"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, December 1, 2014

Sekolah agama tidak terbela ?




Antara tujuan saya balik kampung ialah untuk ziarah anak saudara perempuan saya yang juga sudah hampir dua tahun kami tidak bersua muka. Khabarnya dia sudah mula lupa-lupa. Dia sebaya dengan saya, anak arawah kakak sulung saya. Maka saya tinggalkan semua "kerja". Suami dan saya ke Kota Tinggi setelah menziarahi teman di Johor Bahru. Anak saudara saya ini tinggal bersama anak perempuannya, seorang guru di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor, di Air Tawar Dua, di kawasan Felda.

Saya rakam foto ini semasa hendak pulang. Hati saya berat untuk pulang dan kalau boleh ingin tidur semalam untuk berbual-bual dengannya. Apakan daya .... rumah anaknya ini yang di kira Rumah Guru, adalah kecil dan tidak mungkin kami boleh berkongsi bilik. Rumah ini di bina oleh kerajaan Negeri Johor dan tersedih di hati saya kerana sudah kelihatan terlalu uzur. Jika ada ribut taufan saya tidak hairan jika ia tumbang, atau terbang bumbungnya. Ini kenyataan. 

Saya simpan di hati tidak komen apa-apa kerana menjaga adab bersaudara. Tetapi saya amat kecewa dengan sikap kerajaan negeri Johor yang berjanji mahu mendahulukan Rakyat, tetapi janji itu tidak ditepati.

Penduduk kampung tidak mengerti hak asasi mereka. Maka dengan keadaan demikian saya tidak hairan jika ada golongan penduduk yang memandang rendah guru-guru sekolah agama kerana tidak bergaji mencukupi untuk hidup sederhana. Bukan hendak bermewah-mewah tetapi pastinya mahukan rumah yang tegap yang menjamin keselamat keluarga, dengan izin Allah.

Inilah sikap kerajaan yang buat fikiran saya serabut kerana ramai saudara mara saya yang tinggal di kawasan Felda. Kalau rumah itu di bawah urusan Felda sekalipun, ia masih merupakan tanggung jawab kerajaan Barisan Nasional. 

Bayangkan betapa dhaif !....sejak tertubuhnya Umno di Johor dan BN diundi oleh rakyat untuk berkuasa. Dan Allah kurnia Malaysia negara yang kaya dengan berbagai sumber.

Bukan saya tidak bersyukur dan bukan saya mahu berpolitik, tetapi jika politik tidak mengindahkan agama, maka saya rasa khuatir bencana akan menimpa. Sejarah sudah membuktikandari zaman dahulu lagi...

Walau apa pun pemerhatian saya,  saya ingin menggembirakan anak buah saya ini bahawa saya ingin menolong seberapa yang boleh. Tetapi tidak tercapai kesemuanya...

Hari itu suami dan saya cuba menggembirakan anaknya yang dapat 4A dan 1B dalam peperiksaan UPSRnya. Kami ucap tahniah dan memberi hadiah yang tidak sepertinya. Kami ingin memberi keyakinan padanya bahawa masih ada keluarga yang menghargai pengorbanannya.



Ini foto sebahagian anak-anaknya bersama anak buah saya yang seorang lagi yang tinggal di Air Tawar Satu. Di bawah ini foto cicit saudara saya yang ingin kami bina jati dirinya. InsyaAllah sudah ada sikap ke arah itu dan semoga Allah memudahkan urusan persekolahannya. Ia masih suka tinggal dengan ibunya dan tidak mohon sekolah berasrama kerana ia mahu menamatkan Darjah Khas Sekolah Agamanya. Seronok saya mendengarnya kerana dia sendiri sudah pandai membuat pilihan. 

Mengenal Allah secukupnya itu penting untuk meneroka hidup seterusnya.




Di celah-celah rasa bersyukur atas segala kurniaan Allah yang tidak terhingga nikmatnya, saya teringatkan perbincangan saya dengan adik ipar saya di Kuala Lumpur yang mahu mempromosikan sebuah sekolah Times International School tajaan orang-orang kaya dari Turkey.

Saya mendengarinya penuh minat kerana saya suka mempelajari apa yang baru dari segi strategi dan proses pendidikan generasi pelapis. Saya kurang tertarik dengan misi dan visinya  yang tersurat dan beberapa hal lain. Tetapi saya tinggalkan dahulu perbincangan di sini kerana pendidikan adalah komitmen dan cita rasa penaja dan pengurus maka saya tidak ada hak mengkritiknya.

Prinsip saya mudah sahaja. Dari mula lagi kita harus mendidik anak-anak kecil termasuk remaja untuk mengenal Allah, Rabb sekian alam. Ilmu lain akan dapat diajarkan penuh barakah. Formula kejayaan mudah sahaja.

Ilmu + Taqwa = Kejayaan (dunia akhirat). Kedua-duanya harus menyerap sepadu. Bukan seiringan. Dan tidak ada jalan pintas baginya.
Ini formula Adni Islamic School yang saya promosikan di mana-mana. Juga sekolah yang sepertinya.

Saya berkeyakinan masaalh dunia hari ini ialah kerana manusia tidak mengenal Allah sebenar-benarnya. Allah maha mencipta setiap jiwa, Rabb yang mentadbir sekelian alam untuk kesejahteraan manusia. Tetapi ramai manusia yang hanya menggunakan aqal semata-mata tanpa berasaskan alQuran dan Hadis jujunjungan besar Nabi kita, Muhammad salahhualaihiwasalam. Dan saya secara pribadi sedang mencuba sedaya upaya ke arah mencari redha Allah jua. Semoga Allah masih memberi ruang dan peluang sebaiknya bagi saya dan keluarga.

Sampai di sini dahulu. Nanti kita cerita dilain entry, insya Allah. Semoga Allah menganugerah taufik dan Hidayahnya untuk diri, keluarga dan semua yang benar-benar mahu mencari Redha Allah. Semoga apabila samapai hari kita di hadapkan di mahkamah yang maha Agong kita tidak ada penyesalan lagi. Ketika ini saya masih khuatirkan akan diri saya dan keluarga saya (jauh dan dekat) takut  tidak dapat melepasi detik-detik seperti yang Allah sebut dalam Surah AtTaghbun....iaitu Hari penyesalan.

Kami memohon keampunan Mu ya Rabb.....
Aamiin...


....

No comments:

Related Posts with Thumbnails