"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Friday, September 13, 2013
EGOnya masih mudah tersinggung.....
Mengimbas kembali Ramadhan......
Di bulan Ramadhan Allah mudah buka pintu Rahmatnya dan kita peka kewujudan kita sebagai hamba.....hamba yang serba fakir di sisi yang maha Pencipta dan maha Berkuasa. Sepertinya Ego kita dapat kita humban ke tepian dan kita meraikan hakikat keinsanan. Dapat kita terapkan di lubuk hati kita bahawa kita serupa sahaja. Hanya Iman dan Taqwa yang membezakan kita. Maka dibulan puasa kita boleh membawa diri-diri kita beriftar di masjid di mana rata-rata tidak ada Protokol seperti hari-hari biasa. Jika tidak berhidang juadah hari itu, kita dengan senyuman beratur panjang menunggu giliran, bertegur siapa dengan sesiaapa jua yang di hadapan atau di belakang kita. Jalinan silaturrahim tidak memerlukan karenah protokol.
Saya perhatikan keadaan seperti itu hampir setiap hari beriftar di masjid di bulan Ramadhan. Tenang dan seronok dan makan bersama-sama seadanya. Makan pun harus cepat-cepat sebab hendak Solat Maghrib. Betapa kita menghargai masa !
Begitu juga cerita yang saya dengari dari teman-teman dan anak-anak buah yang kadangkala terserempak berjumpa di tempat-temapat awam seperti pasarraya atau ketika duduk bersama membaca alQuran di Masjid atau mencari dana untuk mereka yang memerlukan.
Indah sungguh Ramadhan..
Kini kita sudah ditinggalkan...
Apabila sudah berlalu Ramadhan ada diantara kita yang berubah kembali seperti tidak melalui Ramadhan. Anjakan Iman dan Taqwa tidak dapat dipertahankan. Saya amat khuatir diri saya pun begitu. Bila kunjung mengunjung dan bertemu dengan sanak saudara masih kedengaran ahli keluarga yang buat rungutan-rungutan yang tidak sedap didengari. Agak tersedih dihati. Fikiran saya mengatakan itu kesemuanya berkisar atas ketidaksempurnaan mengawal perasaan hati. Ego kita belum cukup lembut. Kita masih mahu melayan protokol sosial. Kadang-kadang protokol kita tidak selari dengan Adab.
Alkisah, saya terserempak dengan seorang yang demikian. Katanya hatinya amat remuk kerana ada anak-anak saudara tidak lagi menegur siapa dengannya dan tidak ambil hirau akan keberadaannya. Ia mengaggap anak-anak buah ini amat kurang beradab dan menyalahkan kedua ibu-bapanya yang tidak pandai mendidik anak. Maka ia mengambil keputusan untuk tidak mahu ziarah-menziarahi keluarga yang terlibat. Ia tidak teringin memanjangkan silaturrahim. Ia mendakwa ia tidak memutuskan silaturrahim tetapi cuma tidah mahu memanjangkannya.
Saya bingung mendengarinya...
Maka saya menyelitkan hujah bahawa tugas mendidik anak-anak muda terutamanya dari sanak-saudara sendiri adalah tugas utama keluarga besar (extended family). Kesilapan kecil jangan kita besar-besarkan. Kita terima anak-anak buah kita seadanya kerana semasa kita muda dahulu pun bamyak kesilapan yang kita lakukan. Maka dewasa tua inilah kita menginsafi diri dan boleh berlebih kurang dengan tindak-tanduk anak muda kerana mereka masih dalam proses menjalani tarbiah Islamiah sedikit demi sedikit. Kita tunjuki sahaja jalan bagaimana mahu menjadi insan mulia di sisi Allah.
Saya katakan kita harus mensyukuri apa yang kita ada dan menginsafi diri melihat apa yang tiada. Sekadar tidak ditegur siapa oleh anak-anak saudara adalah agak lumrah pada anak-anak muda sekarang. Saya pun sedih melihat fenomena ini, tetapi apakan daya. Hubungan mata dan hati amat berkurangan kerana minda terlalu fokus pada hubungan dengan rakan sebaya melalui teknologi canggih kini. Mereka lupa pada golongan umur yang tidak sehaluan minat dalam melalui kehidupan. Nilai kekeluargaan dan nilai sosial sudah banyak beza.
Pada hari itu hujah saya tidak relevan. Katanya saya hanya mahu menegakan benang basah. Saya senyum dan menukar tajuk bicara dan bertukar tempat duduk untuk memberi laluan pada perbualan yang lain pula.
Demikianlah hati manusia yang belum sempurna. Yang tua dengan pemikirannya, yang muda dengan karenahnya. Mungkinkah ada titik pertemuan ?
Saya menginsafi diri dan bertekad akan terus mendidik hati sekurang-kurangnya hingga ketahap boleh mempengaruhi hati-hati orang lain (anak-anak) demi mencari redha Allah. Semoga Allah kurnia keinginan ini.
Mohon keampunan Mu Ya Rabb....
....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Salam Puan,
Ya indahnya Ramadhan,sangat patut dirindui.
Begitulah,antara yang tua dan muda. Yang tua mulai terasa dipingirkan oleh si muda,tanpa menyedari mereka juga pernah muda dan entah bagaimana tanggapan oang yang tua semasa itu.
Untuk yang muda perlu selalu ingat bila berhadapan dengan kerenah orang tua bahawa mereka juga akan melalui situasi itu,entah bagaimana keadaannya pada ketika itu,mungkin lebih mencabar lagi.
Paling patut,yang tua mendidik yang muda dan yang muda warisi ilmu yang tua sebanyaknya.
Saya meletakkan diri saya di antara mereka.
Betul Simah. Kadang-kadang yang tua macam saya terlalu mahukan kesempurnaan walaupun dulunya jauh dari sempurna dan sekarang pun belum sempurna. Selalu saya katakan pada anak-anak dan staf saya semasa bekerja dahulu supaya jangan rugi macam saya rugi kerana semasa saya muda amat kurang sebaran dakwah maka sering terjebak-jebak...
Simah doakan saya...
Post a Comment