"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, September 4, 2015

Yang cantik dan menarik...




Cantik dan menarik perhatian.

Ini sebuah hiasan di shopping mall di Seoul yang saya kunjungi tidak lama dahulu. Saya dan suami lebih suka duduk dan melihat-lihat daripada berasak-asak membeli belah dan berdiri berpanjangan tanpa tujuan yang jelas. Membeli belah adalah agenda terakhir dalam senarai kesukaan bila melihat negeri orang. Saya lebih suka duduk santai dan berfikir-fikir. Kekadang fikiran "melancung" lebih jauh.

Manusia sememangnya suka akan yang cantik. Tidak kiralah dia berbentuk barangan, pemandangan, perkhidmatan, rupa paras atau suara atau apa jua. Namun cantik adalah suatu yang relatif. Dan apa yang dilihat indah dan cantik oleh seseorang mungkin menjelekan pada orang lain. Gurindam Melayu saya kongsikan di sini:


YANG KURIK ITU KENDI - YANG MERAH ITU SAGA
YANG CANTIK ITU BUDI  - YANG INDAH ITU BAHASA 

Tetapi saya perhatikan ini sudah tidak lagi relevan dalam corak hidup masyarakat sekarang. Pernahkah lagi kita mendengar orang berkata:


ORANG BERBUDI KITA BERBAHASA - ORANG MEMBERI KITA MERASA.

Kalau ada yang berkata pun sudah amat sedikit bilangannya. Budi Bahasa sudah tidak mendapat tempat di hati ramai ahli masyarakat. Nilai kekeluargaan dan nilai sosial sudah banyak berbeza. Cara berinteraksi dalam keluarga dan dalam masyarakat tidak lagi menggunakan sentuhan lisan dan sentuhan rasa. Banyak menggunakan 'text message' atau cara-cara lain yang generasi dewasa tua macam saya tidak tahu menggunakannya.

Maka saya ingin bercerita.

Suatu malam saya keluar makan di restaurant Melayu yang sedehana besarnya dan agak banyak pilihan menu makananya. Ramai yang berkunjung di sana dan disebelah meja saya ada satu keluarga yang terdiri dari seorang ibu dan tiga orang anak. Ibu berumur lebih kurang lima-puluhan dan anak perempuan berumur lebih kurang lewat dua-puluhan. Dua anak lelaki adalah peringkat remaja, mungkin  15 dan 17 tahun umurnya. Yang menarik perhatian saya ialah mereka sibuk berurusan dengan telefon yang saya rasa canggih jenisnya. Tiada siapa bersuara melainkan kedengaran mereka bercakap dengan pelayan restaurant untuk menempah makanan. Lepas itu masing-masing tertumpu fokus pada telefon . Saya perhatikan anak yang paling muda tersenyum-senyum. Saya sangka berinteraksi dengan abangnya.

Silap pemerhatian saya. Rupanya ia medengar lagu atau apa jua melalui telefon canggihnya. Bila hidangan makanan tiba, mereka makan. Mereka tidak bercakap sepatah pun antara mereka. Saya senghaja memerhatikan semata-mata untuk kajian saya. Bila siap makan mereka bangun dan balik. Kebetulan sama masa dengan saya habis makan dan saya perhatikan mereka menaiki kereta mewah.

Sedih saya. Keluarga makan bersama, tetapi tidak berinteraksi dan menjalin ikatan keluarga. Mereka sibuk dengan dunia masing-masing. Agaknya di rumah bagaimana ye?

Saya mula berfikir kerana agak terkejut dengan fenomena yang baru saya lihat  itu. Kalau keluarga miskin di rumah, bagaimana agaknya? Saya tahu di kawasan FELDA fenomena itu sudah mula menjadi demikian juga. Saya perhatikan ini dalam keluarga saudara-mara saya sendiri, kerana anak buah dan saudara mara ada yang tinggal di kawasan FELDA.

Ke mana arah tuju pembangunan negara kita. Kita kaya raya tetapi tidak kaya budi dan budi bahasa. Itu tanggapan saya. Sudah amat kurang protocol berasaskan budi bahasa.

Bermacam-macam lagi yang diminati manusia mengikut cita rasa masing-masing. Ada yang akan berbuat apa sahaja untuk menikmatati kecantikan dan keindahan atau pun kehebatan. Manusia rata-rata suka dipuji dan disanjung. Tidak kira apa yang dipuji dan apa yang sebenarnya disanjung. Setengah pujian membawa bencana yang nyata yang timbul bukan serta merta tetapi setelah beberapa lama mendapat pujian itu.

Sebenarnya pujian yang keterlauan tidak membawa kepada kesejahteraan. Sebab itu ada hadith yang mengatakan kita tidak boleh memuji berdepanan. Ini akan merosakan iman orang yang dipuji kerana besar kemungkinan ia akan menimbulkan rasa riak dan ujub. Perasaan ini boleh menghapuskan amalan baik yang kita lakukan.

Lihat sahaja senario hari ini. Kegawatan dan krisis ekonomi dan sosial yang kita hadapi adalah lebih serious dari masaalah budi bahasa dan adab berbicara dan jalinan hubungan antara keluarga. 

Dalam al Quran kita ditanya "Ke mana kita akan pergi"  dan kita diberi penjelasan

A025
Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.
(At-Takwiir 81:25) | 
A026
(Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)?
(At-Takwiir 81:26) |
A027
Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam:
(At-Takwiir 81:27
A028
Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul.

(At-Takwiir 81:28) | 
A029
Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.
(At-Takwiir 81:29
Jom kita taddabur ayat-ayat itu di hadapan seorang guru mursyid untuk penjelasan lanjut.Semoga kita Allah kurnia jalan yang lurus dan kita selamat di dunia dan di akhirat.
.........

No comments:

Related Posts with Thumbnails