Rata-rata manusia suka memilih sesuatu yang cantik dan indah, yang memberi kedamaian hati dan minda. Tetapi fenomena cantik adalah terletak pada mata dan hati seseorang dan lebih tepat lagi cantik dan indah itu akan menjadi lebih syahdu jika dilihat dari mata hati, iaitu mata hati yang mengerti bahawa kecantikan itu adalah milik Allah jua. Dan oleh kerana ia milik Allah maka apa jua yang kita idamkan dan lakukan seharusnya tidak lari dari hakikat ini, iaitu dalam kita menikmati kecantikan dan keindahan seharusnya kita menjadi lebih dekat pada Allah
Maka saya suka berkongsi satu peristiwa seorang yang suka menghias rumah dan akan sanggup berkorban masa dan keselesaan diri demi kecantikan. Sering saya berbincang dengannya mengatakan apalah kecantikan jika kita kehilangan masa untuk mencantikan diri di sisi Allah. Baiklah kita hias rumah sekadarnya dan masa itu kita rebut untuk mencari ilmu yang dapat membawa kita berdamping dengan yang maha Pencipta dan semoga mendapat redhanya.
Ditakdirkan ia seorang yang berada dan hidup mewah dan boleh mendapatkan khidmat pembantu dan khidmat tukang kebun. Tetapi ia enggan berbuat demikian sebab katanya ia tidak akan puas hati dengan kualiti kerja mereka. Ia sudah megalami jalan itu. Maka ia lebih rela membuat semuanya sendiri, dari dalam rumah hingga membersihkan kolam renang dan menjaga taman sekeliling rumah.
Selalu ia mengadu penat bila ada kesempatan sembang dengan saya. Sesekali saya nasihat juga supaya mengubah cara. Ia seorang yang sensitif maka saya harus hati-hati. Sekarang ia berumur 58 tahun, tak silap saya, dan saya rasa risau juga nanti tidak kesempatan untuk berbuat sesuatu yang lebih bermunfaat dari segi pengabdian diri kerana kesibukan menjaga rumah.
Demi kecantikan, tingkap dan pintu rumah tidak ada grill besi. Sudah beberapa kali rumahnya dimasuki orang dan ia menjadi bingung dan bersedih hati. Malahan seperti fobia untuk meninggalkan rumah beberapa hari. Jarang sekali ia akan ikut suami out-station, walaupun di luar Negara kerana takut rumah dimasuki orang dan nanti pokok-pokok akan mati lantaran tidak disiram air dan dibaja secukupnya.
Subhanallah, bisik hati saya. Allah mengurnia harta yang lumayan tetapi ia menjadi sepert penjara baginya tanpa disedarinya.
Semoga ia akan menginsafi diri dan saya akan terus memujuknya supaya mengubah pendirian hidup dengan iringan doa.Semoga Allah memberi petunjuk kerana Dia maha pengasih maha penyayang. Ia seorang yang murah hati, rajin mengeratkan silaturrahim dan sentisa berhemah bila berbicara.
Saya sendiri pun masih banyak kelemahan dan kekurangan dan berkongsi cerita ini semoga dapat memberi peringatan pada diri. Tiada manusia yang sempurna dan kita mencari kekuatan dari sahabat handai sebagai wasilah. Hanya Allah jua tempat kita bergantung. Namun untuk itu kita perlu ada ilmu untuk membedah siasat kelemahan dan kekurangan yang ada.
Biarlah kurang sempurna di dunia asalkan di akhirat Allah redha dan kita sejahtera bahagia di sisiNya.
Memohon keampunan Mu ya Rabb....
...
No comments:
Post a Comment