"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, June 18, 2015

Ziarah teman di pintu Ramadhan....






Alhamdulilah, Allah kurnia nikmat hasrat memasuki Ramadhan kesampaian.

Kelmarin saya berkejaran menghabiskan tugasan yang perlu beres sebelum bersibuk mahu mera'ikan Ramadhan Mubarak. Sudah lama saya ingin sangat-sangat menziarahi teman akrab semasa bekerja dahulu yang sedang sakit. Dia di hospital hampir 3 bulan dan saya berjanji dengan isterinya bahawa saya akan segera menziarahinya.

Tidak kesampaian.

Kelmarin saya berhentikan semua tugas dan selepas solat Asar saya segera ke rumah yang hanya 10 minit dari rumah saya. Sesalan di hati tiada ubatnya kerana asyik menangguh janji hari ke hari.

Isterinya memberi tahu saya 2 hari dulu dia ternanti-nanti saya datang. Rasa tersayu di hati dan saya cuba "bersembuyi diri".

Teman saya ini Allah uji dengan berbagai sakit. Otaknya ada pendarahan dan dia terkena mild stroke. Dua tahun dulu dia sudah menjalani by pass jantung dan saya hanya berhubung melalui talipon sesekali. Dia konfidant saya semasa bekerja. Kini lisannya sudah tidak jelas dan saya tersedih hati mendengari sesuatu yang tidak dapat saya fahami. Isterinya menjadi "penterjemah". Ya Allah semoga Engkau gantikan dengan nikmat lainnya.

Saya menginsafi diri ......

Rupa wajahnya ceria. Dia ingat saya dan ingat juga suami saya. Daya fikiran dan ingatan masih kuat dan jelas cuma sudah tidak ada daya berkomunikasi yang mudah difahami. Allah maha kasih pada hambanya. Pastinya ini semua ada MuslihatNYA yang kita tidak mengetahuinya. Hati dan minda saya belum cukup "suci dan bersih" dan belum Allah kurnia deria dapat merasai apa yang di rasai oleh seorang pesakit dengan sebenar-benarnya.

Bila pulang ke rumah saya berfikiran sepanjang perjalanan 10 minit itu yang jadi agak lama kerana kesesakan kenderan di jalan. Fikiran itu menyusuk hati betapa saya belum bersedia berjumpa dengan yang Maha Pencipata. Semoga di bulan yang Mulia ini Allah buka ruang dan peluang untuk mendampingkan diri padaNya.

Ya Allah aku mohon belas kasihan Mu, aku mohon keampunan Mu. Mudahkanlah urusan ku dan urusan teman-teman ku. Semoga Engkau kurnia yang terbaik bagi kami di sisi Mu...di sisiMu jua.
Aamiin ya Rabb...

...

No comments:

Related Posts with Thumbnails