"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, April 12, 2010

YANG INGAT DAN TAK INGAT.





Hari ini entah kenapa saya teringatkan seorang kawan yang telah 2 tahun meninggalkan dunia yang sementara ini. Namanya Saadah Din dan Allahyarham pernah bekerja bersama saya dahulu. Bila saya mengingatkan perihal anak-anak, saya akan ingat dia kerana dia selalu sahaja bercerita-cerita dengan saya dan sama-sama memikirkan bagaimana keadaan anak-anak kita bila kita tidak ada nanti. Ingat kita ke tidak agaknya...........Kadang-kadang air matanya berlinang bila berbicara kerana dia amat sayang akan anak-anaknya.

Takdir menentukan ia berpisah dengan suami dan anak-anak tinggal bersama-samanya. Dia akan sedaya upaya cuba merapati anak-anaknya walaupun mereka sudah peringkat remaja terutamanya bila dia berjodoh dengan seorang lain pula. Dalam hidup yang serba mencabar ia akan mencari masa untuk menghantar anak-anaknya kesekolah dan akan memasak untuk mereka walaupun sekadar masak Maggie Mee. "Masak Maggie mee pun nak kena buatkan?" saya bertanya berseloroh. "Ialah puan. Kalau tak buat apa-apa, dia orang nak ingat apa kat kita?" Ia tak ia pulak, saya kata.(If we do not do anything at all for them, they will never ever remember us).Terharu saya bila sesekali saya teringat akan kawan saya ini.

Kini dia telah tiada setelah beberapa lama bertahan menghidap penyakit kanser. Setelah dua minggu kawan saya pergi buat selamanya., saya menalipon anaknya dan pesan sunguh-sungguh supaya jangan lupa Mama. "Kerjakan amal soleh dan Mama akan dapat munafaatnya, seperti disebut didalam hadith. Saya akan sentiasa ingat prinsip kasih sayangnya. Sentiasa berhubung dan berkongsi berbuat sesuatu walaupun perbuatan itu nampak kecil. Kecil tetapi penting. Saya berdoa semoga Allah meredhainya.

Bagi saya pula, banyak yang saya ingat mengenai Mak saya. Saya anak bongsu dan diatas saya ada 6 orang kakak dan seorang abang. Mak saya banyak bekerja diluar rumah. Kakak-kakak yang memasak untuk keluarga. Bila saya ingat Mak saya, bukan masakannya yang saya ingat tetapi cara ia mengajar saya bekerja yang saya ingat. Walaupun perempuan saya diajar menebang pokok, menggeraji dan membelah kayu untuk kayu api. Saya pun boleh mengupas sabut kelapa dan boleh menangkap belut di parit-parit. Saya keturunan pendatang dari Tanah Jawa maka tidak hairanlah saya diasuh berkerja kuat. Semasa saya kecil dan menemani Allahyarham Mak saya menoreh getah, saya masih ingat kadang-kadang saya minta dukong di belakangnya kerana jauh berjalan. Mak mendukong tanpa banyak soal. Itu lah ertinya kasih sayang yang tidak bersyarat. Bakti Mak Ayah tidak akan terbalas. Saya diajar Ustaz supaya mendoakan semoga Allah mengampuni mereka dan menghimpun mereka bersama-sama para Siddiqin, Syuhadak dan Solihin.


Gambar Hiasan -Banjaran Himalays (Everest)
dari www flickr.com


Sekarang di zaman Cyber ini saya tidak mengasuh dan mendidik anak-anak saya seperti cara saya membesar dahulu. Maka tidaklah saya tahu apa yang mereka akan ingat akan diri saya. Saya hanya masak yang sangat minima. Menghidang makanan yang berbagai jenis tidak menjadi agenda besar dalam prinsip hidup saya bersama emak dan bapak. Bapak saya sentiasa mengingatkan bahawa makan yang banyak dan tidur yang banyak akan membuat kita benak. Oleh kerana makan adalah perkara kecil, maka saya agak pasti anak-anak saya tidak akan ingat saya kerana masakkan yang sedap-sedap. Agaknya mereka ingat saya kerana becok leteran mulut saya, terutama kalau bangun lewat waktu pagi atau terlalu banyak tidur di hujung minggu. Anak perempuan saya antara yang "tertidur" dalam membaca nobel, dengan senghaja atau tidak senghaja. Saya kata padanya: " Pergi main sukan lagi baik daripada tidur, pergi panjat bukit ke..., mendaki gunong ke..ia lebih bermunafaat. Lama-lama bingit ditelinga agaknya maka dia pun mula giat diluar rumah. Rupa-rupanya betul dia masuk kelab untuk mendaki gunong Kinabalu. Dipendekan cerita dia berjaya mendaki Gunong Kinabalu. Agaknya nanti mendaki Everest pulak, mana tahu.....




Biasanya kita mengingatkan sesuatu perkara bila kita duduk bersendirian atau tetekala kita teserempak dengan peristiwa yang mencetus minda untuk mengimbau kembali masa yang telah berlalu. Saya suka bercerita kisah saya membesar dan dibesarkan pada anak-anak dan anak-anak buah sekurang-kurang nya ketika musim cuti atau di musim hari perayaan. Disebalik cerita ada prinsip atau sikap yang mahu dikongsikan untuk tauladan, seperti sikap berani meneroka, berani ambil risiko, beristiqamah dalam membuat sesuatu yang baik dan lain-lain sepertinya. Proses menerap nilai adalah suatu perkara yang memerlukan kesedaran dan kesabaran. Kita tidak mahu anak-anak mempunyai sikap seperti lalang. Ikut sahaja, itu lebih mudah. Semasa saya berkerja saya masih ingat agak ramai juga yang bersikap seperti lalang. "Jangan melawan arus", setengah kawan menasihati saya. Saya diam berfikir.Sebenarnya saya tidak sentiasa melawan arus. Saya hanya "berdegil" dan mempertahankan pendirian saya kalau ia melibatkan hal-hal prinsip. Saya tidak berkeras kalau ia hanya pendapat mengenai cita rasa. Diakhir perkhidmatan Boss Utama saya berkata, "Ngasobah has a lot of Ideas, but we often have to neutralise her". Tak apalah, sebab saya ingat cerita semasa Nabi Ibrahim AS dibakar dalam api yang menjulang tinggi. Seekor burong cuba memadamkannya dengan caranya yang tidak munasabah untuk api terpadam. Tetapi ia berbuat demikian untuk membuktikan pada Allah dia tidak sekongkol dengan yang engkar dan zalim. Semoga Allah mengampuni semua yang ada kelemahan dan kekurangan, termasuk saya sendiri.

No comments:

Related Posts with Thumbnails