"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, January 20, 2019

Rumah Persekutuan Kuala Lumpur @ Revisited.....







Lewat pagi hari Khamis saya menemani suami saya  ke Hospital UITM di Selayang. Selesai urusan di situ saya turuti pula kehendaknya untuk ke Federal House, Kuala Lumpur kerana ada urusan seorang teman di Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan. (Bangunan ini berhampiran dengan Masjid Negara).

Mendengari nama "Federal House" saya rasa teruja kerana di situlah saya bermula berurusan sebagai Pegawai Perkhidmatan Awam di Kementerian Pendidikan. Sebelum itu saya bertugas di Jabatan Perdana Menteri di Jalan Dato Onn. Ini sejarah lama. Saya teringin berkongsi pengalaman bekerja waktu itu....seronok sendiri. Waktu itu saya berumur pertengahan duapuluhan, lebih empat puluh tahun yang lalu.


Waktu itu Kementerian Pendidikan ada menyewa di berbagai premis dan pejabat saya hampir dengan Rumah persekutruan ini, iaitu di Straits Trading Building berhampiran. Hanya berjalan 2 minit sampailah. Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Timbalan Menteri dan Menteri pendidikan juga di situ. Oleh kerana waktu itu saya ditugaskan melaksana projek-projek pembangunan sekolah dan institusi pendidikan yang lainnya termasuk maktab perguruan maka saya sering bermesyurat di situ. Kenangan kerja di situ selalu membuat saya senyum lebar dan saya bawa melawak apabila bercerita dengan anak-anak bila mereka dewasa. Di situlah Yb Timbalan Menteri pendidikan (keturunan Cina) melemparkan fail di muka saya kerana saya tidak berusaha kuat mendapatakan peruntukan kewangan yang mencukupi dari Bahagian Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Saya masih ingat Yb kata: Saya Menteri....ini yang saya dapat untuk sekolah Rendah Kebangsaan Cina? Saya bangun bersahaja ambil fail dan keluar. Saya laporkan pada YB Menteri Pendidikan waktu itu. YB hanya kata buat yang sepatutnya. Saya pegawai yang sangat junior maka saya tidak banyak bicara. Cuma saya tidak kecewa di lempar fail kerana saya tahu apa yang saya buat. Saya sudah merasai bahang perbezaan keturunan walaupun semuanya rakyat Malaysia. Tidak silap ingatan beberapa hari selepas itu saya dianggil semula dan saya katakan bahawa saya telah melapurkan kes pada EPU dan mereka telah menambah 1 juta ringgit. Beliau agak berpuas hati....sentyum dan ucap terima kasih pada saya. Saya senyum dan keluar pejabat.

Saya menjaga peruntukan kementerian mengenai projek pendidikan sekolah Cina selam 10 tahun. Banyak pahit manis yang saya lalui tetapi sekarang ini saya tiada kesalan kerana saya sudah menyedari waktu itu lagi apa kesannya atas perpaduan Negara. Hanya satu yang saya rasa agak terkilan kerana saya tidak merasai pentingnya orang Melayu belajar Bahasa Mandarin waktu itu.

Ada beberapa instant lain mengenai peranan saya dalam mengendali dasar pendidikan yang saya lalui tetapi saya tidak dapat cerita semuanya di sisi. Cuma saya rasa dasar waktu itu agak longgar. Saya pernah mencadangkan supaya perjanjian rasmi kerajaan mengenai Kolej Tunku Abd Rahman disemak semula kerana ia tidak jelas menjaga kepentingan dasar Pendidikan Negara. Cadangan saya didengar tetapi tiada kesan. Saya ingat Timbalan Menteri kata: Ngasobah jangan buat KTAR macam bola sepak....... Saya tidak kata apa dan hanya mengundurkan diri sahaja.


Cukuplah sedikit "nostalgia" yang saya cerita di atas. Education is my Passion. Sekarang ini saya membantu teman mengurus Tadika dan Taska  Subur Fitrah di Tangkak Johor dan cuba sedaya upaya memperkenal Mandarin pada anak-anak 5/6 tahun. Kami hanya minta anak-anak diajar lagu-lagu Mandarin untuk kanak-kanak.Tidak mudah mencari guru Mandarin. Maka usaha kami jadi "celap-celup" sahaja. Semoga Allah iktiraf usaha yang kerdil itu bahawa kami peka Umat Islam harus tahu bahasa sesuatu kaum jika mahu setanding dimata dunia dan selamat dunia akhirat.

Saya juga banyak cerita mengenai guru-guru Cina dan bahasa Mandarin vis-a-vis Bahasa Kebangsaan. Saya juga banyak cerita mengenai dasar pendidikan bahasa Arab dan yang berkaitan dengannya. Nanti satu masa kalau saya mendapat "mimpi" saya akan bercerita mengenainya.




Foto-foto di atas adalah keindahan landskap yang ada sekarang. Masa saya bekerja dahulu tidak secantik apa yang ada sekarang. Saya duduk melihat-lihat sahaja. Tetapi Kantin yang saya biasa kunjungi tidak banyak berubah. Belum standard koporat. Mungkin bangunan ini pun akan runtuh ditelan zaman melainkan Kerajaan mahu gazetkan sebagai banunan bersejarah dan membina dan mengubahsuai sewajarnya.

Hingga sampai disini sahaja. Insya Allah saya cerita lain mengikut kesesuaian masa dan keadaan.
Semoga Allah memelihara Malaysia.

..................


No comments:

Related Posts with Thumbnails