Dua minggu saya di Tangkak mengurus Tadika SmarTop dan rasa ingin segera pulang ke Kampung Tunku, Petaling Jaya. Urusan rumahtangga harus dibereskan kerana kami tidak ada pembantu rumah sepenuh masa. Kami sudah tahu dari di Tangkak lagi bahawa bekalan air di Lembah Kelang bermasalah.
Rasa serabut terpaksa menghadapai masaalah rumit seperti putus bekalan air. Mengapa agaknya ini harus berlaku walhal tidak dalam musim kemarau. Hanya pihak yang bertanggongjawab mengetahui sebab sebenar. Rakyat hanya mendapat penerangan yang dirasakan seperti suatu yang tidak sewajarnya berlaku. Apalah kuasa rakyat ! Lima tahun sekali pun rakyat bermasaalah membuat keputusan untuk memilih pemimpin yang bertanggongjawab.
Hari Sabtu saya tiba di rumah dan air di tangki sudah mula surut yang membimbangkan kerana tidak tahu bila sebenarnya bekalan air akan pulih. Maka saya sekeluarga hijrah ke rumah anak di Puchong pada pagi hari Ahad. Anak lelaki saya membawa alat untuk membawa sedikit air pulang dalam barrel plastik kerana perlu bermalam di rumah sendiri. Kami membawa baju-baju kotor yang tertanggguh untuk dibasuh.
Saya bersabar hati bila teringat sengsara hidup mereka yang dalam kem pelarian perang di bumi yang Allah uji dengan kesusahan termasuk ancaman keselamatan. Semuanya kekurangan termasuk bekalan air bersih. Maka kecewa dihati dapat diredakan dan mensyukuri anugerah Allah kerana masaalah yang ada tidaklah sebesar mana berbanding mereka yang di dalam kem pelarian terutamanya di Syria dan negara-negara jiran yang menanggong beban.
Semoga kesabaran rakyat tidak diambil kesempatan oleh mereka yang bertanggongjawab.
Maka kami relax di rumah anak dan meraikan hari memperingati kelahiran cucu kami yang ketiga. Uwais namanya dan kini berumur 5 tahun. Ia lihir dengan "club feet" dan ia suatu pengalaman yang luar biasa bagi keluarga kerana tidak pernah ada seperti itu dalam keluarga. Rupa-rupanya ramai juga bayi yang lahir dengan "club feet'' cuma kurang maklumat dalam masyarakat. Bagi Uwais ia sungguh bertuah kerana Doktor pakar berpengalaman dan menasihatkan kami untuk menggunakan kasut khas bagi menangani masaalah ini. Prosesnya agak rumit bagi si Ibu kerana memerlukan kesabaran dan keperhatinan.
Alhamdulilah berkat usaha yang gigih semua pihak dan dengan pertolongan dan kehendak Allah jua, kaki Uwais beransur pulih dan dapat berjalan seperti anak biasa menjelang umurnya setahun lebih. Kini ia normal dan tidak nampak kesan masaalah yang ada. Saya suka berkongsi hal ini kerana ada keluarga yang tidak yakin dengan nasihat doktor dan berbuat sesuatu melalui "rawatan tradisional" yang sebenarnya tidak berkesan. Jika lambat rawatan seorang anak yang lahir dengan "club feet" terpaksa melalui pembedahan. Ini lagi merumitkan.
Uwais dan adiknya Balkisy.
Saya rakam foto Tok Ayah melayan cucu memotong kek Hari Kelahiran. Uwais nampak seronok dan si kecil yang lain tumpang semangkuk. Alhamdulilah.
Mohon keampunan dan keredhaan Mu Ya Rabb.
...
No comments:
Post a Comment