"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, May 31, 2015

Yakin dan seronok berusaha.....



Buah cempedak si buah nangka
          Kulitnya kasar bukan berduri
Jangan mudah berburuk sangka
                   Padahnya kembali ke badan sendiri


Bukan nak cerita buah cempedak atau buah nangka. Cuma ingin bercerita sedikit mengenai semangat seorang anak muda yang kini sudah pertengahan dewasa yang berkelulusan professional tetapi memilih mengurus ladang pertanian. Dia seorang akauntan tetapi bekerja sendiri. Saya mengenali ibu bapa isterinya yang tinggal sekampung dengan saya. Ada yang mengatakan rugi berkelulusan tinggi tetapi kerja sendiri jadi "pekebun". Masih ada dikalangan orang Melayu yang melihat kerja ladang itu "low class". Saya hanya senyum sendiri bila mendengar komen-komen seperti itu. Ini rata-rata kita dengari jika anak-anak Melayu berkelulusan tetapi memilih bersusah payah untuk berniaga. Perniagaan bukan kerjaya yang mudah, maka masih ada pandangan ramai bahawa kerjaya professional dalam bidang yang ia terlatih itu lebih mudah dan menguntungkan.

Itulah agaknya antara sebab Melayu masih ketinggalan dibidang ekonomi. Saya cuma fikir-fikir.....

Professional yang saya sebut di atas memilih profession peladang. Saya kurang arief apa yang dibuatnya tetapi setiap bulan Ramadhan ia akan infak untuk Iftar buah nangka masak yang lumayan banyaknya. Dan setiap hari Selasa  ia sekeluarga (termasuk keluarga besarnya ) akan menyediakan berbuka puasa untuk semua yang datang ke masjid waktu Maghrib seramai lebih kurang 50-60 orang setiap hari. Masakannya lumayan dan sedap-sedap. (Saya yang sentiasa menunggu hari Selasa waktu itu dan tahun ini saya rasa begitu juga).

Alhamdulilah. Mereka amat bermurah hati. Kerjanya tidak menampakan ia berpakaian segak dengan tie dan coat. Bila menghantar nangka dan lain-lain juadah ke masjid ia berpakain biasa. Senyum lebar bila nampak saya kerana saya kenal isterinya. Ganjaran dari Allah, hanya Allah yamg tahu. Cuma saya berpendapat orang Melayu harus mencontohinya. (Saya sudah terlambat dan hanya mendorong sanak saudara bertindak sedemikian rupa).

Yakin dan seronok dengan usaha sendiri dan jangan hirau jika ada orang memandang rendah.......

Dalam hal seperti ini suka saya kongsikan pengalaman saya dan partner saya dalam usaha membangunkan sebuah Tadika dan Taska ketika umur sudah senja begini. Ada juga kekawan yang komen bahawa usaha seperti ini tidak mendatangkan keuntungan besar, dan mungkin tidak ada keuntungan langsung. 

 "Berapa sen sangat untung, penat saje kita kerja", kata seorang darinya. Partner saya pernah cerita dengan saya. Kami berdua hanya senyum. Kami bukan mencari keuntungan wang ringgit. Biar Allah yang menilainya. Kami membangunkan Tadika dan Taska beraskan falsafah bahawa mendidik dari Hati yang beriman memberi kesan luar biasa pada anak-anak dan mendidik berasaskan prinsip mengenal Allah dari kecil lagi in sya Allah akan membuahkan hasil yang luar biasa mengenai jiwa fitrah yang kenal dan sayang pada Allah dan RasulNya. Maka yakin dan seronok kerana Allah sudah memadai.....

Dalam hal ini mari kita imbas kembali  kisah Nabi Nuh (Alaihisalam) bila ia membina kapal atas perintah Allah dan Nabi Nuh AS ditertawakan oleh umatnya kerana ia membinanya ditengah-tengah tanah daratan, jauh dari laut.


Gambar hiasan...bot nelayan di pantai di Pulau Belitung,
 dekat dengan pulau Sumatra.

Sebagai imbasan ringkas saya turunkan terjemahan ayat-ayat berkenaan untuk kita menilai diri dan berfikir-fikir berasaskan Ilmu yang Benar apabila kita ingin memberi komen atas sesuatu.

Surah HUD (11) ayat 38-45.
  • Dan mulalah Nuh membuat Bahtera. Dan setiap kali pemimpin kaumnya berjalan melewati Nuh, mereka mengejeknya. Berkatalah Nuh: "Jika kamu mengejek kami, maka sesungguhnya kami (pun) akan mengejekmu sebagaimana kamu sekelian mengejek (kami).
  • Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakan dan yang akan ditimpa azab yang kekal."
  • Hingga apabila perintah kami datang dan Tannur telah memancarkan air , kami berfirman: " Muatkanlah di dalam Bahtera itu daripada binatang, masing-masing sepasang dan keluarga mu kecuali orang yang telah terdahulu ketetapan terhadapnya dan (muatkan pula) orang yang beriman". Dan tidak ada orang yang beriman yang turut bersama-samanya melaikan sedikit sahaja.
  • Dan Nuh berkata: "Naiklah kamu sekelian ke dalamnya dengan dengan menyebut nama Allah diwaktu belayar dan berlabuhnya. Sesungguhnya Tuhanku benar-benar maha Pengampun lagi maha Penyayang."
  • Dan Bahtera itu berlayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. Dan Nuh memanggil anaknya , sedang anaknya itu berada di tempat yang jauh terpencil: "Wahai anakku! Naiklah (ke dalam Bahtera) bersama kami dan janganlah kamu berada bersam orang yang kafir."
  • Anaknya menjawab: "Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah!"  Nuh berkata: "Tidak ada yang melindumgi pada hari ini daripada azab  Allah selain Allah (sahaja) yang maha Penyayang." Dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya, maka jadilah anak itu termasuk orang yang ditenggelamkan.
  • Dan difirmankan: "Wahai Bumi! Telanlah airmu dan dan wahai langit (hujan) , berhentilah." Dan air pun disurutkan, perintah pun diselesaikan dan Bahtera itu pun berlabuh di atas Bukit Judi dan dikatakan: "Binasalah orang yang zalim.
  • Dan Nuh berseru pada Tuhannya sambil berkata: "Ya Tuhanku , sesungguhnya anakku dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Dan Engkau adalah hakim yang paling adil."

Sungguh besar pengajaran di sini. Jangan menyangka dan mendakwa kita tahu semuanya. Kita cuba laksana apa yang Allah tuntut, dan yang lainnya kita tawakal bulat padaNya. Kita diajar: Buat sahaja apa yang Allah suruh, pasti Rahmatnya bersama. Kalau ada masaalah pun kita bersabar dan terus berusaha. Yakin kan hati bahawa ALLAH ADA dan padaNYA sahaja kita bergantung harapan.

Semoga Allah memberkati usaha.
Aamiin ya Rabb.....

.....

No comments:

Related Posts with Thumbnails