Sejarah Legacy Wak Leman.
Pertama kali menerima ahli keluarga kembar serupa.
Dapat cicit saudara kembar serupa perempuan. Seronok sakan dua hari yang lalu bila cucu saudara dari kakak saya yang telah meninggal dunia datang berziarah buat kali pertamanya.
Allah anugerah saya ramai cicit saudara, alhamdulilah. Yang tertua dari kakak sulong saya telah pun berumur awal dua-puluhan.Tetapi ini pertama kali saya meraikannya di rumah saya. Kesemuanya di Johor dan oleh kerana mereka sibuk atas berbagi hal, baru ini dapat peluang bersembang dengan anak-anak muda yang tidak menyangka Allah kurnia anak kembar.
Dua Si comel ini diberi nama Qisya Safiya dan Qisya Sofiya. Cantik dan lebih mirip rupa ibunya. Tidak mengapa sebab yang pentingnya mereka sihat-sihat belaka. Jika Allah kurnia tidak sihat sekalipun, pastinya ada hikmahnya yang tersendiri. Saya cuba berdakwah semoga anak-anak muda dapat melihat rezki kurniaan Allah dari berbagai sudut. Semoga kita dapat menghargai apa jua kelainan yang Allah kurnia kerana tidak ada kurniaan Allah dan tidak ada ciptaanNYA yang sia-sia.
Saya pun mengambil kesempatan bercerita serba sedikit bagaimana menjadi ibu bapa cemerlang, bagaimana mendidik anak dan bagaimana kita mengambil kira wujudnya Atuk lelaki dan Atuk perempuan dalam hidup berkeluarga. Jika kita ambil peduli pada orang tua, pastinya Allah kurnia ganjaran luar biasa bila mereka sendiri meningkat umur tua. Itu yang menjadi harapan kita semua. Semoga keluarga tua tidak rasa terpinggir....
Bercerita dengan anak-anak muda mengenai petua hidup berkeluarga tidak boleh panjang-panjang sekali duduk. Cerita sedikit sahaja dan semoga mereka berfikir-fikir selanjutnya bila menghadapi realiti hidup harian.
Semoga Allah mengurnia taufik dan hidayah dan semua sifat-sifat mulia mengasuh dan mendidik anak semoga menjadi anak-anak yang soleh dan cemerlang dan dewasa nanti menjadi ahli masyarakat yang boleh menyumbang untuk kesejahteraan ummah sejagat.
Aameen.....
....
No comments:
Post a Comment