"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Thursday, September 3, 2015
Merdeka, Wahai Tanah Air Ku......
Saya tetap menunggu dengan penuh kesabaran semoga segala krisis di Malaysia kembali pulih.
Semoga setiap pagi saya bangun dari tidur saya tidak perlu berfikir panjang apa yang akan saya lakukan untuk mengubah cara saya bertindak supaya kesulitan yang saya hadapi kini kerana ekonomi yang tidak menentu akan segera beredar. Walaupun saya sudah bersara saya masih perlu membantu anak cucu yang kurang kemampuan.
Berbagai lagi yang kini sering saya fikirkan. Tetapi biarlah saya berfikir sendirian dan berusaha sendirian takut nanti kesabaran saya kecundang.
Mungkin sudah tidak ada jalan pintas bagaimana masaalah ini boleh selesai segera. Sayu dan sedih di hati memikirkannya. Sebagai pesara perkhidmatan awam, saya amat sensitif atas apa jua yang berlaku dulu, kini dan mungkin selamanya.
Saya bertugas dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun. Saya mula bertugas di Jabatan Perdana Menteri. Saya diarah menjadi pembantu pada YM Tunku Shahriman selaku Setiausaha Majlis Tindakan Negara di bawah kepimpinan Almarhum Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Banyak yang saya pelajari selama setahun saya duduk dalam Bilik Mesyuarat yang sama. Masih teringat kegigihan beliau berjalan pantas masuk dalam Bilik untuk menyelesai masaalah negara. Mesyuarat beliau tidak panjang kerana beliau amat faham apa yang berlaku dan yang perlu di lakukan. Kementerian atau Jabatan yang di arah memberi taklimat biasanya merasa lega di akhir sessi jika tidak ada persoalan yang tidak dapat di jelaskan.
Dalam suasana Hari Merdeka kini, saya terkenangkan beberapa hal mengenai kerja-kerja saya dahulu. Saya teringatkan Almarhum Tun Razak yang saya berpeluang bekerja di bawah Jabatannya. Perdana Menteri Datuk Sri Najib tidak sama seperti beliau. Sedikit pun tidak sama. Saya pernah juga bertugas di bawah YAB Dato Seri Najib semasa saya di Kementerian Pendidikan di tugaskan membina sekolah dan lain-lain Institusi Pendidikan di seluruh negara. Ketika itu saya menganggap dia sebagai Menteri yang berkaliber dan berwawasan. Saya merasakan dia mahu mencontohi Ayahnya kerana dasar kementerian dari segi kemudahan fisikal memberi keutamaan pada rakyat luar bandar. Saya masih ingat berjalan merentasi belukar, menaiki bot dan helikopter untuk ke kawasan pendalaman, terutamanya di Sabah dan Sarawak. Saya seronok berpeluang berbakti pada rakyat yang memerlukan.
Tetapi kini saya sedih.....
Ibarat usaha yang saya mulakan dahalu pastinya sudah tidak lagi boleh berterusan dengan lancar kerana pastinya peruntukan bajet pembangunan akan terjejas dengan adanya krisis yang tidak nampak penghujungnya. Saya merasakan kini kita menghadapi krisis dana di peringkat yang paling mengkhuatirkan...
Saudara mara saya di kampung-kampung masih ramai, terutamanya di kawasan Felda. Jurang perbezaan antara kaum yang kaya dengan yang miskin masih ditahap yang membimbangkan.
Saya suka berbincang dengan teman-teman yang kini sama-sama persara yang sudah hampir menjangkau umur tujuh-puluhan. Ramai teman-teman saya yang punya sentimen seperti saya. Tetapi apakan daya. Kami sudah tidak bertugas.
Maka kami hanya mampu bersabar dan berusaha sebaik mungkin dan sekuat mungkin untuk mencari penyelesain hidup diperingkat peribadi dan keluarga sahaja.
Alangkah sedihnya.....
Seperti tidak ada tempat bergantung.
"Kan kita ada Allah," Saya sering diperingatkan dan digesa jangan putus asa. Pastinya Allah akan akhirnya menunjukan mana yang Benar dan mana yang Batil.
Sementara itu saya dan teman-teman muhasabah diri. Dari mana asal kesilapan berlaku yang kini kita menanggung beban yang berat. Kita tidak lagi dapat rasa "bangga" di kalangan warga asing. Teman-teman sentiasa mengingatkan saya supaya jangan putus-putus bersyukur dan bersabar dalam menghadapi segala ujian dari Allah. Kemiskinan adalah ujian.....Kekayaan juga adalah satu ujian.
Pokoknya jangan kita terlalu cinta dunia hingga lupa segala peraturan yang Allah telah tentukan. Teringat saya pada kata-kata berikut:
MENGELUARKAN DUNIA DARI HATI
Seseorang bertanya kepadaku, “Bagaimana cara mengeluarkan cinta dunia dari dalam hati?”. Aku jelaskan kepadanya, “Perhatikanlah setiap perpindahan dunia itu dari satu tangan ke tangan lainnya. Dia berhasil untuk menghalangi dan membuat lupa para pemiliknya. Pada awalnya dunia akan mengangkat derajad pemiliknya dari orang lain, sehingga membuat dia disanjung dan dipuja. Saat ia terlena dengan kedudukan dan tarap hidupnya, tiba-tiba dunia menjerat dan menjatuhkannya, mereka diperdaya oleh dunia sehingga menghancurkannya. Dunia hanya tertawa, iblis pun ikut menyeringai tawanya. Demikianlah dunia memperlakukan orang kaya, para penguasa dan raja-raja, sejak zaman Adam hingga hari kiamat kelak. (Syaikh Abdul Qadir Jailani)
TINGGALKAN DUNIA DARI HATIMU
Wahai manusia, yang menjadikan engkau tidak mengenal ALLAH SWT dan para waliullah adalah rasa cinta dan sikap rakus terhadap dunia. Ingatlah kepada akhirat dan tinggalkanlah dunia (dari hatimu). (Syaikh ABdul Qadir Jailani)
TAMAK DAN RAKUS adalah kata kunci dalam masalah dunia kini.
Kita sudah jauh dari mengenal Allah sebenarnya.
Ayuh kita terus bertaubat semoga Allah mengampuni segala sifat-sifat keji yang ada pada diri kita dan di hujung hayat kita nanti kita redha dan Allah meredhai. Semoga Allah akan mengurnia kita kesejahteraan hidup yang abadi di Taman-taman SurgaNYA.
Ya Allah, Engkau yang maha kasih dan maha sayang. Selamatkanlah Malaysia, Tanah Air ku. Kurniakanlah kami Syurga Firdaus Mu tanpa hisab bersama semua yang kami kasihi dengan Rahmat Mu jua.
Aamiin ya Rabb....
.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment