"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, September 28, 2013

Secebis cerita Puchong...







Yang berpantang anak tetapi dalam membantunya saya seperti berpantang juga kerana saya buat pilihan untuk  ikut sahaja apa yang termampu dalam menyediakan makanan supaya dapat  menjimatkan masa. Masa adalah suatu komoditi yang amat berharga  bagi saya dalam perjalanan hidup yang amat singkat ini. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kederat untuk mengaktifkan diri dan dapat mengisi kekosongan-kekosongan dalam pengabdian yang belum tercapai hingga kini. Semoga Allah membuka ruang dan peluang untuk meneruskan tanggung jawab yang masih belum selesai. Dan siapa yang boleh kata sudah selesai ?........

Dalam kepenatan seharian teringin juga dihati untuk menjelajah dan melihat perkembangan pembangunan di daerah Puchong ini. Dalam tahun tujuh-puluhan semasa saya di kementerian pendidikan, Puchong yang saya tahu ketika itu adalah ladang getah yang amat luas dan saya masuk ke daerah Puchong beberapa kali berunding dengan Pemaju Perumahan bagaimana sekolah-sekolah Tamil dapat di pindahkan dan diganti dengan yang baru tanpa menjejas kebajikan rakyat keturunan Tamil di situ. Ini bukan suatu yang mudah. Proses pembangunan dengan isu-isu politik yang tidak mudah selesai memeningkan kepala pelaksana projek sekolah di mana jua. Waktu itu saya pernah menyuarakan pendapat mengapa kita perlu bina sekolah rendah Tamil sedangkan menteri-menteri India dan orang-orang besar parti pun tidak ghairah menghantar anak-anak  mereka ke sekolah Tamil. Tiada jawapan telus dan tulus.

Ketika itu pun saya mengatakan pada teman-teman dari JKR siapa yang ingin duduk di Puchong ini...."tempat jin bertendang". Sekarang saya tersenyum sendirian melihat pembangunan yang pesat. Saya percaya sudah tidak ada lagi jin bertendang. Perumahan sudah melaut luasnya.. Mencari rumah anak saya di Puchong Prima pertama kalinya pun sulit walaupun menggunakan GPS. Ini kerana pembangunan di Puchong agak tidak menentu dari segi perancangan Bandar.

Sejak hari ketiga bersalin saya menemani anak saya ke Pusat Kesihatan Kecil kerana masaalah sakit kuning bayi baru lahir. Jelas Puchong menggambarkan 1 Malaysia tulin. Semua keturunan bangsa jelas ada. Tetapi rata-rata saya perhatikan ini kawasan penduduk berpendapatan rendah dan sederhana rendah. Saya menunggu satu jam setengah untuk anak selesai berurusan. Saya rasa lama. Tetapi agaknya itu biasa sahaja. Alangkah bahagianya jika kerajaan dapat mengurangkan masa menanati giliran. Baru betul slogan: Rakyat didahulukan. Malaysia Negara kaya minyak. Seperti nikmatnya tidak dirasai sama.

Dicelah-celah kesibukan jaga 5 cucu, saya ajak anak putar-putar di kawasan kampung asal berhampiran kawasan perumahan anak saya. Tidak nampak seperti kampung tradisional Melayu....sudah 'moden'. Apa yang menarik perhatian saya ialah masih ada Sekolah agama  dan tadika Islam. Agak teruja juga memikirkannya dari segi dari mana datangnya pelajar-pelajar memandangkan kawasan kampung makin kecil. Ada juga rumah anak-anak yatim. Entah mengapa tiba-tiba saya rasa tersedih jika  anak yatim harus ditempatkan dalam satu institusi. Terpisah dari kasih sayang ibu. Tidakkah ada cara lain menjaga kebajikan anak-anak yatim ini. Bukan di Puchong sahaja. Di mana jua. Kita harus fikirkan fakta kasih sayang. Bukankah Malaysia kaya........hulurkan wang perbelanjaan yang mencukupi supaya tidak terpisah kasih sayang. Ada teman mengatakan saya tidak berdiri di bumi nyata....

Entah berapa hari lagi saya perlu bermukim di Puchong. Semoga Allah memudahkan segala urusan urusan kerana saya perlu pulang segera ke Tangkak pula.

Mohon pertolongan Mu ya Rabb....

...

No comments:

Related Posts with Thumbnails