"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Monday, July 1, 2013
Cerita-ceriti ingin jadi kreatif......
Selalu kita kata kita suka pada sesiapa jua yang kreatif untuk menjadi staff kita dalam sesebuah organisasi. Isu kreativiti banyak dibincangkan semasa saya berkursus mengenai pengurusan sumber manusia semasa saya bekerja dahulu. Tetapi di sini saya hanya ingin menyentuh fakta kreatif secara santai.
HIASAN TINGKAP...krativiti ikut citarasa.
Saya perhatikan secara rambang daya kreatif ada kaitan langsung dengan daya imaginasi minda kita. Saya masih ingat semasa berkursus di INTAN bagi pegawai kerajaan, kami ditanya: Siapa diantara kamu yang kreatif, angkat tangan.
Hanya dua tiga orang sahaja yang angkat tangan, termasuk saya. Penceramah senyum lebar dan bertanya mengapa yang lain senyap sahaja. Untuk memendekan cerita, penceramah itu kata siapa yang berfikir dia kreatif, maka dia kreatiflah. Sebab kreativiti itu bermula dari minda yang berani mencuba apa sahaja.
Saya ingat saya tertawa sahaja pada diri sendiri. Entah ya entahkan tidak. Siapa nak buktikan? Saya jenis yang suka berangan-angan, maka sering tidak malu kalau saya didapati tidak menepati apa yang dikehendaki, terutamanya oleh boss semasa bekerja dulu. Kita tidak perlu serupa sentiasa. Kita boleh lain dan berlainan. Allah tidak buat dunia kita ini sempit. Maka jangan kita yang menyempit-nyempitkannya.
(HIASAN TINGKAP yang ini seperti melonggokan barang-barang sahaja...
juga ikut citarasa.)
Itu yang betul. Jangan kita yang sempit-sempitkan. Dan saya selalu teringatkan cerita "Angan-angan Mat Jenin". Tak kan salah suka berangan-angan. Tetapi pastikan jangan sampai tergelincir.........
Seingat saya dan setahu saya di Malaysia belum ada orang yang punya daya kreatif luar biasa yang mengharumkan nama negara setanding dengan yang ada di dunia luar sana. Agaknya mengapa ye?
Saya suka mengatakan kerana di negara kita ini kita tidak digalakan berubah. Kita takut pada perubahan. Kita terperangkap dalam hidup selesa dan rasa tidak perlu mengubah apa-apa atau mencipta apa-apa. Ikut sahaja sudah cukup. Kata setengah orang: ...kan itu lebih senang
Kita tidak kreatif mungkin juga kerana negara kita tidak banyak memperuntukan kewangan untuk kerja-kerja penyelidikan maka dengan itu tidak sempat tercetus idea baru dalam proses mencari-cari kerana masa yang terhad dan ruang yang terhad.
Entahlan.....Tanyalah diri dan jawab sendiri. Sebab saya sendiri pun tidak ada mencipta apa-apa yang luar biasa. Maka saya tidak akan menyalahkan orang lain.
Cuma saya ingin mencari penyelesaian bagi anak cucu-cucu semoga mereka berjiwa kreatif, dan mungkin menjadi "inventor", suka mencuba perkara baru, tidak takut membuat kesilapan walaupun kos kesilapan itu tinggi. Cuma cuba jangan ulang kesilapan yang sama.
Saya ingin mereka mematuhi saranan dalam al Quran supaya menjadi "ululalbab" yang sentiasa berfikir-fikir dan sentisa berusaha dan berani dalam apa jua keadaan. Ia tetap berani walaupun seorang....
Tidak perlu kreativiti untuk hidangan seperti ini ?...
Saya juga sesekali memerhatikan bahawa orang yang kreatif itu mencipta sesuatu kerana mereka dalam situasi terdesak. Kita ambil contoh mudah. Orang yang mencipta resipi baru saya percaya lahir dari situasi ia kekurangan bahan yang sebenarnya dan ia berani mencuba-cuba dengan apa jua bahan masakan yang tersedia dihadapannya ketika itu. Satu hari...a...ha "Eureka ! !" Ia dapat resipi yang dipercayai mendapat sambutan. Maka menulislah ia sebuah buku Resipi Baru.
