"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, December 31, 2014

Diakhir 2014 hati lega bersama Cikgu tercinta....





Jam 12 tengah hari tadi saya dan suami bergesa menuju sebuah restoran masakan Barat di Petaling Jaya untuk makan tengah hari bersama guru saya semasa di tingkatan 5, lima puluh tahun yang lalu. 

Rasa amat teruja....

Sebenarnya sudah lama saya berhajat mahu menghadiahkan beliau sebuah alQuran sebagai satu cara "soft dakwah" baginya. Maka bila ia bersetuju dengan jemputan saya, amatlah teruja rasa di hati. Tidak tertunggu rasanya bila ia meletakan 31 Disember untuk bertemu.

Saya menjemput juga seorang teman baik yang sama bersekolah dengan saya dan juga jiran saya di kampung untuk berserta. Lagi teruja bila dia bersetuju menjemputnya dengan kereta kerana Cikgu saya ini sudah berumur 76 tahun dan kurang sihat. 

Namanya Miss Tan Lee Kiang. Dia mengajar kelas saya dari Tingkatan 3 hingga tingkatan 5 di Secondary English School Pontian ketika itu. Saya tidak bertemu dengannya sejak 1964 hingga lah saya bekerja di Kementerian Pendidikan dan semasa itu ia bertugas di Bahagian Perkembangan Kurikulum, sekitar tahun sembilan-puluhan.

Miss Tan di sayangi semua murid. Nampak begitu kerana ia sangat suka membantu tanpa kira siapa kita. Saya amat menghargai komitmennya hingga kini kerana hanya Miss Tan sahaja yang meminjamkan anak muridnya buku-buku cerita bahasa Inggeris kerana Library di sekolah amat kekurangan buku-buku berkualiti ketika itu.. Saya disuruh baca buku Enid Blyton setiap minggu dan buat ringkasan. Saya kekadang ambil sahaja dari summary di belakang buku kerana tidak habis membaca. Saya sebenarnya lebih suka bersukan dan masa belajar amat terhad sekali. Seorang guru pasti tahu murid yang rasa "pandai-lebih". Cuma pasti guru buat tak tahu sebab ia tahu membaca ringkasan adalah lebih baik dari langsung tidak membaca.

Bila meneropong kebelakang, saya tersenyum sendirian.




Kami duduk makan dan bercerita panjang mengenai hidup secara umum. Kami cerita juga guru-guru yang sudah "gugur" dari senarai. Rasa bercampur-campur di hati kerana saya sendiri pun sudah masuk dalam senarai menunggu di dewan berlepas. Cuma berharap ada penagguhan masa.

Kami tidak banyak bercerita mengenai hidangan makan yang dinikmati. Kami lebih bercerita tentang bilangan mereka yang sudah tidak ada bersama lagi. Ada semacam rasa khuatir. Kemudian kami gelakan diri masing-masing.

Miss Tan tinggal berseorangan. Ia tiada anak atau sanak saudara yang boleh tinggal bersamanya. Tetapi saya katakan padanya bahawa pada hakikatnya kita semua berseorangan. (We are essentially alone). 

Terkejut saya bila Miss Tan kata: No....We are never alone. God is watching over us.
Saya terkejut lega kerana Miss Tan percaya pada Tuhan. Saya larut berfikiran sendiri bagaimana saya mahu katakan padanya saya ada sebuah hadiah Istimewa untuknya....AlQuran....

Saya memberanikan diri dan berkata tergagap-gagap dan terputus-putus: Miss Tan, I would like to pay your kindness to me as a teacher by giving you a special book. This is the alQuran. I would like you to read it, if you like. I choose this as a gift because this is the best gift I could think of.

Sebenarnya saya tidak berapa ingat apa yang saya katakan kerana saya rasa haru takut-takut ia akan memberi reaksi yang diluar jangkaan saya. Apa yang saya ungkapkan di rumah di hadapan suami saya tidak dapat saya katakan dengan jelas. Rasa hampa pada diri....lantas teringat bahawa Allah yang berkuasa atas segalanya. 

Miss Tan senyum....tetapi seakan-akan senyum tawar. Namun ia berkata: Thank you Ngasobah. You are the second person that has given me the Quran. 

Ia mengambil Quran yang saya letak di hadapannya dan di masukan dalam bag plastik di sisinya.

Dia tidak komen panjang dan hanya mengatakan bahawa ada banyak persamaan antara Islam dan Christianity.

Saya mengangguk dan dengan hati yang terketar-ketar saya minta ia membacanya bila dia suka. 

Teman saya tidak berkata apa-apa.....
Agaknya dia sendiri pun tidak tahu bagaimana mahu berkata apa-apa kerana selama ini bila kami berkumpul dan bersembang tidak pernah kami bercerita mengenai hidup beragama dan hidup berTuhan. Hanya cerita-cerita politik dan hal-hal professional dan lain-lain sepertinya.

Nyata sekali proses berdakwah bukan suatu yang mudah terutama kepada seseorang yang kita kenali dan hormati. Saya ada rasa begitu tetapi saya mahu mencuba. Semoga Allah memberi laluan dan memberi peringatan padanya.

Hanya itu yang dapat saya lakukan.

Sejurus itu kami bersiap untuk beredar. Saya peluk Miss Tan seperti biasa sebelum ini di mana jua. Dia beri tahu pada suami saya bahawa saya selalu peluk dia bila berjumpa semasa bekerja dahulu. 

Saya senyum dan berkata dalam hati semoga Allah membuka hatinya untuk kembali padaNYA.




Teman saya , Tamyes dan isteri menghantarnya pulang. Miss Tan kata kita berjumpa lagi bulan Mac ini untuk meraikan Hari Lahirnya. In sya Allah saya dan Tamyes akan aturkan dan saya akan cuba follow-up dengan perkembang "Soft Dakwah" saya. Nyata saya tidak "berbakat" memikat hati. Namun saya berdoa Allah memberi peluang pada saya berbakti untuk kemanusiaan dan terpenting sekali ialah membawa manusia mengenal Allah dan kembali pada Fitrah.

Maka beredarlah 2014.
Sebentar lagi akan muncul 2015, Allah mengizinkan.

Terhiba di hati....tetapi juga rasa lega dapat memberinya alQuran.
Semoga Allah kurnia kemampuan dan kekuatan untuk terus berusaha mendirikan dan membela Kebenaran.

Mohon keampunan Mu ya Rabb...


........

2 comments:

Kerabu Jantung said...


Assalam Sis,

Sis dah berjaya mengorak langkah pertama dengan hadiah AlQuran tu, mana tahu tergerak hati dia nak baca..

ngasobahseliman said...

Ye lah Sis. Mudaha-mudahan begitu. Rasa bersalah kalau tak bagi seseorang yang kita sayang suatu yang amat berharga padanya. Semoga Allah buka hatinya.

Related Posts with Thumbnails