"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, April 26, 2010

IMPACT YOUR WORLD


Pada awal tahun ini saya ke Pulau Acheh, di Acheh denagan suami dan saya mengajak anak bujang saya bersama atas beberapa sebab dan paling penting bagi saya ialah supaya dapat berkongsi pengalaman dan mempelajari beberapa asam garam hidup secara langsung. Semasa muda saya kurang kesempatan maka dihujung-hujung kehidupan ini saya ingin mengimpakkannya dengan pengajaran yang boleh diwariskan.


 CNN ada program Imapct Your World. Saya tidak tertarik dengan kesemua yang dikata dan apa yang dibuat oleh CNN, tetapi saya suka pemikirannya mengenai kempennya "Impact Your World". Konsep ini agak besar untuk sesaorang benar-benar lakukan. Maka saya kata pada anak saya cukuplah kalau kita bermula dengan memfokus kepada "Impact Your Life".Impakan hidup anda, (Memberkesankan Hidup). Pada saya ini adalah kata-kata rangsangan untuk kita memotivasi diri sendiri supaya tidak menjalani hidup ini dengan sambil lewa, tidak menentu haluan dan hanya berfikir dari hari kehari sahaja. Dalam AlQuran banyak ayat yang menyuruh kita berfikir dan berzikir tentang segala ciptaan Allah yang maha Besar.Antaranya ialah dalam ayat 191, surah Ali Imran.
"Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata) Wahai Tuhan kami, tidaklah engkau menjadikan bebda-benda ini dengan sia-sia, maha suci engkau, peliharalah kami dari azab neraka."


Dalam konteks ini saya ingin berkongsi mengenai saranan saya pada anak perempuan sulong saya. Anak saya ini ada bakat menulis dari kecil lagi. The New Straits Times memilihnya untuk bengkel penulisan semasa dia di sekolah menengah lagi. Dan dia suka juga photography. Maka saya menyarankan supaya ia mencari masa dan ruang untuk menulis dan mencantumkan dua elemen ini.  "Allah tidak menganugerah  bakat seperti ini kepada semua orang." Saya katakan kepadanya. "Maka ini merupakan satu tanggongjawab untuk memunafaatkannya."  Saya berharap ia membaca blog saya ini dan akan segera  menetapkan tarikh bila ia akan menyiapkan sebuah buku.  Saya berdoa semoga ia akan menggilap semangat juangnya supaya hidup ini tidak semata-mata berkerja harian dipejabat sahaja, pergi pagi dan balik petang. Semoga ia berkeyakinan untuk meninggalkan warisan bagi anak-anaknya dan kepada siapa jua, iaitu warisan yang berbentuk ilmu yang boleh dikembangluaskan selaras dengan prinsip mengimpakan hidup ini.

Bercerita mengenai mengimpakan hidup, seorang kawan saya telah bersara awal untuk memastikan ia boleh memunafatkan hidupnya dengan lebih intensif lagi. Ia berpendapat berkerja dalam perkhidmatan awam, terutamanya kalau berkerja dibawah  pengurusan yang kurang berwawasan, masanya kerjanya tidak padat dengan tindakan dan amalan yang menyeronokan yang boleh memberi kesan pada diri, masyarakat dan negara. Maka  ia berhijrah untuk berkerja sendiri dengan tekad untuk berbuat sesuatu yang dapat memberi faedah bukan sahaja pada diri tetapi pada insan yang lain. Hingga sekarang dalam umurnya yang sudah menjangkau 60an ia masih berkerja kuat dan istiqamah dalam  usaha untuk mencapai kepuasan hidup penuh berbakti. Antara lain, ia berjuang untuk memertabatkan ibu tunggal yang ditinggalkan suami dan ibu tunggal lain yang kurang keupayaan untuk berdikari. Ia juga membela anak-anak yang miskin dan cuba menyelesaikan masaalah anak-anak jalanan. Bukan kesemua usahanya mencapai kejayaan yang diidamkan tetapi usahanya tetap gigih dan tawakalnya pada Allah amat memberangsangkan teman-teman disekeliling yang kemudiannya tampil kehadapan untuk sama-sama membantu.




