"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, April 6, 2010

KEUTUHAN IKATAN BUDI


Berbagai pengertian untuk "budi". Anak kecil paling mudah mengertikan budi, walaupun ia belum pandai bertutur untuk menyuarakan isi hati.Lihatlah anak kecil dari kelincahan gerak gerinya dan dari senyum ketawanya dan dari keriangan sinar matanya. Dari situ dapat kita rasai dan nilai isi hatinya dan juga kesejahteraan proses pembesarannya.

Saya tafsir budi ikut fahaman sendiri. Ia adalah ikatan kasih sayang yang luhur yang tidak berbelah bagi yang tidak menagih pujian atau balasan kembali. Anak kecil mudah sahaja mengertikan budi kalau ianya selalu dipeluk dibelai dengan sentuhan selembut sutera dan kata-kata halus yang menawan jiwa. Justeru anak kecil akan rasa selesa, sejahtera, mudah senyum mesra dan mudah gelak ketawa.

Budi adalah juga meliputu budi pekerti, adab dan peradaban dalam perhubungan satu diri dengan diri yang lain. Saya guna istilah budi di sini mengikut fahaman ini dan untuk saya bicara dengan diri sendiri, untuk berfikir dan bertanya rasa hati samaada gerak rasa yang kadang kala selesa, kadang kala kecewa mengenai apa yang berlaku disekeliling sebenarnya suatu realiti yang benar sahih atau hanya mainan fikiran dan perasaan yang masih belum benar-benar suci dan belum benar-benar menghayati suruhan Ilahi.

Sering saya mengamati mengenai ikatan keluhuran budi dalam famili dan juga 'extended' famili dan juga famili-famili yang hampir dihati atau yang berada disekeliling yang selalu dihubungi. Saya perhati bahawa IBU dan BAPA adalah seperti pusaran energy dalam pengeratan penyatuan kasih sayang antara ahli. Tumpuan jitu akan wujud walaupun ahli famili berjauhan beribu batu. Ingatan rindu akan terpaku di sanubari dan akan menghantui fikiran dan perasaan jika tidak dilayan dan tidak dipadu mengikut nilai budaya yang telah lama dihayati untuk menyatakan bahawa KONSEP "FAMILI" ITU SATU."   Iaitu satu dalam pemikiran yang mendasarkan prinsip dan nilai hidup dan kehidupan dan satu dalam wawasan dan tujuan. Yang "satu" ini secara sedar atau tidak sedar, akan dipertahan keutuhannya, akan dibela dan dicukupi kekurangannya dan akan dipertaruhkan hati budi demi menjaga maruah dan keharmonian sejati.

Saya juga berpendapat bahawa keutuhan ikatan budi ini bukan berasaskan ekonomi famili dan bukan status kedudukan dalam masyarakat yang sama-sama dihuni. Keutuhan ikatan budi ini adalah diasaskan pada  janji-janji yang dilahirkan dan dizahirkan dari permulan dulu lagi, iaitu dari permulaan ijab kabul mengikut Sunnah yang di metri penuh sempurna dengan saksi-saksi. Janji-janji ini ibarat "keramat" dan seharusnya tidak mudah diganggu gugat dengan apa jua ynag menghapri diri dan apa jua tarikan luaran yang bertubi-tubi yang boleh mencabar keutuhan janji yang diberi.

Saya merasakan jika salah satu ahli atau beberapa ahli tidak dapat mempertahankan konsep famili yang "satu" ini, maka budi akan layu terkulai dan mungkin gugur ke bumi. Keutuhan ikatan budi dalam famili perlu dipupuk dengan semangat kesepaduan tekad dan jati diri dengan synergy yang benar-benar akan dapat menjadi benteng mempertahan apa jua yang mendatang. Dunia kita penuh pancar roba dan petualang-petualang yang akan merampas kebahagiaan dan meleborkan impian.. Prinsip kekuatan budi dalam kekeluargaan jika hanya dibibir mulut tidak akan dapat mempertahan godaan. Prinsip kekuatan harus dari dalaman, dari hati yang ditarbiah dengan isi alQuran dan dengan semua sumber ilmu yang berkaitan. Yang tua harus komitted dalam mewariskan contoh tauladan dan mengelakan perilaku yang menjadi sempadan. Yang tua harus mentarbiah yang muda dengan penuh hikmah dan keadilan dan tidak akan timbul seperti arahan berjalan lurus seperti arahan seekor ketam. Justeru yang tua dipertanggong-jawabkan jika berlaku apa jua kesalahan dan kekecewaan yang akan menggelincirkan wawasan famili masa hadapan.

Generasi lapisan perlu bimbingan dan kepimpinan dari yang tua yang berpengalaman supaya ia menjadi penyuluh hidup berteraskan keimanan dan ketaqwaan. Justeru perlu ada ketelusan dan ketulusan dalam apa jua tindakan agar ahli famili tidak rasa dipinggirkan dan rasa dipekecilkan. Jika keputusan sesuatu tindakan di buat secara rahsia tanpa rundingan atau pemberitahuan, maka nyata titik-titik perpecahan akan mula menampakan keretakkan. Tidak kira kalau ada harta seluas lautan atau ada kekayaan juta-jutaan. Jika tidak ada kepedulian menjaga budi dan ihsan, ini semua akan menghancurkan kewujudan sakinah yang selama ini dirasakan. Tentunya nanti ada diantara ahli famili seorang individu atau beberapa individu yang akan hilang pautan kasih dan sayang dan akan rasa kesaorangan dan kesunyian.Mungkin ini akan dirasai secara diam-diam kerana khuatir kalau dinyatakan dan dizahirkan ia akan membawa padah yang akan lebih memporak-perandakan.Maka secara diam-diam juga ia terus berkorban seperti pengorbanan yang selama ini sudah dilakukan walaupun asas pengorbanan itu berbeza keadaan.

Saya terus berfikir-fikir. Inikah erti hidup dan kehidupan. Inikah erti budi dan kasih dalam famili yang makin jauh dari ibu dan jauh dari bapa (kerana sekarang mereka sudah tiada), maka kita jadi alpa dan beranggapan kita boleh menepuk dada tanya selera. Saya mula menyedari rupa-rupanya boleh hilang pusaran energy dan nilai-nilai budi yang diwarisi bertahun-tahun kini. Jika saya perhati dan saya amati, saya rasa takut dan khuatir akan timbul rasa nafsi-nafsi.

Entahlah. Saya berdoa semoga apa yang saya catat ini sebenarnya tidak wujud sama sekali. Cuma saya yang suka menyibukan diri dan melihat lebih jauh dari apa yang dekat dimata dan apa yang dekat dihati.
"Ya Allah, perbetulkan cara aku melihat, cara aku berfikir, cara aku menilai, cara aku mentafsir dan cara aku mengambil peduli. Lapangkanlah rasa hati dalam dada ini dan berilah petunjuk dan hidayah pada semua ahli famili semoga kami akan terus dapat berbakti dan akan terus merasai kasih sayangMu, kerana itu yang lebih bermakna dalam hidup ini.Ya Allah, perkuatkan lah rasa tanggong jawab ku dalam famili, kerana jika tanggong jawab syarie tidak sebenar-benarnya di penuhi, aku takut terlepas hak diri.Namun,Ya Allah, buatkan hati-hati ini mengerti dan menghayati bahawa hidup ini bukan mengenai Hak diri.Kesejahteraan abadi untuk semua yang kami cari.
Ya Allah, mudahkanlah bagi kami, ampuni kami dan redhailah kami, hambu mu yang kerdil dan fakir ini."
Amin.

No comments:

Related Posts with Thumbnails