"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Friday, April 2, 2010
ALAHAI....SAYA DAH TUA.
Saya selalu katakan saya sudah tua. Kalau ikut tahun Hijriah saya sekarang berumur 65 tahun. Ada kawan-kawan saya yang tidak setuju kalau saya katakan saya dah tua. "Nanti betul-betul tak upaya," kata mereka. Tidak.................Saya suka mengingatkan diri bahawa tempuh masa saya (adat kata) sudah tidak lama. Kalau pun saya tidak ada penyakit, (saya ada), saya rasa tidak bijak kalau saya bercita-cita bermacam-macam. Saya cuma mahukan kesihatan yang baik yang dengan izin Allah boleh saya menyumbang pada yang memerlukan.
Baru-baru ini NGO yang saya anggotai mahu melantik saya sebagai ahli Jawatankuasa. Saya kata pilih yang muda sebagai pelapis. Maka saya hanya jadi Pegerusi Tetap. InsyaAllah saya tidak akan membiarkan minda menjadi kosong. Saya akan ikut nasihat siapa jua supaya dapat saya munafaatkan umur yang tinggal sedikit ini.
Bercakap mengenai tua, pagi ini saya berbincang dengan anak lelaki saya mengenai calon pilihan untuk isteri. Apa jua kriterior, iman dan taqwa mesti yang utama. Anak saya bertanya padanya sama ada dia sanggup duduk dengan Mak Ayah jika ditakdirkan berjodoh. Katanya kalau boleh dia suka tinggal asing supaya ada privacy. Saya senyum. Tetapi dalam hati berkata-kata, "bilakah masa sesuai untuk tarbiah apa itu hidup dan kehidupan serta tuntutan sharie yang mesti dipatuhi".
Saya hanya berkata,"Tanyakan pada Ustaz, antara Mak Ayah dan isteri, siapa yang mesti didahulukan." Ini hanya kata-kata pendahuluan supaya tidak terkejut. Dan anak saya pun beredar dengan senyuman lebar kerana dia tahu apa yang saya maksudkan.
Secara umumnya anak-anak muda sekarang banyak terpengaruh nilai-nilai Barat, seperti konsep "privacy" dalam kehidupan berkeluarga. Sebab itulah makin ramai Mak Ayah yang menghuni rumah orang tua-tua kerana tidak ada keserasian antara keduanya, ia itu antara Mak Ayah dan anak-anak. Ini benar pada semua keturunan, Melayu, Cina , Jawa dan siapa jua.Banyak yang sudah diperbincangkan mengenai perkara ini di media massa dan di sessi ceramah di sana sini. Terpulanglah pada masing-masing menilainya. Semua pendapat dikatakan ada baiknya dan ada buruknya. Tidak tahulah yang mana harus diwariskan. Tetapi sebagi satu legacy keluarga, saya menjaga Emak saya dan Ibu mertua saya hingga akhir. Adik beradik dan Ipar duai saya pun begitu. Tidak pernah terlintas untuk meletak mereka di rumah orang tua-tua.
Di kawasan perumahan saya di Kg. Tunku Petaling Jaya, ada rumah orang tua-tua. Ia amat hampir dengan lokasi rumah saya. Maka ini tidak "disenagi" oleh jiran-jiran kerana katanya rumah itu akan ada kesan negative pada nilai hartanah. Lokasi perumahan tidak menjadi exclusive dan harga tanah akan turun. Saya berbelah bagi untuk menanda tangani suatu surat bantahan kepada Majlis Bandarraya Petaling Jaya. Namun akhirnya saya tanda tangani juga. Namun saya masih tidak seronok sepenuhnya. Rata-rata kami di Kg. Tunku adalah warga dalam zone warga emas. Jika kami pun (yang tua dan yang hampir tua) tidak suka adanya rumah orang tua-tua, maka kemana akan mereka dibawa. Suka saya menanyakan pada MBPJ. Maka persoalan peribadi saya berbunyi : Jika anak tidak mahu tinggal bersama, rumah orang tua-tua pun susah mencari lokasi, jadi saya ni esuk nak kemana agaknya?
Senyap-senyap saya pujuk diri sendiri.Jangan risau Allah ada.Bertawakal dan terus berdoa semoga Allah kurnia hidup lama dan sihat zahir dan batin. Dan semoga saya boleh menjaga diri hingga ke akhir hayat dan dapat menyempurnakan segala kewajipan saya dengan Allah dan saya dengan manusia yang lain. Saya juga berdoa Allah tentukan yang terbaik pada semua ibu bapa dan yang terbaik pada semua anak-anak. Semoga Allah mudahkan proses penuaan dan semoga Allah kurnia iman dan taqwa dan kebijaksanaan untuk membuat pilihan mengikut garis panduan yang Syarie.Akhirnya semoga Allah mengampuni dan meredhai.
Amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment