Saya tidak pandai dan tidak minat subject sejarah semasa saya bersekolah dan untuk peperiksaan tingkatan lima (senior Cambridge) saya mendapat F9. Saya malu tetapi saya tidak hairan dan senyum tawar sahaja semasa mendapat keputusan itu.
Namun dipertengahan hayat kerjaya saya, saya suka hal-hal mengenai sejarah terutamanya bila bercerita mengenai sirrah Rasulullah sallallahualaihiwasalam. Kemudian saya mula berminat mengikuti apa jua hal sejarah dalam negeri dan di luar sana. Betapa saya rasa rugi ketinggalan zaman. Saya rasa saya harus berebut dengan masa membaca sejarah Islam terutamanya hal-hal mengenai Palestine. "Its better late than never" saya menyedapkan hati sendiri. Maka hari ini antara kesukaan saya ialah membaca penulisan blog Saifulislam.com yang bijak menganalisa hal-hal sejarah dan kepincangan sesebuah negara yang tidak mengambil berat tentang sejarahnya dan bagaiman kehebatan sesebuah negara itu ada kaitan terus dengan sejarah lampau terutamanya tentang keberanian dan kegigihan rakyat yang bermati-matian mempertahankan maruah dan pembangunan negara.
Maka apabila saya menemui gambar tertua dan terlama dalam simpanan kakak saya, saya teringatkan sejarah keluarga. Saya cuba menjejaki apa pencapaian saya dalam konteks sejarah keluarga saya dan keluarga besar saya dari sejak bapak saya menjadi pendatang dari Tanah Jawa hingga kini. Saya tidak dapat mengesan samasekali sejarah kekeluarga sebelum itu. Teman-teman seangkatan selalu buat lawak mungkin saya dari
keturunan Wali Songo.
Gambar di atas adalah gambar bersejarah bagi saya. Inilah sahaja yang saya dapati dengan tidak saya duga yang ada dalam simpanan kakak saya yang menunjukan gambar ini pada saya semasa cuti hujung tahun 2010.
Ada pendapat yang mengatakan saya tidak seharusnya mempamerkan gambar seperti ini kerana Emak saya kelihatan berdiri bersama rakan sahabat Bapak saya tanpa menutup aurat yang sempurna.
Gambar ini diambil kira-kira pada tahun 1953 semasa diadakan kenduri
sempena abang saya berkhatam Quran dan berkhatan.
Ketika itu peristiwa seperti ini adalah suatu yang amat istimewa
dan saya tanyakan pada kakak saya siapa gerangan yang mengambil gambar ini dan memberinya pada kakak saya. Malangnya dia tidak ingat.
Ini adalah gambar bersama kawan-kawan bapak sekampung ketika itu yang sama-sama bekerja kuat cuba membina kehidupan apabila datang dari Tanah Jawa ke Malaya beberapa tahun sebelum itu, dalam kiraan saya pada awal tahun 1900 atau sekitarnya.
Ini sejarah sebuah Keluarga.
Ini gambar Allahyarham Emak saya (kanan sekali) dan kakaknya (no.2 dari Kiri) kira-kira pada pertengahan tahun enam-puluhan.
Berhijrah dari Tanah jawa bukan sesuatu yang mudah. Itu cerita Emak saya. Bapak saya meninggal dunia semasa saya berumur 16 tahun dan tidak banyak kisah sejarah keluarga yang dapat saya selami dari bapak saya. Kakak-kakak saya pun "tidak minat" sejarah dan cerita keluarga berlalu begitu sahaja. Namun saya bersyukur mewarisi semangat mahu membuat perubahan walau susah sekalipun.....semangat menjelajah demi membaiki diri.
Pastinya mengharung lautan Selat Melaka ketika itu merupakan satu pertarungan keselamatan jiwa. Saya teringat sedikit-sedikit cerita-cerita mengenai Jawa Kontrak dan saya rasa bapak saya ada pengalaman menjadi buruh dalam kategori itu. Tiada yang pasti tetapi apa pun laluan hidupnya, saya tetap "bangga" dengan semangat Bapak saya. Agaknya kalau sekarang ia mungkin berkata: "I did it my way."
Ini gambar waris terdekat Allahyarham bapak saya (Pak Man)
yang menetap di Singapura, tetapi kini sudah meninggal dunia. Tiada waris yang lain. Pak Man juga tidak banyak bercerita sejarah mungkin kerana kami kurang bertanya dengannya.
Gambar ini diambil kira-kira awal tahun enam-puluhan.
Tetapi saya tetap ingat kakak saya bercerita yang bapak saya bekerja menebang hutan dan menanam pokok-pokok getah untuk menjadi modal bekerja sendiri setelah samapi agak lama dari Tanah Jawa. Saya masih ingat pengalaman hidup semasa kecil (belum remaja) menolong emak saya menoreh getah di tepian hutan. Telah saya ceritakan sedikit sebanyak sejarah hidup saya semasa kecil hinggalah saya tamat sekolah dalam beberapa entry blog saya sebelum ini. Maka saya rasa saya tidak perlu ulang nanti bosan pula siapa jua yang membacanya.
Tetapi saya mahukan anak-anak saya sentiasa ingat perjalanan hidup saya sebelum saya berumah tangga.
Terutamanya saya mahu mereka tahu bapak saya gagah perkasa semasa mudanya. Tenaganya boleh menandingi teman-temannya.(Bayangkan menebang hutan). Sayu dihati saya bila mengingatkan cerita sejarah keluarga pendatang ketika itu.
Kini saya sudah dewasa tua dan amat bersyukur atas segalanya. Kalaulah ada sesiapa yang pandai mengkaji sejarah dan menulis berkenaan kaum pendatang awal tahun 1900, generasi sekarang akan dapat menghargai kesenangan dan kemewahan yang mereka kecapi sekarang. Generasi sekarang saya dapati tidak sangat kental dalam komitmen perjuangan dan daya ketahanan merentasi kesulitan hidup harian jarang-jarang nampak terserelah. Gerakan membina jati diri anak-anak muda sentiasa dijalankan oleh mereka yang prihatin tentang kemerosotan semangat anak muda yang mahu dan berani mempertahankan maruah keluarga dan negara. Sikap 'ikut saja' menjadi pautan minda kerana mereka sudah selesa dengan fikiran lebih baik hidup aman damai dan senang lenang daripada bersusah payang mendirikan dan mempertahankan Kebenaran.
Sampai di sini sahaja yang 'mampu' saya katakan. Mungkin dilain kali saya sambung lagi demi membina kesedaran anak-cucu dan mereka yang seangkatan dengannya.
Semoga Allah memberi ganjaran hasil usaha Bapak dan Emak saya dan kakak-kakak saya yang kini sudah pun meninggalkan saya. Adat kata tanpa pengorbanan dan kegigihan semangat mereka mungkin saya pun tidak bersekolah dan tidak mengerti erti hidup dan erti pengabdian pada yang maha Pencipta.
Semoga Allah meredhai dan mengurniakan kami syurga Firdaus tanpa hisab dengan RahmatNya yang tidak terhingga.
Aameen....
....
No comments:
Post a Comment