Baru-baru ini saya berkesempatan berbincang-bincang dengan sekumpulan warga muda umur 30an dan awal 40an. Seronok berbincang dengan kumpulan yang penuh semangat untuk aktif bukan sahaja membangun keluarga sendiri untuk mencapai kecemerlangan dunia akhirat, tetapi juga kumpulan ini aktif dalam membina barisan orang-orang muda yang serious dalam perjuangan menegakan Kebenaran seperti yang dituntut dalam alQuran dan Hadis.
Antara kumpulan golongan muda yang berbicara.
Kami berbincang beberapa perkara dan antara yang menarik perhatian saya ialah mengenai wawasan rakyat Malaysia untuk negara Malaysia. Tetapi ini bukan bererti kami taksub dengan isu-isu Malaysia hingga kita lupa isu mengangkat dan menjunjung kedaulatan Islam. Ia hanya menjadi sebahagian perbincangan sokongan. Kalau semua negara Islam di dunia ini bersatu dalam wawasan mentauhidkan Allah sebagai asas perjalanan hidup maka pasti pertolongan Allah itu hampir.
Tetapi di mana letaknya golongan lanjut usia dalam arus perjuangan ini. Satu soalan yang saya rasa agak sususah dijawab di hadapan mereka yang lanjut umur, kerana kebanyakan mereka dalam golongan lanjut umur ini sudah mula tidak mengambil tahu apa yang ada di luar sana. Ramai yang dalam golongan umur saya hanya sibuk ke masjid-masjid sahaja dam menambah ilmu munkin kerana semasa muda dahulu disibukan dengan kerja-kerja duniawi sahaja. Maka banyaklah ilmu yang diperolehi tetapi ditakuti tidak kesempatan untuk mengimplementasi ilmu tersebut. Entahlah. Mungkin salah telahan saya ini kerana pemerhatian sangat rambang dan pasti ada kelemahaqn dari segi kesahihan fakta.
Saya mengambil kesimpulan tersebut kerana ada suara-suara golongan muda yang mengatakan seperti : "Kita tinggal diaorang kalau diaorang tidak dapat memahami atau tidak boleh menerima pendapat-pendapat terkini dalam masaalah yang kita hadapi. Almaklum, dulu keadaan lain, sekarang lain, tapi kalau diaorang tetap dengan pendapat dulu, elok kita tinggalkan sahaja."
Saya agak "tersinggung" juga dengan kata-kata seperti itu. Mungkin saya terlalu sensitif dan tidak lagi realistik dalam menghadapi fenomena baru dalam arus perjuangan. Tetapi saya agak selesa bila ada golongan yang mengatakan: Jangan kita cepat-cepat "write-off " diaorang. Itu tak betul juga. Kita mesti buat kajian yang betul-betul rapi dan komprehensif sebelum kita membuat kesimpulan atas sesuatu perkara. Jangan kita ikut persepsi individu atau kumpulan semata-mata. Ini kadang kala "bias", berat sebelah. Contohnya, mesti ada kajian mengapa Singapura terpecah dari Malaysia, yang dahulunya Bumi Isalm tetapi sekarang bukan Bumi orang Islam. Dalam pertarungan kuasa, prinsip apa yang terpakai. Dan bermacam-macam lagi soalan yang perlu dijawab berasaskan kajian yang menyeluruh. Bukan atas sentimen kepartian sahaja. "Oleh kerana itu keputusan party saya, maka saya tetap sokong." Kalau begitu sikap kita, maka kita tidak akan dapat membuat pembetulan atas masaalah -masaalah yang serupa. Sentimen dan pengalaman boleh menjadi suatu yang negatif dalam proses membuat keputusan. Kita bukan sahaja buat kajian, kita lihat juga sirah Nabi Muhamad saw dan Sahabat-sahabat baginda dalam mencari penyelesaian.
Kalau sudah ada kajian, dan fakta-fakta yang logik dan benar dapat dirumuskan (yang logik tidak semestinya benar) , barulah kita boleh tinggalkan mereka yang tidak mahu membuat perubahan. Memang ramai antara kita yang takut hendak berubah sebab banyak kepentinaga yang akan terjejas, tetapi perubahan perlu kalau kita pasti yang dahulu itu silap. Sebab itulah kita dituntut Berhijrah kalau menemui jalan buntu.
Saya boleh terima pendapat itu. Terutamanya kalau perbincangan-perbincangan itu patuh dengan prinsip Islam. Ajaran Rasulullah didahulukan, prinsip perjuangannya dicontohi. Doa dan munajat pada Allah tidak putus-putus. Hanya Allah yang maha bijaksana dan pertolongan dariNya sahaja yang kita pohon.
Maka saya berkata pada kawan saya : "Kalau golongan lanjut usia hendak sentiasa dianggap relevan, maka kita harus menjadi, antara lain, seperti AsSyahid Sheikh Ahmad Yassin seorang pejuang Palastine dan lain-lain sepertinya. Sudah tidak bermaya dari segi fisikal, tetapi Yahudi tetap takut padanya dan dia dibom dari udara.
Wahai sahabat-sahabat saya yang lanjut usia, kita bagaimana?
Semoga Allah memberi keampunan atas kelalaian semasa muda dan semoga masa yang tinggal sedikit ini Allah anugerah Rahmatnya dan membuka peluang dan ruang untuk kita bersama dengan golongan muda mara kehadapan dalam perjuangan menegagakan Islam. Di celah-celah kesibukan, kita hiburkan hati semoga kita termasuk dalam kategori golongan orang yang disebut dalam hadis berikut:
"Daripada Anas ra bahawa Rasulullah saw bersabda: Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba ia akan mengangkat sebagai pegawaiNya. Para sahabat bertanya: Bagaimana cara Allah mengangkatnya sebagai pegawai?, Rasulullah menjawab: Allah akan memberikan kepadanya Taufik untuk mengerjakan sebuah amal soleh, kemudian Allah mengambil nyawanya ketika masih melakukan amalan tersebut." (HR Ahmad dan Hakim)Allahuma Amin.
No comments:
Post a Comment