"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, January 2, 2010

SUKA BERCERITA .





Setengah orang suka bercerita, bercerita seorang dengan seorang, bercerita ketika berjumpa ramai, bercerita ketika ceramah dan ada yang suka bercerita apa jua dan di mana jua dan bagaimana jua.

Sekarang ini "musim" bercerita. Bagi mereka yang baru kembali dari Makkah, mereka bercerita peristiwa dan pengalaman mengerjakan Fardhu Haji. Ada yang suka bercerita  perayaan menyambut tahun baru 2010, dan ada yang suka bercerita mengenai anak-anak mulai penggal bersekolah dan bermacam-macam lagi.

Bercerita adalah naluri manusia biasa. Orang yang suka bercerita biasanya mudah mendapat kawan baru dan tidak nampak keseorangan bila berada di majlis- majlis seperti majlis silaturrahim. Ada orang yang tidak bercerita kerana mereka tidak tahu bagaimana hendak bercerita. Di dalam rumah sendiri pun mereka kurang bercerita dengan anak-anak atau dengan suami sendiri sekalipun. Di pejabat pula, yang suka bercerita itu adalah antara yang menjadi masaalah dikalangan rakan sejawat kerana mengganggu masa kerja orang lain. Yang suka bercerita inilah juga yang kadang kala suka menabur fitnah.

Pada pendapat saya tiada salahnya suka bercerita jika kena pada tajuk, tempat dan masanya dan tujuannya. Dan apa jua cerita yang hendak diceritakan ia seharusnya bukan dalam bentuk cerita-cerita kosong. Setiap cerita seharusnya ada prinsip hidup yang mahu dikongsikan sama ada untuk tauladan atau untuk iktibar sempadan.Kadang-kadang kita bercerita "to keep in touch". Kadang-kadang kita bercerita untuk memancing maklumat. Maksudnya kita saja nak tahu apa cerita terbaru dari hal sesaorang. Kita kena berhati-hati  dan peka apa tujuan kita bercerita.Tambahan hari ini kita telah ada banyak cara, banyak media untuk bercerita. Maka dorongan untuk bercerita sememangnya menjadi lebih kuat kerana bercerita boleh dibuat melalui blog, face book, twitter dan entah apa lain yang saya sendiri kurang arif. Tidak mengapa bercerita asalkan masa yang diguna itu betul-betul memberi munafaat.

Setengah orang ada ilmu tetapi tidak suka bercerita. Dia duduk diam walau pun teman-teman dalam kumpulan bercerita berbagai ragam. Dia mendengari dan dia tersenyum. Apa yang sedang difikirkan, tiada siapa yang tahu.Berilmu tetapi tidak suka bercerita mungkin boleh membawa kepada sia-sia kerana tidak mahu berkongsi sesuatu yang mendatangkan kebaikan pada sesaorang yang lain. Maksudnya ialah kalau kita ada ilmu, beceritalah sedikit kerana berkongsi ilmu walau pun kecil dan sedikit adalah juga satu bentuk dakwah.

Saya amat bersetuju dengan pendapat seorang teman yang mengatakan bahawa bercerita bersekali dengan berilmu barulah sesuatu percakapan, perbincangan, penceritaan atau penulisan itu mempunya "nilai tambah".Maksudnya iaitu bahawa tidak setiap cerita itu ada kualiti ilmu. Dalam hidup harian kita, kita mahu memunafaatkan ilmu kerana ini adalah salah satu daripada saham kita di alam Barzah dan di Akhirat nanti.Cerita kosong hanya seronok untuk pendengaran sahaja. Ia boleh membawa kepada keadaan 'lagha' atau berbuat sesatu yang melekakan dan membuang masa. Masa itu Ibadah, dan kalau kita bercerita kosong dan tidak ada ilmu yang hendak dikongsikan, maka eloklah diam dan berzikir sahajalah didalam hati. Kalau lebih sesuai meminta diri untuk berundur dari majlis, maka itu adalah lebih baik.
wallahua'lam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails