Dua hari dulu anak perempuan saya mengirim berita lalu Whatsapp mengenai anak-anaknya yang di bawa ke Karnival Cuti Sekolah Bank Rakyat di Alamanda, Putrajaya. Saya teruja melihat gelagat cucu-cucu yang di beri peluang bebas bermain dalam environment yang terkawal. Seperti yang pernah saya cerita, dua orang cucu saya ini adalah istimewa, seorang Otistik dan seorang lagi ADHD. Mahasuci Allah, semuanya ada hikmahnya.
Sebagai satu perkongsian di bawah ini saya turunkan beberapa shot foto untuk ingatan saya. Di kiri ini, yang berbaju hitam membelakang kamera, yang berbaju belang dan yang di hujung kiri berbaju hitam adalah cucu-cucu saya.
Sebenarnya saya syok sendiri. Maka saya asyik melihat foto-foto di bawah ini.
Ini Ujai yang sulung berumur 9 tahun.
Terepist professional swasta sedang cuba melatihnya supaya bersikap sabar dalam menjalankan sesuatu tugasan. Semoga ia berjaya dibantu untuk masa hadapanya yang lebih teratur dan ia dapat berdikari.
Ini Asim berumur 6 tahun.
Dia anak yang ketiga dan ia normal seperti anak-anak lain. Tetapi oleh kerana abang-abangnya sangat aktif, maka ia terikut sama. Maka perhatian Ibu harus juga tertumpu padanya supaya tidak keterlaluan.
Yang saya ingin ceritakan khusus kali ini ialah Akif. Ia disahkan "mildly autistic" dan menghadiri kelas khas di sekolah biasa.
Saya menjaganya semasa ia dilahirkan di Tokyo 7 tahun yang lalu. Saya menjaganya selama dalam pantang dan ketika itu tidak kelihatan kelainannya. Sekarang pun jika kita tidak tahu latar belakangnya, kita akan menyangka ia anak yang normal. Tetapi apabila melihat tantrumnya jika ia tidak mendapat kemahuannya, maka kita akan berfikir sedikat mengapa ia demikian. Akif juga punya sumber tenaga luar biasa walaupun sudah lewat malam. Ia akan dibenarkan ibunya berlari di dewan dirumah, panjat kerusi melompat dan sebagainya supaya ia menghabiskan tenaganya. Selepas itu baru ia boleh tidur. Kalau tidak ia akan berjaga hingga larut malam.
Ibunya bercerita bahawa dalam Karnival itu anak-anak tidak dibezakan latar belakang. Siapa sahaja boleh mengambil bahagian dalam apa jua permainan yang di aturkan. Maka Akif memasuki pertandingan bermain LEGO. Pertandingan ini diadakan dalam 3 sessi. Satu sessi ada 10 peserta. Maka kesemuanya ada 30 peserta.
Akif memang minat dengan LEGO dan apa jua permainan yang berkaitan dengan alat yang berpasang seperti senjata mainan dan jenis-jenis kenderaan mainan.
Kelihatan di sini hasilnya sedang dinilai. Pertandingan itu ialah berbentuk FREE STYLE dan mesti berhenti selepas 30 minit. Sebenarnya Akif tidak tahu konsep masa lagi. Cuma ayahnya yang ada di sisi meminta ia fokus dan buat yang smart, bila diarah berhenti, Akif berhenti.
Itu yang di lakukan kata ibunya.....Dan akhirnya Akif di isytihar pemenang Pertama.
Teruja saya membaca ceritanya dalam whatsapp. Saya membaca berkali-kali seperti tidak percaya Akif boleh menang kerana pertandingan itu tidak mengira anak iatimewa atau anak normal. Tidak ada point handicap yang diberi.
Ini Masterpiece Akif.
Saya masih dalam peringkat 'Ilmu Yakin' dan terfikir-fikir bila akan sampai maqam 'haqqul yakin' ? Peristiwa ini mengejutkan minda dan hati saya.
Saya berkata di hati: "Allah tarik sedikit sifat normalnya, tetapi Allah bagi balik lebih, sangat lebih dari apa yang di tarikNYA. " Saya yakin anak-anak lain yang seperti denagnnya punya keistimewaan yang luar biasa yang Allah mahu kita melihatnya dan meyakinkan diri bahawa Allah maha Bijaksana, maha Mengetahui dan maha Adil terhadap semua ciptaanNYA. Tidak ada ciptaaNYA yang sia-sia....
Ya Allah, Kami memohon ampun kerana lalai dalam melihat limpah kurniaan Mu yang berbagai rupa. Kekadang ingat dan sedar, tetapi kekadang terbabas juga. Kami mohon Taufik dan Hidayah Mu sentiasa Ya Rabb...
Semoga Limpah Rahmat Mu membuat kami lebih jitu dalam pengabdian pada Mu....Engkau yang maha Besar, maha Agong dan maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Mohon limpah kurnia kasih sayang Mu ya Rabb...
Aameen...
......
No comments:
Post a Comment