Ini gambar Allahyarham Pak long dari Penanti, Penang yang telah pulang ke Rammatullah baru-baru ini. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas Ruhnya dan dihimpunkan bersama-sama Ruh orang-orang yang soleh. Dia adalah bapa saudara suami saya dari sebelah bapanya. Saya tidak menziarahi keluarganya kerana berada di Jakarta waktu itu. Rasa agak kehilangan juga kerana hampir setiap Hari Raya kami akan ke sana. Gambar ini adalah gambar Raya tahun 2009. Isterinya telah agak uzur tetapi masih boleh mengurus diri. Itulah doa saya juga semoga Allah memberi kesihatan dan saya dapat mengurus diri hingga keakhir hayat.
Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah keluarga ini ada anak kurang upaya. Dari lahir lagi otaknya tidak sesempurrna seperti anak-anak lain. Menjaga dan mengasuh anak kurang upaya seperti ini adalah pilihan istimewa dari Allah. Dia insyaAllah adalah ahli syurga. Maka bayangkan dari awal-awal lagi kita sudah bersama seorang ahli syurga. Kalau kita bersikap begini maka menjaganya bukanlah suatu bebanan. Dan saya perhatikan kakak-kakak yang menjaganya juga selalu nampak ceria. Salah seorangnya adalah ibu tunggal. Mereka inilah yang menjadi tulang belakang keluarga. MasyaAllah.Laluan hidup yang Allah kurnia mungkin nampak tidak selesa, tetapi kita harus yakin bahawa keselesaan adalah terpancar dari dalaman.
Ini Ibu dan anaknya yang kurang upaya.
Ini dua anak perempuannya.
Saya perhatikan proses mendekatkan diri pada Allah lebih terjaga kalau kita berada dalam suasana di mana kita menyedari akan ujian Allah. Kata Ustaz orang yang hidup serba mewah dan tidak ada masaalah kadang kala lupa untuk menyatakan kesyukuran atas segala nikmat yang di beri oleh Allah. Lihatlah saja Firaun dalam sejarah tamadun manusia. Dia lupa Allah dan diakhir nyawa hampir terbang baru mahu mengaku wujudnya Tuhan Allah. Al Quran merakamkan peristiwa ini :
" Dan kami memungkinkan Bani Israel melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya, kerana hendak menganiaya dan menindas (mereka) hingga bila Firaun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia : ' Saya percaya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)' "
"Apakah sekarang (baru kamu percaya), padahal sesungguhnya kamu telah durhaka sejak dahulu, dan kamu termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan."Surah Yunos Ayat 90-91
Firaun tidak mengenal siapa Allah, dan dalam keadaan amat tertekan dia cuma mengatakan apa yang bani Israel katakan. Allah tidak menerimanya. Maka Ustaz saya selalu mengingatkan agar berhati-hati dalam dalam menjalani kehidupan. Jangan mudah terperangkap dengan kesenangan dan kemewahan. Di dalam alQuran Allah memerintahkan kita memakmurkan dunia dan mencari kekayaan dan kemewahan, tetapi kita ikut sahabat-sahabt nabi saw dalam mencari dan mengendali kekayaan. Kekayaannya terus diinfakan kerana tangan yang memberi itu lebih mulia.
WaAllahu'alam.
No comments:
Post a Comment