongan generasi yang berpengalaman dan berwibawa, anak-anak ini akan menjadi pemimpin negara dimasa hadapan, bukan sahaja untuk negara Malaysia tetapi berkebolehan memainkan peranan sebagai pemimpin yang berani berjuang membela Islam sejagat berdasarkan Iman dan Taqwa.
Sama-sama kita berdoa semoga sebahagian dari pelajar-pelajar seperti itu akan juga menguasai Ilmu teknikal dan jurusan-jurusan yang amat diperlukan untuk membina sesebuah negara supaya tidak lagi bergantung pada orang lain. Paling tidak kita mengharapkan akan lahir professional seperti President Mesir Muhammad Mursi. Dunia gentar dengannya walaupun rasa itu terpaksa mereka sembunyikan.
Semoga Allah memberkati segala usaha ke arah itu.
Ameen Ya Rabb....
...
No comments:
Post a Comment