Walau apa jua pun, saya berpendapat bahawa untuk mengimpakan atau memberkesankan hidup ini kita jangan mencari kesalahan atau kekurangan yang ada disekeliling kita. Kata pepatah "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Dan Allah telah berjanji: "Buat yang Aku suruh, Rahmatku akan bersama". Justeru saya menyeru berterusan akan diri saya ini yang banyak ketinggalan untukberusaha mencari ruang-ruang dan peluang agar setiap detik yang kita lalui tidak merugikan. Saya selalu diingatkan bahawa Allah memberi keistimewaan pada kita semua dengan cara yang berlainan. Allah bersifat maha Pemurah dan maha Mengasihani. Maka kita tidak seharus terperangkap dalam "sindrom mangsa" dan sentiasa memberi alasan  mengapa kita tidak boleh berbuat sesuatu lebih dari apa yang sepatutnya. Justeru beberapa pepatah Melayu tidak lagi boleh diguna pakai dalam hidup ini seperti mengatakan "rezki secupak tidak akan jadi segantang," atau "Ulat dalam batu pun boleh hidup".

Sehubungan dengan ini, saya percaya bahawa untuk menentukan kita boleh memberkesankan hidup kita ini kita harus benar-benar memahami prinsip Qadha dan Qadar, ia itu salah satu rukun Iman dalam Islam, supaya kita mempunyi wawasan yang positif.  Saya tidak bertujuan untuk membahaskan prinsip itu di sini kerana saya bukan pakar dalam bidang itu. Cuma setelah saya mendapatkan kefaham yang meyakinkan saya tidak lagi mengatakan secara mudah (simplistic) bahawa "hidup mati, rezki dan jodoh pertemuan adalah di tangan Tuhan". Memang benar Allah maha berkuasa atas segala sesuatu. Tetapi Allah memberi juga pilihan pada kita. Di dalam alQuran Surah al Baqarah, ayat 256 Allah mengatakan: 
" Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan, maka siapa yang tidak percayakan taghut dan ia pula beriman pada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang pada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus, dan (ingatlah) Allah maha mendengar lagi maha mengetahui ".

Ia benar. Allah memberi pilihan pada kita, walaupun pilihan kita itu tidak mutlak. (a smaller will within the bigger Will ). Lihat surah Ar Ra'd ayat 38 -39.
" Dan demi sesungguhnya kami telah mengutus rasul-rasul sebelum mu, dan kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seorang rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah. Tiap-tiap satu tempuh dan waktu ada baginya perkara dan hukum yang telah ditentukan ole suratan Ilahi."
" Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakkinya dan ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakkinya. Dan (ingatlah) pada sisinya ada ibu segala suratan."

Ustaz memberi penerangan bahawa di sini Allah berhak menentukan sesuatu, tetapi Allah juga membiarkan kita berbuat sesutu. Allah bertindak dalam konteks ini mengikut SunatullahNya. Allah akan memberi faedah atas kerajinan kita dan Allah juga mengakibatkan perbuatan negatif kita. Justeru, kalau kita berusaha bersungguh dan diiringi pula dengan doa maka pasti sungguh Allah akan mengurniakan balasan yang setimpal. Sebaliknya pula kalau kita berbuat sesuatu kearah kerosakan dan melampaui batas, maka padahnya pun di atas diri kita juga. Maka saya berkepercayaan bahawa Allah bersifat maha adil mada manusia. Kalau kita buat maka kita dapat. Kalau kita rasa kita tidak dapat, sebenarnya Allah "menyimpan" balasan Nya itu untuk suatu masa dan ketika yang Allah pilih untuk kebaikan kita semata-mata.

Mari kita fikirkan ini bersama dan bertindak sewajarnya. Esuk mungkin bukan untuk kita. Oleh itu kita mulakan hari ini dengan keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh. Kita bertindak mengimpakkan hidup kita semata-mata kerana Allah. Semoga Allah memberkati dan meredhai.
WaAllahua'lam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails