Ustaz mengingatkan supaya jangan makan berlebihan terutamanya di bulan Ramadhan. Jangan berpesta makan kerana di bulan Ramadhan kita harus berpesta Ibadah.
Seperti foto di sebelah kita bersyukur dengan apa jua rezki yang ada. Inilah cara makan di kampung terpencil di Kedah kiriman teman saya tidak lama dahulu. Terkengang kampung saya sendiri terutamanya sekarang menjelang Ramadhan al Mubarak dan saya teringatkan berbuka puasa dengan emak saya. Detik-detik indah yang hanya kekal diingatan.
Pagi tadi saya dan suami bersarapan buat kali terakhir bersama jemaah masjid sebelum mula berpuasa. Topik perbualan terfokus pada berbuka puasa kerana tahun ini Masjid akan menyediakan juadah berbuka puasa untuk jemaah dan tetamu jemaah yang lebih ramai. Saya seronok kerana beberapa tahun kebelakangan ini saya berbuka puasa di Masjid yang sama kerana sudah tidak ada kederat untuk bertukar selera dari masjid ke masjid seperti muda dahulu.
Tujuan utama berbuka di masjid ialah kerana suami saya suka berjemaah di masjid setiap waktu terutamanya di bulan Ramadhan. Berjemaah dengan anak-anak di rumah pun baik, tetapi di masjid ia lebih afdhal. Teringat juga berbula puasa di Masjid al Haram buat pengalaman sekali itu yang saya selit dalam ingatan istimewa buat saya dengan suami dan teman akrab. Keseronokannya tiada bandingan. Itulah sekali dan semoga berpeluang lagi.
Pagi tadi seorang teman berkongsi pengalamannya berbuka puasa di Masjid. Tetapi katanya dia pilih masjid yang tidak menghidang makan dalam dulang. Dia tidak selesa berkongsi ramai sedemikian kerana tidak tahu taraf kebersihan jemaah yang makan setalam. Agak mengejutkan saya cerita seperti tu kerana pada saya itu bukan nialai murni dalam budaya Islam. Kita tidak harus bersangka yang bukan-bukan. Kita ikhlaskan saja menghadap rezki bersama kerana itu melambangkan kekeuatan jemaah.
Oleh kerana saya akrab dengannya maka saya kata sahaja terus terang bahawa sikap "elitist" seperti itu tidak sihat jika kita mahu memupuk kekuatan ummah.
"Jadi macam mana kalau kita melayan jemaah orang-orang pelarian, atau bagaimana kita boleh meraikan orang-orang "homeless" yang bergentayangan yang mahu kita bantu. ?" saya tanya padanya. Dia tersenyum tawar. Saya ceritakan padanya pengalaman seorang teman bersama NGOnya yang memberi makan dan cuba mendidik atau mentarbiah orang-orang yang seperti ini yang tiada haluan dalam hidup. Kita harus menjadi sebahagian dari mereka semoga mereka menjadi jinak dengan kita dan kita boleh mempengaruhi pemikiran mereka untuk pulang ke pangkal jalan.
Teman saya agak menyedari kesilapan sikap yang "elitist" itu dan mengakui mahu cuba bersikap selamba bila menghadapi golongan yang tidak serupa dengan kita. Perbezaan kita di sisi Allah hanya siapa yang lebih taqwa. Saya menginsafi diri bila bercerita tentang 'Taqwa' kerana saya masih terkial-kial mendidik diri.
Peristiwa makan sedulang ini mengingatkan saya pengalaman memantau pelajar-pelajar di luar negara dalam tahun sembilan puluhan. Ramai pemimpin akan cuba memikat hati pelajar-pelajar supaya "masuk dalam kem mereka". Ada yang menjamu makan di hotel-hotel besar tetapi ada yang memasak bersama dan makan bersama di rumah pelajar-pelajar yang agak luas sedikit untuk berjimat belanja. Tetapi lebih penting dari itu sesetengah pemimpin ini mahu merendahkan hati dan menunjukan bahawa mereka memahami masaalah pelajar dan sayang pada pelajar di perantauan.
Dan saya ceritakan bahawa kerana tidak cukup pinggan mereka membentang plastik hitam membuang sampah sebagai dulang untuk makan bersama. Masya Allah, kata saya. Hubungan mesra seperi itu dalam jemaah bolih memudahkan jemaah itu mencapai objektif yang diidamkan.
Di masjid pagi tadi ada teman yang seperti tidak percaya dengan cerita saya. Tapi itu hakikat bagaimana mengeratkan hubungan. "Berat sama dipikul, Ringan sama di jinjing".
Semoga dalam menjalani Ramadhan alMubarak dengan penuh ikhlas, Allah akan menganugerah kita dengan ganjaran yang terbaik dan terunggul di sisiNYA. Semoga Allah samapikan umur kita berjumpa Ramadhan dan membuka pintu Rahmatnya untuk kita semua.
Aamin ya Rabb...
......
No comments:
Post a Comment