"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, April 21, 2016

Cerita Bumbu Asli dan Pasar karat......



Saya di Johor Bahru akhir minggu lepas mencari ilham untuk kesinambungan hidup. Di umur dewasa tua kita juga perlu bersantai untuk menilai semula perjalanan hidup ini adakah ia masih di landasan syar'ie. Dalam kesibukan mahu menyumbang pada kesejahteraan ummah dikhuatiri kita hilang fokus pada prinsip pengabdian yang syumul. Saya foto selfi santai dalam bilik buget hotel untuk kirim pada suami saya yang tidak turut serta. Hotel KOZI namanya dan di bawah ini satu sudut di hotel itu saya rakam untuk kenanagan.


Di sebelah hotel KOZI ada sebuah restaurant yang namanya membuat saya teruja untuk mencubanya. BUMBU ASLI namanya. Saya bukan pintar masak memasak tetapi perkataan bumbu tiba-tiba mengingatkan saya pada kakak sulung saya yang kini sedang berehat di alam Barzah. Semoga ia sejahtera di sana dengan kurnia rahmat Allah yang tidak terhingga.

Kakak sulung saya ini punya bakat yang tersendiri dalam masak memasak. Air tanganya membuat makanan yang mudah tanpa bumbu yang sempurna pun merasa sedap. Keluarga saya orang kampung biasa dan ketika itu tidak selalu makan daging dan ayam atau ikan mahal-mahal saban hari. Kami makan seadanya dan arwah kakak saya yang membuat hampir semua masakan dapat saya rasakan kelainannya. Saya sering sekali merinduinya terutama pada Hari Raya. Dia chef istimewa kami sekeluarga. Dia tidak memberitahu satu persatu apa resipi yang digunanya dan berapa ukurannya. Dia cuma kata: "Long masak lenggang kangkung. masukan saje apa yang teringat di-kepala dan apa yang ada dimata. Ikut rasa." Arwah Kak Long saya tidak "mengijazahkan" kepandaiannya. Begitulah cara orang kampung. Kalau hendak belajar kita kena perhati sendiri semasa melihat dan masak bersamanya.




BUMBU itu perkataan Jawa dan saya keturunan Jawa maka itulah saya 2 kali sarapan di situ. Sedap sekali dan saya suka rekomen pada siapa jua.

Kami juga putar-putar mencari pengalaman baru kerana saya seperti orang asing di Johor Bahru. Teman saya ajak saya ke PASAR KARAT, pasar malam istimewa menjual barang-barang lama , katanya.



Papan tanda pun sudah nampak karat.



Petang hampir maghrib belum ramai peniaga yang sedia menjual barang.
 Dalam hati saya berkata-kata adakah tempat solat di pasar ini
 kerana peniaga ramai sekali sibuk memunggah barangan.
 Tetapi saya bersangka baik.Semoga semuanya solat maghrib.
 Rezki Allah yang bagi. 
Maka ketaatan pada perintahNya tidak boleh dijual beli.



Tidak ada apa yang menarik perhatian kami
 kerana datang terlalu awal
 dan kami pulang tangan kosong. 
Teman saya membeli sehelai tudung yang biasa sebagai tanda
 samapi di pasar itu. Tersenyum saya.
 Saya warga Johor tetapi tidak pernah tahu
 mengenai Pasar Karat ini.
 Rasanya tidak cukup promosi untuk pelancung.


......

No comments:

Related Posts with Thumbnails