SATU PEMANDANGAN
LALUAN KE GARUT
Pada 21 Disember 2009 saya bercerita dalam blog ini mengenai impian membina sebuah Pasentren di Garut Indonesia.Nama rasmi projek ini ialah SITUWANGI BOARDING SCHOOL. Saya bersama kumpulan kerja yang ditugaskan untuk perancanagan dan perlaksanaan projek ini baru kembali dari lawatan tapak 6 hari yang lalu untuk memantau kemajuannya. Alhamdulillah, agak memuaskan. Bangunan masjid dan bangunan bilik darjah sudah lebih 50% siap, dan bangunan asrama dan rumah guru sedang dalam proses. Saya kagum dengan pegawai akitek yang bertanggong jawab secara langsung untuk kerja-kerja pembinaan atas sikap optimisnya. Semoga Allah memudahkan dan kesemuanya berjalan seperti dirancang.
TAPAK TANAMAN KUBIS BERDEKATAN SITUWANGI BOARDING SCHOOL.
USTAZ AFIF DI KIRI SEKALI
Baru-baru ini Ustaz Afif telah dilantik sebagai timbalan mudir. Sekarang ini beliau telah mendapat sebahagian bilangan pelajar yang akan dipelawa atas dasar kecemerlangan prestasi untuk memasuki Boarding School ini. Ust. Afif menceritakan bahawa bukan semua ibu bapa mahu berpisah dengan anak-anak supaya tinggal di asrama walaupun dijanjikan temapat dan kemudahan pembelajaran yang selesa disamping biasiswa yang mencukupi. Saya mengambil kesimpulan bahawa dalam struktur masyarakat di Garut, perubahan bukan suatu yang mudah. Garut adalah 2-3 jam dari Bandung dan ekonominya berasaskan pertanian. Dalam berbincang bagaimana hendak mengatasi masaalah ini saya teringat Allahyarham bapak saya yang berhijrah dari tanah Jawa ke Malaya ketika itu. Perubahan adalah perlu untuk mencapai perbezaan yang positif. Peribahasa Inggeris mengatakan: Nothing Venture, Nothing Gain. Inilah antara nilai hidup yang hendak diterapkan pada jiwa pelajar nanti.
Perlaksanaan projek ini mengajar saya untuk lebih berkeyakinan bahawa pertolongan Allah amat dekat kalau kita sentiasa bermunajat untuk kejayaannya. Bukan mudah untuk melaksana projek dalam masa yang singkat, iaitu lebih kurang 7 bulan dari mula hingga akhir. Masaalah pasti ada dalam perlaksanaan projek apa jua pun. Boarding School ini tidak terkecuali. Cumanya kita perlu mengenal pasti awal kebarangkalian yang mungkin terjadi supaya kita tidak terkapai-kapai nanti. Pelan B juga kami fikirkan sebagai strategi menentukan tidak ada kekecewaan pada mana-mana pihak. Ini fitrah manusia yang perlu ditangani sebaik-baiknya.
Pengalaman saya selama 10 tahun di Kementerian Pendidikan Malaysia di Bahagian Pembangunan sekolah-sekolah dan lain-lain instituisi pendidikan menyebabkan saya khuatir sentiasa.Mulalah saya membayangkan sempatkah bangunan siap sepenuhnya, bolehkah api dan air tersambung rapi, bolehkah jalan masuk siap sempurna dan lain-lain lagi. Tetaapi saya diperingatkan bahawa budaya kerja di Indonesia berlainan dari di Malaysia dan saya dinasihatkan supaya tidak perlu bimbang. Rasa lega didada dan terus memfokus kepada tindakan seterusnya.
Tindakan seterusnya meliputi usaha mengenal pasti pelajar tempatan yang akan dibantu kerana putus persekolahan disebabkan kurang kemampuan kewangan untuk meneruskan pembelajaran. Mereka ini akan bersekolah harian sahaja. Program mereka adalah program Fardu Ain dan Akademik yang di intergrasikan. Jika keputusan peperiksaan cemerlang mereka akan dipilih untuk program seterusny di situ dengan biasiswa penuh. Selaras dengan dasar penganjur untuk memastikan hak asasi kanak-kanak dalam pendidikan terpelihara, maka Situwangi Boarding School ini akan juga mengadakan program sampingan diwaktu awal malam bagi mereka yang tercicir pada peringkat awal. Mereka akan diambil untuk program literasi yang asas dan ilmu fardhu ain supaya menjadi ahli masyarakat yang tidak menimbulkan masaalah. Dalam apa jua program yang pelajar akan diterima, amalan makan dan pemakanan yang baik akan di pastikan supaya pelajar menjadi sihat dan boleh memfokus kepada pembelajaran dengan mudah. Semoga ini juga akan berjaya dilaksana, dan dilaksana berperingkat mengikut kemudahan fisikal yang dapat disiapkan.
Ramai sekali pekerja yang diambil oleh pengarah projek untuk memastikan pembinaan berjalan mengikut sasaran yang ditentukan. Dua kumpulan ethnik yang terbesar terlibat dalam kerja-kerja pembinaan, Jawa dan Sunda dan sedikit yang lainnya. Saya teruja dengan penyatuan sebegini kerana ini boleh menghasilkan solidarity dalam pembangunan masyarakat setempat. Semangat seperti inilah yang kita mahukan untuk memupuk kekuatan dalam Islam. Semoga usaha yang kecill ini Allah perbesarkan.
Dalam perjalanan pulang dari kawasan tapak sekolah, saya sentiasa terfikirkan bagaimana nanti program kurikulumnya akan terlaksana seperti dirancangakan. Situwangi Boarding School ini akan cuba menerajui dalam aspek pendidikan yang berkaitan dengan melaksanaka sistem yang berintergasi antara pendidikan Fardhu Ain dan Pendidikan Fardhu Kifayah. Hafalan AlQuran adalah matlamat utama bagi kumpulan "Elit" yang kami pilih ini. Kemudian akan ada sistem Murabbi yang akan membimbing mereka dari mula hingga keakhir persekolahan dan seterusnya secara tidak rasmi hingga keperingkat kerjaya masing-masing. Tujuannya ialah supaya dapat terbentuk satu kumpulan atau beberapa kumpulan yang mempunyi fikrah Islamiah yang syumul dan terpadu yang dengannya diharapkan akan dapat mengembangluaskan fikrah ini sebagai usaha untuk medapatkan persatuan ummat sejagat yang kuat dan berwibawa dan dapat menempatkan Islam dikedudukan yang tinggi seperti yang diharapkan oleh Junjungan Besar Nabi kita Muhamad SAW. Kami berdoa Allah akan memberi kejayaan pada usaha kami yang sekecil ini. Semoga Allah mengurnia Impian ini menjadi nyata.
Amin, Ya Allah.
No comments:
Post a Comment