"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, April 25, 2010

TOK AYAH DAN UJAI




Tanyakan siapa sahaja di Malaysia ini mengenai kepedulian dan kasih sayang seorang datuk kepada cucu sulungnya, pasti akan mendapat jawapan yang yang diiringi dengan senyuman lebar yang seperti tidak akan kesudahan. Dalam gambar ini kelihatan suami saya dengan Huzaifah, cucu yang "melampau" perilakunya apabila bersama Tok Ayahnya. Tidak balik pada ibunya tidak mengapa selagi Tok Ayah ada disampingnya. Apa yang ia hendak pasti akan dapat hampir  kesemuanya. Dahulu dengan anak tidak begitu tetapi dengan cucu perhatian datuk amat luar biasa. Bila cuti hujung minggu pasti akan cari jalan untuk mengambilnya supaya dapat bermain dan tidur bersamanya. Bila tidak dapat maka seolah-olah tidak tahu hendak buat apa dengan dirinya. Selalu saya katakan: "Sayang tu biar berpada-pada. Nanti cucu manja tak kira dan takut nanti hilang kejatian dirinya." Suami saya hanya senyum semacam tidak bersetuju dengan pendapat saya.

Huzaifah amat aktif perilakunya dan tidak duduk diam hingga kewaktu tidurnya. Ibunya telah dua kali (sekali di Jepun dan sekali di Putrajaya) bertanyakan dengan doktornya kalau-kalau Huzaifah ini dikira 'hyper active' perangainya.. Tidak katanya. Cuma ia lebih sedikit dari yang lainnya.

 

Huzaifah agak rapat berbanding dengan cucu yang lainnya mungkin kerana kami menjaga dan mengasuh nya selama 6 bulan dari umur sebelas hari selepas kelahirannya. Ibunya terpaksa melanjutka pengajiannya ke Jepun dan suaminya belum dapat mengikutinya kerana sebab syarat perkhidmatanya. Selepas 6 bulan barulah mereka dapat bersama. Agaknya ada naluri semula jadinya yang justru ia rapat dengan TokAyahnya dan saya juga. Jangan cucu-cucu lain jelous pula kerana ini bukan kami yang minta. Kasih sayang sama sahaja.

Namun kami peka bahawa anak (termasuk cucu) adalah perhiasan hidup semata-mata. Semoga mereka membesar dan menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya.  Semoga mereka menjadi pejuang menegakan AdDin yang mulia, Islam sewajarnya, yang hak dan tiada yang selainnya.

 MESTI DENGAN TOK AYAH BILA ADA PELUANG.

Ujai........................
Besar nanti Ujai ingat-ingat
Kisah Tok Ayah dengan Embah
Beza warisan budaya
Beza  serba serbinya
Tetapi bersungguh untuk membentuk lakaran hidup bersama.

Ujai......
Besar nanti Ujai  ingat-ingat
Embah bawa warisan Jawa
Tok Ayah bawa warisan Petani dari utara
Tetapi jangan kira itu semua
Iman dan taqwa pegang kuat walau di mana-mana.

Ujai........
Besar nanti Ujai ingat-ingat
Embah "buat kopi" malam hari
Untuk Ujai tidur selesa  membuai mimpi
Dewasa nanti Ujai kuat minda dan hati
Membela kebenaran dan jangan takut mati.

Mati itu hanya sekali
Biar mati itu penuh bakti untuk Allah yang maha Tinggi
Biar mati itu menjadi tauladan 
Bahawa hidup ini hanyalah medan laluan
Menegakkan Islam jangan ragu dan berjuanglah denagan keberanian.

Ingatlah Ujai......................
Janji Allah itu benar
Neraka itu benar, Syurga itu benar.
Bina keyakinan dalam minda dah Ruh, jangan gentar
Allah itu amat hampir, kalau kita selalu beristighfar
Memohon ampun dan memohon pertolongan
Tiada yang lain selain dariNya
Dan Dia maha Mengetahui, maha Mendengar dan maha Mengurnia.

Tok Ayah sudah lanjut umur, Embah pun sama
Adat kata tidak kesampaian untuk lihat Ujai dewasa
Mohon doa sungguh-sungguh semoga kita semua Allah terima
Ibu ayah dan semua yang kita sayang dan cinta
Di Syurga Firdaus dan di Syurga pilihan hati nanti kita berjumpa.

 UJAI DENGAN NANNY (NANI)

AMIN, YA  ALLAH.

1 comment:

noraini said...

Salam sobah.

sajak cantik dan syahdu. Ujai baca masa dewasa mesti terkesan.

Related Posts with Thumbnails