Saya rasa bersalah atas diri. Tidak ada yang dapat saya ceritakan pada anak cucu sebagai contoh bahawa saya kreatif.Maka dalam baki masa yang amat singkat ini saya suka mencabar minda anak-cucu saya semoga mereka dapat keluar dari kepompong yang biasa-biasa.
Saya suka memikirkan hal hal kreativiti dalam muhasabah diri. Maka sahaja untuk cerita-ceriti saya catat di sini......saya pernah berkerja di bawah Lim Kok Wing yang kini bergelar Tan Sri (dan menubuhkan sebuah university kreativiti) dalam tahun awal tujuh-puluhan di abad lepas. Beliau menjadi Perunding pada Jabatan Perdana Menteri yang ketika itu di bawah pimpinan Allahyarham YAB Tun Abdul Razak. Saya berkerjasama juga dengan Mustafa Shariff seorang pakar runding dibidang komunikasi. Saya bekerja di bawah pengawasan Puan Nuraizah Abd Hamid (kini bergelar Tan Sri) di Jabatn Perdana menteri yang ditugaskan untuk melaksana satu mega Expo bagaimana mahu merubah minda Rakyat terutama mereka yang dibandar-bandar kecil. Generasi muda tidak pernah tahu hasrat YAB Tun Abd Razak yang murni ini. Dahulu mesej beliau mahu rakyat berubah....kepada yang lebih baik. Saya seronok bekerja di bawah Tun Abd Razak....
Kalau saya terus bersama mereka agaknya saya juga kini Jutawan atau lebih dari itu. Oooops....silap cakap.
Tapi hakikatnya sedikit-sebanyak saya dapat mempelajari cara bagaimana menggunakan media untuk menarik perhatian. Apakah fakta-fakta yang perlu diambil kira dan berbagai lagi. Selepas pengalaman Mega Expo dengan dua personality ini saya dapat melihat bagaimana mahu mempengaruhi orang selain dari menggunakan lisan dan media biasa. Minda kreatif sentiasa "cuba berfikiran serong", i.e cuba lihat dari berbagai sudut sebelum memutuskan sesuatu tindakan.
Ambil jalan yang tidak sering dilalui dan kita dapat menemui banyak perkara baru.
Pengalaman itu banyak membantu saya semasa berkerja seterusnya dalam perkhidmatan awam. Tetapi saya "syok sendiri". Jarang sekali idea saya digunakan kerana mungkin ia membuat kedudukan orang di sekeliling tidak selesa dengan saya.
Tidak mengapa dan saya tidak kecewa. Jangan jadi orang yang suka perasan diri dan jangan sekali rasa hairan diri. Itu salah dan boleh membatalkan segala amalan. Maka saya terus berkerja dengan rasa syok-sendiri walaupun saya tidak mendapat pengiktirafan oleh pihak pentadbiran seperti teman-teman saya yang lain. Saya belajar bersyukur seadanya. Saya tahu apa yang saya tidak dapat, dan mungkin itu lebih baik. Saya pun mendidik diri supaya rasa sama sahaja.... dapat atau tidak dapat. Saya belajar memahami Qudrat dan Iradat Allah yang maha besar maha agong.
Maka dalam waktu yang sama saya cuba membina minda anak cucu supaya berdikari kerana dengan berdikari (kerja sendiri) kebarangkalian seseorang itu dapat melaksana apa yang difikirkan baik tanpa perlu mengikut kehendak sesiapa adalah lebih baik. Semoga Allah menganugerah rezeki yang murah bagi tujuan ini dan sentisa menunjuki jalan. Yang wajib bagi kita ialah usaha.
Yang baik datangnya dari Allah, segala kekurangan dan kesilapan adalah kelemahan diri sendiri.
Semoga Allah mengampuni.
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment