Aku rasa ibarat mimpi yang ngeri peristiwa hidup yang baru aku ketahui. Seorang teman akrab yang ku anggap seperti seorang adik kandung rupa-rupanya sedang melalui satu proses perubahan corak hidup pada dirinya. Bukan ia menghidap penyakit dan bukan ia kematian yang tersayang. Tetapi ia terputus kasih dan terputus harapan dengan suami yang selama ini dia berpaut kasih untuk sama-sama melalui ranjau-ranjau kehidupan. Dia tidak bercerita dengan ku, dan aku mendengarnya dari pihak ketiga dalam keluarganya. Katanya sekarang ini ia menjadi seorang yang agak pendiam dan jarang kemana-mana. Aku menyangka mungkin ini suatu trauma dalam hidup tetapi ia juga mungkin keikhlasan keimanan. Kalau ini suatu trauma, maka aku merasa seperti dicubit peha kiri, peha kanan sakit juga.
Aku dapat merasakan kekecewaan yang hanya terubat dengan keimanan dan ketaqwaan. Berputus kasih dan berputus harapan bukan bererti perceraian. Apabila suami yang dipercayai dan diyakini mecurahkan kasihnya pada yang lain pula, maka dirasai seperti terhenti degupan jantung dan rasa kebekuan menyerap keseluruh tubuh badan dan rasa kepedihan ibarat dihiris-hiris tiada terkawan. Apatah lagi kalau orang yang baru ini jauh lebih muda dan lebih muda dari anak-anaknya.
Alasan yang diguna suami aku tidak mengetahui sebenarnya. Namun apa jua alasan yang diberi, soal nafsu pasti tidak dapat disembunyi kerana orang yang baru ini berumur lingkungan 22 tahun dan dia sendiri berumur 53 tahun. Potensi gadis muda untuk bersuami orang muda adalah tinggi. Dan jika ada alasan mulia untuk membela kaum wanita, maka pilihlah yang mungkin 30an atau yang janda yang langsung tiada tempat pergantungan.
Bagaiman rasa hati seorang isteri yang berkorban apa sahaja untuk menjadikan rumah tangga aman bahagia. Kawan ku ini bukan jenis yang membantah dan bukan yang suka merungut. Segala tanggongjawabnya dibuat dengan baik. Kerjayanya dikorbankan demi suami dan keluarga. Dua hari dahulu ku lihat dia tidak ceria dan hanya bertegur sapa. Tetapi ketika itu aku belum tahu mengapa. Kalau sudah jodoh, apakan daya. Itu sahaja katanya. Aku rasa benar-benar seperti kata pepatah "dia keramat hidup". (She is an angel).
Suaminya kini sudah diberi anugerah 'Dato'. Aku rasa tambahan nama 'Datin' tidak dapat mengubat hati yang kecewa. Dia merahsiakan hal ini pada anak-anak nya yang di bawah umur, takut-takut tidak dapat menerima hakikat dan pelajarannya akan terganggu gugat. Anak gadisnya yang berumur dalam linkungan 23 tahun hanya dapat bersimpati dengan ibunya walaupun aku tahu hatinya amat tidak selesa.
Aku hanya mampu berdoa untuk kawanku ini, dan ingin satu hari nanti bertanyakan Ustaz mengenai pengajaran yang harus ditiru dari fakta bahawa Rasulullah saw setia pada Siti Khadijah hingga wafatnya. Beliau berumur jauh lebih tua dari Rasulullah saw. (lebih kurang 15 tahun). Semoga Allah memberi kekuatan dan kebijaksanaan pada kawan akrabku ini dan semoga Allah memudahkan apa jua baginya.
No comments:
Post a Comment