"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, January 30, 2010

MEMINTA-MINTA







Hari ini entah mengapa saya teringat sangat pesanan bapak saya yang telah lama pergi dari alam ini. Ketika itu saya berumur 16 tahun dan oleh kerana saya yang bongsu dari lapan adik beradik, maka saya tidak bertanya mengenai sejarah kehidupan bapak dan emak saya secara terperinci. Namun saya masih teringat pesanan yang dibuat berulang ulang hinggakan hati saya terpaku dengan pesanan itu.
"Kita miskin, Tapi jangan sampai meminta-minta"
Kami keluarga yang teramat miskin ketika itu kerana bapak dan emak saya adalah pendatang dari tanah Jawa. Alhamdulilah, berkat kegigihan budaya pendatang, Allah mengurniakan rezki yang sedikit tapi kami rasai seperti melimpah-limpah banyaknya. Saya bersekolah hingga ke University tetapi bapak saya tidak dapat melihat kejayaan dan hasil penat lelahnya. Namun saya tetap berdoa semoga Allah mengampunkan segala kelemahan dan kekurangan saya dan segala dosa-dosa saya dan semoga saya diitiraf anak yang soleh dan doa saya untuk emak dan bapak kesampaian.

Kini saya dewasa, amat dewasa dan telah tergolong dalam umur yang sedang menunggu giliran untuk pulang menemui Pencipta. Allah telah mengurnia banyak kesenangan dan kemudahan melalui laluan-laluan yang tidak pernah terduga sebelumnya. Adik-adik ipar saya sungguh murah hati pada saya dan keluarga. Rezki yang melimpah-limpah dikongsikan bersama dan hanya Allah yang membalasnya. Saya amat bersyukur. Alhamdulilah.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga Ustaz sentiasa menasihati mengenai cara pengabdian diri pada Allah dan saya cuba sedaya upaya untuk mengikutinya. Antara pesanan ustaz:

"Tangan yang memberi itu adalah lebih mulia daripada tangan yang menerima".
Agaknya ini yang membuat saya teringat pesanan bapak saya supaya jangan meminta-minta. Tetapi entah bagaiman pada semalam dulu saya meminta sesuatu dari saorang yang saya kasihi , tetapi telah disalah erti.

Orang lain tidak pernah meminta-minta kenapa saya meminta-minta? Justeru saya menyesali perbuatan saya itu dan rasa agak tersedih hati kerana saya tidak pernah meminta-minta sebegini. Saya rasa saya amat kasih sebab itu agaknya saya gamak meminta. Rupanya saya belum cukup mengenali diri. Kalau kita tidak ada pertalian darah maka jangan meminta sesuka hati. Apakah mereka kasih pada kita , kita belum pasti.





Maka hari ini adalah hari muhasabah diri. Yang terlepas jangan dikesali. Kerana meminta pada orang belum tentu dia mengerti dan merasai akan isi hati. Walaupun pada zahirnya orang itu berilmu dan di masyarakat disanjung tinggi. Tetapi belum pasti mereka akan berbakti.

Oleh itu janganlah kita bicara rasa hati dan fikrah diri. Kerana itu hanya Allah yang maha Mengetahui. Kita kembali sahaja  pada Ilahi dan minta dariNya kerana jika kita seorang mukmin dan  ikhlas sejati pemberianNya itu lebih pasti. InsyaAllah itulah yang akan saya mohon setiap hari. Untuk melengkapi  baki hidup yang tinggal sedikit ini. Amin.

1 comment:

noraini said...

Salam.
very deep meaning your article. l must admit ada masa kita kena express our needs. so tak salah minta sesuatu yang kita perlu. but memang lebih baik serah kepada Allah yang lebih tahu apa yang kita layak dan telah di taqdir hak kita. WaAllau'alam

Related Posts with Thumbnails