"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, April 19, 2016

Selepas sekian lama........




Saya rasa amat bersalah kerana lama tidak menziarahi teman saya ini yang sakit untuk beberapa lama. Saya tanyakan diri saya mana ehsan seorang teman. Walaupun beliau di Johor Bahru dan saya di Petaling Jaya saya tidak seharusnya menjadikan itu alasan untuk tidak berkunjung ziarah.

Satu pagi beliau SMS saya menceritakan sakitnya sudah berkurangan. Saya bertambah rasa bersalah dan mengambil keputusan untuk pergi menziarahinya.

Suami saya tidak turut sama kerana kesibukan dengan gaya hidup yang baru dipilihnya. Saya pergi dengan teman yang sama-sama mengurus Tadika SmarTop di Tangkak.



Alhamdulilah, amat bersyukur  teman yang lama saya tidak hubungi ini nampak segar dan ceria. Kami berpelukan dan kami hampir menitiskan  air mata kerinduan. Jawariah namanya, seorang guru bahasa Inggeris sebelum bersara. Kini ia mengajarkan alQuran pada dewasa yang tinggal berhampiran dengan rumahnya. Namun ada juga yang datang agak jauh bila mendapat tahu beliau juga mengajarkan cara yang mudah-mudah untuk merawat diri dari gangguan.




Kini bulan Rejab dan Jawariah dan suaminya berpuasa. Kami yang datang dijamu kuih muih untuk minum petang. Agak kekok bagi kami. 

Perbualan kami berlegar dalam kisah hidup sebagai warga emas. Jawariah menghadiahkan kami buku zikir yang diperolehi olehnya semasa mereka berada di negara Yamen beberapa tahun sebelum perang dahulu. Suaminya seorang guru Mathematik yang sudah bersara dan kini mengajar di UTM Johor Bahru. Apabila ekonomi negara agak gawat seperti yang kita tahu sekarang, beliau menyumbang kepintarannya secara suka rela. Alhamdulilah. Semangat nya untuk meningkatkan darjat umat Islam amat tegar sekali. Saya rasa insaf dan rasa patut menyontohinya. Beliau bukan Islam asli. Beliau memeluk Islam dalam umurnya 27 tahun. Insya Allah saya akan cari jalan sewajarnya. Semoga Allah menunjuki jalan dan menanamkan rasa untuk istiqamah dalam perjuangan pengabdian hanya padaNYA.

Sebelum pulang saya melihat taman di sekeliling rumahnya. Ia masih rajin menanam pokok-pokok terutamanya yang berkaitan dengan jenis pokok yang boleh dijadikan ubat-ubatan.






Foto di atas dan di sebelah kanan ini saya ambil sebagai kenanagan dan untuk saya bercerita dengan anak-anak kerana Jawariah mengenali anak-anak saya dan cucu-cucu saya yang istimewa. Beliau bersikap positif mengenai sakaitnya dan bersyukur Allah telah mengurnia padanya rezki zahir dan batin yang melimpah ruah. Sakit yang dihidapnya sikit sekali berbanding kesenanagan yang diperolehinya, dengan rahmat Allah semata-semata. Dengan sakit yang dihidapinya membuat ia lebih banyak dan lebih beristiqamah beribadah pada yang maha Pencipta.

Saya malu pada diri sendiri kerana belum sampai ke tingkat maqam iman yang ada padanya. Cakap-cakapnya sentiasa merendah diri dan sentiasa bersandarkan pada kekuasaan Allah semata-mata.




Ini bunga raya yang unik yang ada di taman comelnya.
Saya rasa teruja....

Suka menghias taman adalah satu terepi diri yang amat baik sekali. "very refreshing" dan menyegarkan minda sentiasa.

Kami pulang jam lima petang. Rasa tidak mahu pulang kerana belum puas bercerita-cerita mengenai hidup dan kehidupan. Dia tidak membaca blog atau apa jua sepertinya. Maka cerita saya ini Jawariah tidak akan tahu. Semoga kegigihannya mengajarkan ilmu pada jiran-jiran jauh dan dekat Allah terima sebagai amal solehnya. Saya berdoa semoga kalau tidak jumpa lagi kerana masa makin singkat, kami akan berjumpa di Syurga Firdaus tanpa hisab dengan kurnia Rahmat Allah yang tidak terhingga.

Aamiin ya Rabb.....


........

No comments:

Related Posts with Thumbnails