Pemandang dari tigkat atas rumah tumpangan di Langkawi.
Melancung ke Langkawi untuk mencari Ikan Segar. Itu tujuan asalnya bila seorang teman yang baru balik dari sana membawa cerita ia mengikuti aktiviti memancing ikan dan makan ikan bakar yang segar hampir setiap hari. Tetapi saya dan suami tidak mampu beraktiviti begitu. Kami mengikut anak ke Langkawi mengambil tugas "baby-sitting" sementara ia bertugas rasmi. Maka tidak ada ruang dan peluang untuk pergi memancing.
Maka kami hanya makan di restoran mencari ikan segar. Alhamdulilah, dapat juga habuan ikan segar walaupun cara memasaknya kurang menepati selera. Dalam hati kecil saya berkata: tidak mengapa.....ikut rezki. Tetapi di Restoran Wan Thai kami berpuashati. Alhamdulilah. Nikmat kurniaan yang maha memberi rezki jua.
Setiap hari selepas sarapan yang agak lewat, kami belegar-legar di Pantai melihat pembangunan yang makin pesat. Akhir sekali saya dan suami ke Langkawi ialah lebih 3 tahun yang lalu. Banyak perbezaan....Di Pantai Cenang sudah seperti tempat yang asing bagi saya. Ramai pelancung asing berkeliaran. Suami saya mencari teman yang punya sebuah Motel. Oh....masih beroperasi dalam gelombang saingan yang hebat menarik pelanggan. Namun mereka gigih dan masih bertahan. Alhamdulilah.
Antara aktivi menarik di Langkawi bagi saya kali ini ialah mencari Laksa Power yang di rekomenkan oleh pengusaha kereta sewa tempatan. Nun di belakang Lapangan Terbang, katanya. Anak perempuan saya yang memandu kereta. Berusaha sungguh mencari Laksa Power ini. Boleh berhenti di pejabat polis untuk bertanyakan arah. MasyaAllah. Hendak seribu daya. Akhirnya jumpa juga....
Gerai Laksa Power |
Sedap sekali. Alhamdulilah. Isi dan qualitinya sempurna dan hanya rm5/-semangkuk. Kami bungkus juga bawa balik untuk ulang makan.
Di tepi Pantai air kelapa muda yang menjadi pilihan. Harganya rm4/- sebiji. Kami berbaris kerana laksa power amat popular. Cuma tempatnya tidak begitu selesa. Kebersihan pun kurang terjaga. Ini budaya 1 Malaysia yang belum boleh dipuji kesungguhannya. Di mana silapnya ?...didikan di rumah, di sekolah atau tidak cukup penguawat-kuasaan di tempat umum. Setiap kita harus peka hal ini kerana kebersihan amat dititikberatkan dalam Islam.
Cucu saya lenyak tidur tetapi kami bawa juga turun kereta dan baringkan atas meja kosong. Laksa power punya tarikan...
Pada pandangan saya Rakyat masih terpinggir di tempat sendiri. Belum benar-benar dapat rasa rakyat didahulukan. Bekalan kemudahan air bersih secara teratur tidak kelihatan. Anak saya buat komen: Macam mana depa basuh peralatan ye? Saya kata jangan tanya, makan sahaja dan doa semoga tidak sakit perut. Alhamdulilah, semua beres. Kami memahami kesulitan pengusaha kecil di situ. Maka esuknya kami datang lagi, dan kali ini makan Laksa Ikan Sekoq di gerai yang lain pula. Juga sangat sedap tetapi tempatnya pun kurang selesa. Kalau tidak ada pokok besar dan rendang sememangnya tempat itu tidak ramai pelanggan kerana cuaca Langkawi agak panas juga.
Anak saya kata: romantik juga mak tempat ini. Beza pendapat dua generasi....
Pantai-pantai di Langkawi sememangnya cantik. Tidak ramai yang mandi. Tetapi tidak ada papan tanda mengatakan bahaya untuk berenang. Kami tidak berani dan anak dan cucu saya hanya berjalan di gigi air bermain buih ombak.
Kasihnya Ibu...bersusah payah berkongsi masa bekerja dan bercuti...
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
(A-li'Imraan 3:133) |
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
(A-li'Imraan 3:134) | Pergi ke Langkawi dimusim cuti umum (Hari Malaysia) seronok dan tidak seronok sebab terlalu ramai pelancung. Pelanucung asing pun ramai juga. Tahun 2014 adalah tahun melawat Malaysia. Tetapi saya kecewa sedikit di KLIA sewaktu boarding kerana dewan dibuka terlalu lambat dan kami terpaksa tunggu lama diluar tanpa ada kerusi untuk duduk. Bagi yang muda itu tidak menjadi masalah. Saya penat berdiri kerana lutut dan pinggang sudah agak bermasaalah. Saya kurang arif sama ada sekarang caranya begitu jika menaiki Malaysia Airline. Takut nanti iklan perlancungan hanya indah khabar dari rupa. Semoga semua ini sudah diambil kira....
Penumpang berdiri-diri rasanya hampir sejam. Kerusi yang sedikit (4 atau 5) dimonopoli oleh yang datang dulu dan mereka tidak bergerak menghadap komputer. Agaknya mesej yang nyata ialah: kalau tidak larat, duduklah di rumah sahaja ?
Walau apa pun, alhamdulilah dapat bersama anak saya Azrul yang selalu sahaja sibuk bekerja 25 jam sehari. Kami bertukar-tukar pendapat mengenai perancangan hidup harian dan masa hadapan. Kata pepatah Inggeris: Life is not a bed of roses...Kita menjalani hidup ini hendaklah dengan penuh kesedaran bahawa semuanya adalah milik Allah. Kita tetap bersyukur sama ada kita dapat atau tidak dapat apa jua yang diidamkan.
Nikmat hidup bukan semestinya Allah kurnia segala yang mewah dan mahal. Laksa power pun sudah mencukupi untuk merasakan kasih sayang Allah yang maha bijaksana mengurnia yang terbaik di sisiNYA.
Mohon keampunan Mu ya Rabb...
.....
2 comments:
Langkawi, Oh Langkawi. Banyaknya cerita Langkawi sejak ditumpukan pembangunan kepada pulau ini oleh bekas PM yang bewawasan jauh. Airshow antara-bangsa, perlombaan kapal layar, basika, tempat peranginan, kedai jualan bebas cukai dan lain lain saya ikutu dari awal. Ramai yang memberi gambaran indah secara persendirian atau penulisan, Sayang - Saya belum menjejak pasir bertuah pulau itu. Belum sampai seru! Rugikah saya?
Takrugi sikit pun. Banyak tempat saya tak pernah pergi Gunung Ledang, gunung Kinabalu pun tak pernah daki. Lain orang lain kesukaannya. Asalkan semua yang kita buat tidak melanggar yang syar'ie. Betulkan Pak AlMqanar?
Post a Comment