"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, March 22, 2017

Dia pun Cina.....





Ini cucu saya dari Amirul dan Siti. Ammani namanya. Ia berumur 5 tahun Datuk nya seorang Cina Malaysia. Maka Ammani dikira Cina lah.

Dia pun Cina.

Saya rasa ramai di Malaysia ini yang sama status dengan Ammani. Maka saya adalah antara orang yang tidak fanatik siapa Melayu, siapa Cina, siapa mamak dan siapa India atau lain-lain. Allah dalam alQuran pun telah memberi sebab mengapa Allah mencipta berbagai rupa bangsa untuk menghuni muka bumi ini. Tujuannya ialah supaya semua penghuni dunia mengenali satu sama lain dan mengerti dan menghayati kekuasaan dan limpah kurniaan yang ada pada Allah swt, yang Maha Pencipta. Walau apa pun rupa kulit dan keturunan kita, Allah menghendaki kita patuh pada segala peraturan yang di fardhukan atas kita. Bukan untuk Melayu sahaja. Tetapi untuk semua umat manusia di muka bumi ini.


Maka mengapa kita perlau gaduh keturunan apa kita ini.



Saya pun bukan "Melayu" asli. Saya keturunan pendatang dari Tanah Jawa.(Pekat Jawa). Arwah bapak saya bekerja kuat untuk menetap secara bermarwah di negara ini. Apalah sangat beza nya manusia. Kita bukan keturunan "APE" atau "orang Utan" seperti kata Darwin. Kita keturunan Nabi Adam, kemudian Nabi Nuh AS. 

Yang penting kita beriman dan bertaqwa mengikut apa yang di tuntut oleh AlQuran dan apa yang diajarkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallahualaihi wasalam.

Saya kekadang rasa pening mendengari  orang-orang dan sahabat-sahabat sekeliling saya asyik mahu bercerita tentang Bangsa Melayu di Malaysia yang kini didakwa bangsa yang sudah jadi BANGSAT. Saya berpendapat bukan bangsa Melayu sahaja yang bangsat di negaranya sendiri. Cuba kita lihat sekeliling, di luar perbatasan negara internasional. Saya bukan ahli politik dan bukan ahli sejarah. Maka lihat sendiri apa yang terjadi pada sesetengah kaum di negara tempat mereka dilahirkan. 


Saya berpendapat kita (Melayu) jadi "bangsat" (Saya kurang setuju label ini) kerana kita tidak berpegang teguh pada Tali Allah SWT. Kita mengaku kita Islam tetapi kita pilih hukum yang sesuai bagi kita dan itu yang kita amalkan. Kita cari berbagai sebab musabab, barbagai dolak-daleh untuk tidak melaksana peraturan-peraturan yang disyariatkan .

Jangan salahkan bangsa lain yang menetap di negara kita ini atau sesiapa jua pun. Salahkan diri sendiri dahulu. Pemerintah kita majoritunya Melayu. Mengapa kita jadi begini?


Kita dikatakan bangsa yang jadi lalai, sombong bongkak dan mendabik dada. Banyak nilai-nilai murni dalam Islam yang dilanggar. Mana yang tidak betul tidak mahu dibetulkan. Saya tidak berhasrat mahu mengulang apa yang dikatakan oleh orang Melayu sendiri di luar sana. Kita harus periksa diri kita sendiri. Jika tidak maka sampai bila pun isu ini tidak akan ada kesudahannya.


Dengan rendah hati dan penuh keinsafan dan penyesalan, saya  berusaha bertekad memeriksa diri saya sendiri. Saya nampak di mana kekurangan dan kelemahan saya dan mungkin banyak lagi yang saya belum nampak betapa kerdilnya saya ini. Maka dengan bertambahnya umur saya cuba memperbaiki diri. Semoga Allah mengasihani saya dan menunjuki jalan yang benar. Saya perhatikan orang-orang di sekeliling saya untuk contoh dan iktibar dan saya cuba lihat diri saya dengan mata hati. Rata-rata kelemahan kita yang berat adalah kerana kita tidak berpegang teguh pada Islam. Kita tidak serious dan tidak sungguh-sungguh menjalani hidup secara Islam. Sejarah di luar sana pun telah menunjukan bagaimana kaum bersaudara berpecah belah dalam menjalani hidup  dan sentiasa dalam pertelingkahan. Di sesetengah negara, Pemimpin yang beriman dan bertaqwa pun dihukum dengan berbagai hukuman hingga hukuman mati. 


Sekarang ini pun orang islam menjadi kumpulan manusia yang menghadapi berbagai masaalah. Ini boleh dikira sebagai satu musibah dan boleh jadi ia satu ujian dari Allah. Apa jua yang kita mahu katakan dan boleh katakan apa sebab musababnya, yang pasti ialah Allah mahu kita kembqali padaNYA. Ayuh kita ikut jalan yang di redhaiNYA. Pasti kita hidup MULIA di Dunia dan di Akhirat dengan Rahmat Allah jua.

Tidak Bangsat........


Ayuh kita kembali jitu pada Jalan Allah. Jangan hanya mengaku Islam tetapi kita berpaling tadah pada ajaranNYA. (Saya berkata-kata pada diri saya). Saya sentiasa mengingatkan diri saya dan keluarga saya tentang hal ini kerana bila sampai di hadapan Mahkamah Agong di Hari Pembalasan nanti, kita tidak ada pembela setia. Kita bertanggongjawab atas diri kita sendiri. Maka kita berdoa semoga mendapat syufaat dan kita dapat berlepas diri dengan kehendak dan Rahmat Allah jua.

Yang saya faham, di hadapan Mahkamah Allah kita tidak akan di soal kita ini bangsa apa dan keturunan siapa. Semua soalan adalah berkaitan dengan Akidah kita dan amalan soleh kita. Semuanya berkisar atas deen Islam. Jika kita berpegang teguh dengan Islam, maka Bangsa Melayu dengan sedirinya terbela. Allah akan membuka jalan untuk kejayaan kita bangsa Melayu. Allah akan mudahkan segala usaha kita membina bangsa Melayu dan dalam masa yang sama kita membina Ummah. Kesatuan Ummah adalah matlamat kita akhirnya, patuh pada Allah swt dan bukan selainnya.  Maka saya berpendapat dan berdoa semoga kita tidak disibukan dengan soalan bangsa dan keturunan (yang tidak mendekatkan kita pada Allah) hingga kita tiada kesempatan untuk ambil berat tentang soalan Iman dan Taqwa. Kata Ustaz Iman dan Taqwa adalah asas utama pada semua tindakan kita dalam usaha mencari redha Allah. 

Ayuh kita fikir-fikirkan semoga kita sentiasa di landasan yang BENAR. Semoga kita tidak kecundang, semoga Allah akan menurunkan PertolonganNYA.


Mohon keampunan MU ya Rabb....
Kami mohon Petunjuk dan Hidayah MU dan peliharalah kami dari menjadi hamba yang sesat dan Zalim. Jadikanlah kami hamba-hamba yang Mulia di sisi MU dan dapat kurnia menjadi penguni Syurga Firdaus Mu tanpa hisab dengan semua yang kami sayang. Dengan RahmatMu semata-mata.

Aamiin ya Rabb....



.......

No comments:

Related Posts with Thumbnails