"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, June 3, 2015

BERBOHONG @ berdusta.....




Berbohong dan berdusta adalah antara batu penghalang yang terbesar bagi sesaorang yang mahu mendekatkan diri pada Allah, yang maha Pencipta dan maha segalanya yang termaktub dalam 99 nama-namaNYA. Demikian kata seorang ustaz dalam satu kelas pengajian mingguan tidak lama dahulu. Beliau telah menyenaraikan fakta-fakta lain seperti sombong, angkuh, tamak, dengki dan lain-lain lagi. Kebanyakkan orang yang berbohong tidak menyedari hakikat ini dan ia akan terus berbohong kerana pembohongan perlu untuk membenarkan pembohongan yang sebelumnya, melainkan ia sedar dan insaf dan dengan kehendak Allah ia bertaubat nasuha.

 "Tidak ada pembohongan yang diitiraf berbohong sunat," katanya lagi. "Kita hanya dibolehkan berbohong dalam keadaan yang amat perlu seperti kita mahu menyelamatkan nyawa sesaorang yang kita tahu dia tidak bersalah dan dia teraniaya. Atau  kita benar-benar perlu menghubungkan kembali tali persaudaraan dan silaturahim yang terputus antara ahli-ahli keluarga. Ini berbohong harus, namanya.

Bila Ustaz kata begitu entah kenapa saya teringat pula perihal keadaan lelaki atau sang suami yang berbohong pada isteri untuk berkahwin lagi tanpa pengetahuan atau dengan pengetahuan  yang terhad. Walhal perkahwinan adalah sesuatu yang mesti diisytiharkan, tidak mengira apa tujuan perkahwinan itu. Kalau perkahwinan itu benar-benar suatu yang menepati syarat-syarat yang ditentukan  syarie, maka tidak perlu pembohongan, dalam bentuk apa jua sekalipun,walaupun dalam hal ini hati isteri dan anak-anak boleh remuk berkecai kerana mungkin merasai pengorbanan mereka tidak mendapat pembelaan.   Hanya sang suami sahaja yang tahu  hal sebenarnya dan Allah akan menilai hati-hati mereka. Allah maha mengetahui apa yang dizahirkan dan apa yang disembunyikan. Tiada siapa yang dapat lari dari pengetahuanNya di langit atau di bumi.

Tetapi apabila kita berbicara mengenai isu berbohong atau berdusta dalam isu-isu hukum hakam sosial dan kenegaraan, maka soal suami berbohong seperti di atas tadi menjadi isu yang kecil kerana mereka yang terlibat tidak besar bilangannya. Walaubagaimana pun jika kita mengira bahawa setiap kita adalah pemimpin, maka isu berbohong dan berdusta sama sahaja bahayanya dan kesannya.

Orang yang suka berbohong adalah orang yang jiwanya dan mindanya tidak stabil. Dan orang-orang ini pula tidak mempunyai ilmu atau amat kurang ilumnya tentang isu moral dan akhlak, samada dari segi nilai universal atau nilai Islam. Isu berbohong bukan sekadar antara individu atau antara kumpulan  tetapi ia adalah lebih besar dari itu. Pembohongan boleh dilakukan oleh orang biasa-biasa dan ia boleh juga dilakukan oleh pemimpin organisasi, syarikat atau pemimpin negara. Pembohongan boleh dilakukan secara terus atau menerusi media massa.

Pembohongan boleh berlaku secara halus dengan tidak menyebut semua fakta yang berkaitan dengan sesuatu isu. Tujuannya ialah untuk mengelirukan pembaca atau pendengar yang ada dihadapannya. Apa jua muslihat, ia ditakrif juga sebagai pembohongan.

Eh...Eh... Biar saya berhenti di sini sahaja kerana saya bukan pakar dalam hal psyikology manusia atau apa sahaja hal yang berkaitan dengan fisikal atau emosi manusia. Saya cuma teringatkan peristiwa dan mencatat sedikit pemerhatian. Seperti apa yang berlaku dalam kes perbicaraan ahli sukan terkenal  seorang OKU di Afrika Selatan, tidak lama dahulu. Saya amati mengikut kemampuan saya siapa yang bercakap benar dalam hal jenayah pembunuhan yang melibatkan Oscar Pistorius dengan teman wanitanya  yang  menjadi mangsa. Dalam hal ini bukan pembunuhan yang menjadi minat saya tetapi tentang bagaimana pihak peguamcara menyoal dengan strategy bertanya bertubi-tubi hingga boleh membuat Oscar yang dituduh seperti bingung dan menangis. Maka saya tidak tahu sama ada ia bercakap bohong atau bercakap benar.






Isu berbohong dan berdusta tidak akan selesai hingga kepenghujung zaman, dan tidak kira di mana seseorang itu berada, atau telah berada.

Semoga Allah  melindungi kita dari sifat itu. Allah maha mendengar, maha melihat dan maha mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi. Semoga kita tidak terperangkap dengan bisikan Syaitan. Bersabar itu satu kekuatan dan Iman dan taqwa adalah benteng pertahanan.

Berbohong @ bersdusta dalam senario hari ini di tanah air kita membuat saya rasa bersedih hati dan agak bimbang juga akan kebarangkalian sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Saya hanya mampu melihat , mendengar dan berdoa.

Saya rasa ramai antara kita yang sudah maklum sedikit sebanyak tentang apa yang berlaku dalam kemelut politik di negara kita kini dan kesannya atas ekonomi dan keselamatan negara. Saya membuat tafsiran sendiri. Mungkin betul dan mungkin tidak.

Apa yang berlaku adalah disebabkan tidak ada sifat ketelusan dan kejujuran di pihak pemimpin diberbagai peringkat dan berbagai organisasi.....dahulu dan sekarang. Bezanya cuma dari segi kecil-besarnya fenomena itu dan dari rupa jenisnya dan dari strategi melindungi apa yang berlaku. Mungkin pepatah Inggeris yang mengatakan "like father like son"  ada relevannya. Kalau ketua begitu, tidak hairanlah anak-buahnya mengikut sama. Atau pepatah "ketam mengaajar anaknya berjalan lurus".  Diri sendiri tidak mengkota apa yang dikata. Lebih serious dari itu (yang saya sendiri khuatir) ialah: apa yang kita janji pada Allah kita alpa dan lupa. Kemewahan dunia menggelapkan mata dan mata hati juga sama.

WaAllahu'alam. Semoga Allah melindungi siapa sahaja yang bercakap benar dan menegakkan Kebenaran. 
Mohon keampunan Mu ya Rabb.

.............

No comments:

Related Posts with Thumbnails